Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Delegasi Parti Komunis China lawat S’pura, adakan dialog bersama pemimpin PAP

Jul 24, 2025 | 9:02 PM
Menteri Pembangunan merangkap Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) Encik Desmond Lee (kiri) menyambut kedatangan Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Encik Liu Jianchao (dua dari kiri).
Menteri Pembangunan merangkap Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) Encik Desmond Lee (kiri) menyambut kedatangan Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Encik Liu Jianchao (dua dari kiri). - Foto PAP

Sebuah delegasi 12 anggota dari Parti Komunis China (CPC) melawat Singapura dari 23 hingga 24 Julai atas jemputan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Diketuai oleh Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat CPC, Encik Liu Jianchao, kehadiran delegasi tersebut disambut oleh Menteri Pendidikan merangkap Pengerusi PAP, Encik Desmond Lee.

Semasa lawatan mereka, delegasi CPC itu turut bertemu Perdana Menteri merangkap Setiausaha Agung PAP, Encik Lawrence Wong, Menteri Pertahanan merangkap Penolong Setiausaha Agung PAP, Encik Chan Chun Sing serta pemimpin parti lain.

Mengulas mengenai lawatan itu, Encik Lee berkata, “Pertukaran teguh kami dengan CPC dibina di atas asas yang kukuh oleh pendahulu kami dan didorong oleh visi bersama untuk menjamin pertumbuhan untuk rakyat kami.

“Dalam dunia yang lebih berpecah-belah, pertukaran antara rakyat dengan rakyat ini mengukuhkan persefahaman dan kerjasama bersama, menyemai benih kepercayaan untuk generasi masa depan kita.”

Delegasi CPC itu juga bertemu dengan beberapa ahli Forum Dasar PAP (PPF), yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, yang juga Pengerusi PPF.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak turut mengadakan dialog yang produktif yang bertujuan untuk memupuk jalan baru untuk pertumbuhan dan memperdalam kerjasama dua hala, menurut PAP dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Julai.

Kedua-dua pihak juga bertukar amalan terbaik untuk meningkatkan organisasi parti dan melibatkan aktivis untuk berhubung dengan lebih baik dengan rakyat, tambahnya.

“Lawatan itu menggariskan komitmen PAP untuk memupuk Perkongsian Berorientasikan Masa Depan Bermutu Tinggi Secara Menyeluruh antara kedua-dua pihak.

“(Ini adalah) inisiatif yang tepat pada masanya kerana kedua-dua negara menandakan 35 tahun hubungan diplomatik,” kata PAP.

Perkongsian itu menyediakan hala tuju strategik yang jelas bagi kerjasama, dan menyediakan asas kepada Singapura dan China untuk menghasilkan idea segar dan terus mencari cara baru mengukuhkan kerjasama seperti dalam ruang digital dan hijau.

Pada Jun, PM Wong telah mengadakan lawatan rasmi ke China selama lima hari, di mana beliau bertemu Presiden Xi Jinping, Perdana Menteri Encik Li Qiang, dan Pengerusi Kongres Rakyat Nasional, Encik Zhao Leji.

Lawatan itu merupakan lawatannya yang pertama sejak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mei 2024.

Dalam pertemuan itu, Encik Wong berkata langkah memilih China sebagai destinasi lawatan pengenalan pertama beliau di luar Asia Tenggara mencerminkan betapa eratnya hubungan dan kerjasama teguh yang ada antara Singapura dengan China.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg