Sejak berusia lapan tahun, Davwin Arinze Akanihu kurang gemar dengan mata pelajaran Matematik.
Tetapi, ibu bapanya menghantarnya menyertai Program Tuisyen Mendaki (MTP) bagi membantu meningkatkan kemahiranya dalam mata pelajaran itu.
Kini, pelajar di Maktab Rendah Tampines Meridian berusia 17 tahun amat meminati mata pelajaran itu.
Dia mengambil MTP bermula di Darjah Dua hingga tamat sekolah menengah kerana program tuisyen tersebut mempersiapkan sokongan yang diperlukan untuk mencapai potensi diri sebenar.
Sebelum ini, Davwin menganggap mata pelajaran Matematik agak sukar kerana sering keliru dengan pelbagai konsep yang perlu dipelajari. Namun, selepas menyertai MTP, kefahaman dan keyakinannya mula bertambah.
“Saya kurang bagus dalam Matematik. Oleh itu, pemahaman konsep seperti geometri adalah satu cabaran kerana ia sukar digambarkan secara visual. Namun, tenaga pembimbing di Mendaki sangat berkemahiran dalam menyediakan peralatan mengajar (model) yang bersesuaian bagi meningkatkan kefahaman pelajar.
“Tutor di Mendaki juga merupakan individu yang mesra pelajar dan mudah didekati. Justeru, saya selesa untuk bertanya soalan dan mereka juga bersedia menyelesaikan persoalan saya dengan baik.
“Sehubungan itu, Mendaki tidak hanya memberi perhatian kepada akademik semata-mata, bahkan menekankan perkembangan sifat pelajar. Pelbagai program dianjurkan seperti sesi perkongsian pembelajaran, kerjaya dan sebagainya, yang membuatkan pelajar berasa lebih seronok,” ujar Davwin.
Memandangkan MTP mengekalkan rentak yang sama dengan kurikulum sekolah, Davwin mendapati ia sangat membantu dalam mendapatkan pemahaman yang lebih kukuh tentang sesuatu mata pelajaran.
“Selepas belajar sesuatu konsep di sekolah, saya akan mengulang kaji tajuk tersebut bersama tutor MTP. Mereka juga yang sering menguji saya tentang konsep yang diajar di sekolah, sekali gus mengukuhkan pembelajaran.
“Saya masih ingat ketika saya berada pada peringkat menengah, saya pernah mendapat gred ‘B’ untuk mata pelajaran Matematik. Tetapi, latihan tambahan yang diperoleh di MTP berjaya membantu saya mencapai keputusan ‘A’ bagi mata pelajaran tersebut ketika berada di hujung Menengah Satu,” jelas Davwin.
Davwin, anak bongsu tiga beradik itu turut menyatakan bahawa MTP sememangnya sering menjadi pilihan utama pelajar kerana reputasinya yang kukuh melalui bimbingan bermutu.
Selain itu, MTP memiliki cawangan di pelbagai tempat, memudahkan pelajar memilih tempat yang sesuai mengikut keperluan masing-masing.
Davwin yang bercita-cita menceburi pekerjaan dalam bidang perubatan memberitahu:
“MTP sudah lama ditubuhkan dan ia mudah diakses oleh pelajar kerana kepelbagaian tempat. Malah, saya sendiri berjalan kaki ke pusat tuisyen tersebut dan ibu bapa banyak mendorong saya agar menyertai program ini.
“Oleh itu, ia satu kerugian sekiranya pelajar tidak memanfaatkan kemudahan ini untuk mencapai kecemerlangan akademik.”
• Dibuka kepada pelajar sekolah rendah, Darjah Satu hingga Enam dan Menengah Satu hingga Lima, Program Tuisyen Mendaki (MTP) ini menawarkan sokongan akademik yang menyeluruh bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan yuran $10 sahaja.
• Program ini dijalankan secara fizikal dan melalui dalam talian oleh tutor berkelayakan dalam kumpulan kecil pada hari-hari biasa dan hujung minggu.
• Pendaftaran bagi kelas 2025 akan tamat pada 31 Disember 2024. Lungsuri laman my.mendaki.org.sg untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg