Penggal Parlimen baru dijangka mengetengahkan perspektif dan pengalaman yang lebih meluas, dengan barisan baru Anggota Parlimen (AP), kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Barisan itu terdiri daripada muka baru yang terdiri daripada parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pembangkang, kata Encik Zaqy, yang dilantik semula sebagai Timbalan Ketua Dewan.
“Saya berharap pembaharuan ini akan memberi tenaga kepada wacana parlimen kita serta mencerminkan kebimbangan dan harapan rakyat kita yang berubah,” ujar Encik Zaqy.
Berkata demikian dalam satu catatan Facebook pada 20 Jun, menyusuli kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, kekal sebagai Ketua Dewan oleh Perdana Menteri, dan Encik Zaqy Mohamad, akan kekal sebagai Timbalan Ketua Dewan.
Dengan pelantikan semula baru itu, Encik Zaqy berkata beliau akan terus menyokong Cik Indranee dalam memastikan Parlimen terus berjalan lancar, dengan perbahasan yang produktif dan pengurusan perniagaan pemerintah yang berkesan.
“Peranan kami adalah untuk menegakkan integriti Parlimen sambil memudahkan perbincangan yang bernas dan tepat pada masanya mengenai isu-isu penting bagi rakyat Singapura,” tambah Encik Zaqy, yang juga AP GRC Marsiling-Yew Tee.
Mengimbau kembali Pilihan Raya Umum baru-baru ini, Encik Zaqy berkata ramai AP termasuk dirinya kembali ke Parlimen setelah berhubung rapat dengan penduduk mengenai kebimbangan mendesak seperti kos sara hidup, jaminan pekerjaan, dan kesan ekonomi daripada perkembangan global.
Encik Zaqy turut menekankan “keperluan Parlimen untuk terus menangani cabaran struktur jangka panjang”.
Ini termasuk usaha meningkatkan mobiliti sosial, kesiapsiagaan menghadapi penuaan di Singapura, menangani perubahan iklim serta menyesuaikan diri dengan kepesatan kemajuan teknologi.
Beliau menyifatkan kesemua cabaran tersebut sebagai perkara yang “mempunyai implikasi yang meluas untuk masa depan Singapura”.
“Saya berharap untuk menyokong perbahasan yang kukuh dan membina, bermula dengan Ucapan Presiden pada September, yang boleh membawa dasar dan penyelesaian praktikal yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura,” kata Encik Zaqy.
PMO dalam kenyataannya juga berkata Encik Seah Kian Peng (GRC Marine Parade-Braddell Heights) akan dicalonkan untuk pemilihan semula sebagai Speaker Parlimen apabila Parlimen ke-15 bersidang untuk sesi pertamanya pada 5 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg