Pengurus besar sebuah Loji Pembakaran Sampah Tuas (TIP) telah didenda $145,000 selepas letupan pada 2021 yang menyebabkan kematian dua pekerja.
Pada 20 November, Ng Wah Yong, 56 tahun, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA).
Ini berlaku hanya dua hari selepas majikannya, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), didenda $230,000 pada 18 November atas kegagalan dalam aspek keselamatan berkaitan letupan TIP pada 2021, lapor The Straits Times (ST).
Seorang lagi pegawai NEA, Christopher Lee Yew Binn, 50 tahun, pengarah bahagian infrastruktur dan pengurusan operasi sisa di NEA pada waktu itu, dijadualkan untuk menghadiri persidangan pra-perbicaraan pada 28 November.
Lee juga menghadapi tuduhan yang sama seperti Ng.
Mahkamah mendapat tahu pada 20 November bahawa Ng telah dilantik sebagai pengurus besar TIP sekitar 2018, dan tanggungjawabnya termasuk memantau keselamatan dan kesihatan pekerja di kilang serta keselamatan di tempat kerja.
Tuduhan tersebut memberi tumpuan kepada dua kegagalan utama dari pihaknya sebagai pengurus besar kilang – termasuk kegagalan memastikan sistem ‘Permit-Untuk-Bekerja’ (PTW) bagi kerja racking (menggeser pemutus litar) voltan tinggi mematuhi peraturan, dan kegagalan untuk menetapkan prosedur kerja yang selamat bagi operasi tersebut.
Peguam Ng, Cik Stephania Wong, berhujah bahawa letupan kilat (arc flash) berlaku akibat kerosakan yang sangat jarang berlaku dalam mekanisme keselamatan suis yang menghalang pemutus litar daripada diaktifkan pada hari tersebut.
Beliau berkata, Ng telah mewarisi sistem dan prosedur yang telah ditetapkan dan diamalkan di TIP selama beberapa dekad, selepas pelantikannya sebagai pengurus besar pada 2018.
Beliau juga menegaskan bahawa Ng telah bergantung pada kakitangan yang dibenarkan, iaitu pekerja elektrik berlesen, untuk melaksanakan kerja racking voltan tinggi mengikut peraturan semasa.
Beliau juga menambah walaupun tiada prosedur kerja selamat untuk kerja racking voltan tinggi, langkah keselamatan lain seperti latihan untuk pasukan penyelenggaraan elektrik dan tanda amaran di sekitar peralatan suis sudah dilaksanakan.
Sebagai respons, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chan berkata hakikat yang kerja live racking yang dilarang dibuat, dan piston tertanggal yang menghalang pemutus litar, hanya menunjukkan kronologi letupan tersebut.
“Faktor-faktor ini tidak mengurangkan bagaimana kegagalan agensi dan Ng menyumbang kepada dua kematian dan satu kecederaan serius,” kata DPP.
DPP berkata sistem PTW mempunyai kekurangan kerana tiada fungsi penjagaan yang memastikan hanya individu berkelayakan boleh mengeluarkan permit untuk kerja berbahaya.
Ng juga dipertanggungjawabkan kerana tidak menjelaskan prosedur kerja yang selamat bagi kerja racking voltan tinggi di TIP.
“Ng gagal menjalankan tugasnya untuk memastikan agensi menetapkan prosedur kerja selamat yang jelas,” kata DPP Chan.
“Tiada arahan jelas diberikan kepada pekerja pada hari kemalangan untuk membimbing mereka dalam persekitaran berisiko tinggi dengan peralatan voltan tinggi”.
Letupan di kilang Tuas pada 23 September 2021 menyebabkan kematian dua pekerja lama mereka, Encik Kwok Yeow Wai dan Encik Wee Eng Leng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg