Mulai 1 Januari 2027, jumlah maksimum mata demerit yang boleh dikumpul oleh pemandu dalam tempoh 24 bulan sebelum digantung lesen akan dikurangkan daripada 24 kepada 18 mata.

Bagi pemandu dalam tempoh percubaan selama 12 bulan, had maksimum mereka akan dikurangkan daripada 13 mata demerit kepada 12 mata.

Langkah itu ialah untuk memudahkan Polis Trafik (TP) menggantung lesen pemandu yang tidak bertanggungjawab dan menghentikan mereka daripada memandu di jalan raya bagi tempoh lebih lama.

Di bawah sistem penalti baharu itu, pemandu bukan dalam tempoh percubaan yang melanggar lampu isyarat merah – 12 mata – semasa memandu laju – enam mata – akan digantung lesen serta-merta, memandangkan mereka telah mengumpul jumlah maksimum 18 mata.

Manakala bagi pemandu dalam tempoh percubaan, perbuatan melanggar lampu isyarat merah atau memegang dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu – 12 mata – juga akan menyebabkan lesen mereka digantung serta-merta.

Ini adalah untuk membantu membentuk tingkah laku memandu yang bertanggungjawab dalam kalangan pemandu baharu pada peringkat awal.

Pada 31 Julai, pihak polis mengumumkan tindakan lebih ketat Sistem Mata Peningkatan Pemandu (DIPS), yang lebih dikenali sebagai sistem mata demerit.

Pihak polis menyatakan langkah baharu itu diperlukan berikutan situasi keselamatan jalan raya di Singapura yang semakin merosot.

Kematian akibat kemalangan jalan raya mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun dengan 149 kematian pada 2025 berbanding 141 pada 2016.

Jumlah mangsa yang cedera turut meningkat daripada 9,342 orang pada 2024 kepada 9,955 orang pada 2025.

Mulai 2027, tempoh penggantungan lesen bagi kes penggantungan kali pertama akan ditingkatkan daripada 12 minggu kepada empat bulan.

Pemandu yang digantung buat kali kedua tidak akan dibenarkan memandu selama enam bulan, satu peningkatan berbanding 24 minggu buat masa ini.

Penggantungan kali ketiga pula akan berterusan selama dua tahun, manakala penggantungan seterusnya akan berterusan selama lima tahun bagi setiap kali penggantungan.

Pihak polis turut mengumumkan perubahan pada kursus latihan semula DIPS.

Kursus sukarela selama satu setengah hari itu ditawarkan oleh Polis Trafik (TP) kepada pemandu yang digantung lesen, di mana mereka boleh menyelesaikannya untuk mengurangkan tempoh penggantungan.

Kursus itu ditawarkan kepada mereka yang digantung lesen sehingga dua kali.

Buat masa ini, mereka yang digantung lesen buat kali pertama dan menyelesaikan kursus itu boleh mengurangkan tempoh penggantungan daripada 12 minggu kepada empat minggu, atau seminggu jika mereka tidak terlibat dalam kemalangan.

Manakala bagi mereka yang digantung lesen buat kali kedua, tempoh penggantungan 24 minggu mereka boleh dikurangkan separuh kepada 12 minggu.

Namun, mulai 2027, kursus latihan semula DIPS hanya akan ditawarkan kepada mereka yang menghadapi penggantungan kali pertama sahaja.

Selepas menyelesaikannya, tempoh penggantungan mereka akan dikurangkan daripada empat bulan kepada enam minggu.

Mereka yang digantung lesen sekurang-kurangnya setahun akan kehilangan lesen memandu dan mesti menduduki semula ujian memandu mereka.

Kursus Pemanduan Selamat, yang membolehkan pemandu memadamkan empat mata demerit jika lesen mereka belum digantung, akan dihentikan mulai 2027.