Dedikasi sebagai imam gantian, sukarelawan, perkukuh operasi harian Masjid Darussalam
Dedikasi sebagai imam gantian, sukarelawan, perkukuh operasi harian Masjid Darussalam
Sesebuah masjid bergantung pada insan yang berkhidmat, sama ada sepenuh masa, sambilan, ataupun sukarelawan. Di Masjid Darussalam, khidmat mereka mengukuhkan peranan dan operasi harian masjid.
Salah seorang relawan yang telah berkhidmat lama di Masjid Darussalam ialah Encik Mohd Rozani Ma’arof. Beliau berkhidmat sebagai imam dan bilal secara sambilan.
Menceritakan bagaimana beliau mula berkhidmat, Encik Rozani berkata:
“Saya mula sebagai imam gantian. Ketika itu masuk solat isyak. Saya pula sedang mengikuti kelas Bahasa Arab di masjid. Jadi, sebelum mengimamkan solat, saya meminta kepada asatizah menyemak dan membetulkan bacaan.”
Sejak 2016, Encik Rozani, 58 tahun, berkhidmat secara sukarela sebagai imam gantian, khususnya bagi solat subuh, maghrib dan isyak. Beliau sedar akan kekurangan tenaga kerja dalam menyokong tugas imam dan bilal, khususnya pada waktu subuh. Oleh itu, beliau terus tampil membantu setiap kali diperlukan.
Sepanjang tempoh berkhidmat di Masjid Darussalam, pelbagai perubahan telah disaksikan Encik Rozani.
Beliau mendapati banyak wajah yang datang dan pergi, khususnya dalam kalangan pegawai dan sukarelawan masjid.
Namun, sukarelawan tetap bertambah dan barisan asatizah turut bertukar ganti.
“Saya perhatikan peningkatan jumlah jemaah muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini disebabkan adanya sekolah dan institusi pendidikan yang berhampiran.
“Bagaimanapun, kehadiran jemaah warga emas tetap ramai,” ujarnya.
Peranan sukarelawan amat penting demi memastikan masjid berfungsi lancar.
Encik Rozani menghargai usaha mereka yang sering tidak terlihat dalam memastikan masjid teratur, mesra jemaah, dan perkhidmatan kepada masyarakat berjalan sempurna.
Beliau berkata:
“Bantuan tambahan daripada sukarelawan sentiasa dialu-alukan, khususnya pada bulan Ramadan, Hari Raya dan solat Jumaat.
“Dalam hal ini, sukarelawan memainkan peranan penting dalam menyokong operasi masjid. Ramai yang membantu menguruskan pergerakan jemaah yang ramai serta menolong membuat persiapan sebelum solat bermula.”
Dengan tambahan jemaah dan kegiatan di Masjid Darussalam hari ini, cabaran fizikal sedikit sebanyak menjejas keselesaan jemaah.
Masjid Darussalam juga peka tentang kepentingan menaik taraf kemudahan demi generasi warga emas hari ini dan akan datang.
Sebagai warga emas yang aktif di masjid, Encik Rozani bersetuju dengan projek naik taraf masjid tersebut.
“Projek naik taraf masjid ini penting bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, khususnya warga emas.
“Kemudahan tanpa halangan seperti laluan landai dan lif akan menjadikan masjid lebih mudah diakses, sekali gus membolehkan semua pihak mengerjakan solat dan menghadiri program dengan lebih mudah serta penuh keyakinan,” jelasnya.
Mengenai harapannya untuk Masjid Darussalam, Encik Rozani berkata:
“Harapan saya agar Masjid Darussalam terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun selepas ketiadaan kami di dunia ini.
“Semoga segala usaha dan sumbangan yang dicurahkan untuk masjid menjadi sumber pahala jariah, dan agar setiap pemberian serta manfaat yang diperolehi melalui masjid diterima oleh Allah swt.”
Cara Menderma kepada Masjid Darussalam:
1. PayNow: QR Code atau UEN: S89MQ0032A.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 591-0705-45001 (Tulis ‘Ramadan’ atau ‘Donation’).
3. Untuk sumbangan menerusi kad kredit (Visa atau Mastercard), kad debit, eNETS, sila kunjungi pejabat Masjid Darussalam di 3002 Commonwealth Avenue West, Singapura 129579. Dari Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 5.30 petang.
4. Hubungi talian 6777-0028 atau WhatsAppp ke talian 8993-4736.
5. E-mel: feedback@darussalam.mosque.org.sg

