Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, telah menyeru agar keganasan yang semakin meningkat dilakukan oleh penduduk haram Israel terhadap orang awam Palestin dihentikan, dan agar mereka yang melakukan keganasan itu dipertanggungjawabkan.

Dalam satu catatan Facebook pada 25 Ogos, Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), berkata rakyat Palestin berhak hidup dengan aman, selamat dan bermaruah, serta mempunyai tanah air sendiri menerusi penyelesaian dua negara yang dicapai melalui rundingan.

“Singapura sentiasa berpendirian teguh dengan prinsip ini.

“Kita tidak boleh membiarkan tindakan di lapangan menjadikan masa depan itu semakin sukar dicapai,” kata Encik Zaqy.

Kenyataannya itu datang sehari selepas Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengeluarkan kenyataan Singapura yang menyeru Israel menghentikan rancangan peluasannya di E1, iaitu nama pentadbiran Israel untuk kawasan di Tebing Barat yang diduduki dan terletak di bahagian timur Baitulmakdis Timur.

Mengulangi mesej tersebut dan juga pendirian Singapura, Encik Zaqy berkata peluasan petempatan Israel yang dicadangkan di kawasan E1 akan memecahbelahkan lagi Tebing Barat dan menjejas prospek sebuah negara Palestin yang berdaya maju.

“Keganasan yang semakin meningkat oleh penduduk haram terhadap orang awam Palestin juga mesti dihentikan.

“Mereka yang (melakukan perkara itu) mesti dipertanggungjawabkan.

“Adalah sangat membimbangkan melihat perkembangan yang semakin memudarkan harapan rakyat Palestin untuk mempunyai tanah air mereka sendiri.

“Petempatan ini adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, dan Singapura telah menyeru agar rancangan peluasan itu dihentikan,” kata Encik Zaqy.

Pemerintah Israel pada 18 Ogos telah menerbitkan tender untuk pembinaan lebih 1,200 unit rumah di bawah projek untuk meluaskan petempatan kediaman di kawasan E1.

Kira-kira 3,700 rakyat Palestin tinggal di E1, kebanyakannya Badwi yang tinggal di 18 buah kampung, menurut Institut untuk Kefahaman Timur Tengah.

“Harapan untuk sebuah negara Palestin yang berdaulat tidak boleh terus terhakis.

“Kita harus terus mempertahankan jalan menuju keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Encik Zaqy.

Pada 24 Ogos, MFA telah mengeluarkan kenyataan Singapura yang menggesa Israel untuk segera menghentikan rancangan peluasan petempatan di wilayah Tebing Barat.

Ia turut mengulangi pendirian teguh Singapura bahawa pembinaan petempatan di kawasan itu menyalahi undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini, pada 20 Ogos, beberapa kuasa Barat seperti Britain, Perancis, Jerman, Italy dan Canada telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengecam keras projek petempatan Israel.

Israel telah mengumumkan pembinaan sekitar 1,234 unit rumah di E1, iaitu kawasan yang meliputi kira-kira 12 kilometer persegi antara Baitulmakdis Timur dengan petempatan Maale Adumim.

Kawasan tersebut dianggap sangat penting kepada masa depan penyelesaian dua negara kerana pembinaan petempatan di situ dikhuatiri akan memisahkan bahagian utara dan selatan Tebing Barat.

Ia juga boleh menghalang pembentukan kawasan bandar Palestin yang bersambung antara Ramallah, Baitulmakdis Timur dengan Baitul Laham.

Dalam kenyataan bersama itu, Britain, Perancis, Jerman, Italy dan Canada menyifatkan keputusan Israel itu sebagai “tidak boleh diterima” dan menggesa rancangan tersebut ditarik balik dengan segera.

Semua petempatan Israel di wilayah yang diduduki dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa, meskipun Israel mempertikaikan pendirian tersebut.