Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) didenda $230,000 atas kesalahan keselamatan dalam letupan Loji Pembakaran Sampah Tuas (TIP) pada 2021.
Kejadian pada 23 September 2021 itu meragut nyawa dua kakitangan NEA iaitu Encik Kwok Yeow Wai dan Encik Wee Eng Leng.
Seorang lagi kakitangan, jurutera Encik Low Yin Choon, mengalami cedera parah.
NEA dan dua pegawainya didakwa pada Disember 2023 susulan siasatan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Christopher Lee Yew Binn, ketika itu pengarah operasi infrastruktur sisa, serta Ng Wah Yong, bekas pengurus besar TIP, masing-masing menghadapi satu tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA).
Kes Lee akan didengar pada 28 November, manakala kes Ng akan didengar pada 20 November.
Pada 18 November, NEA mengaku bersalah kerana gagal mengambil langkah perlu untuk melindungi keselamatan pekerjanya.
Kelemahan itu merangkumi kegagalan memastikan sistem ‘Permit-Untuk-Bekerja’ (PTW) bagi kerja racking (menggeser pemutus litar) voltan tinggi yang mematuhi peraturan.
PTW ialah sistem kebenaran rasmi untuk mengawal kerja berisiko, namun pada hari kejadian, pengurus kejuruteraan tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan PTW kepada Encik Kwok, dan pegawai bertauliah pula tidak dimaklumkan tentang kerja elektrik voltan tinggi itu.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Agnes Chan berkata sistem PTW itu tidak berkesan dan gagal berfungsi sebagai lapisan kawalan risiko.
NEA juga gagal menyediakan langkah kawalan dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kalis api, walaupun penilaian risiko sebelum kejadian itu menunjukkan risiko letupan dan melecur.
Encik Kwok dan Encik Wee mengalami luka melecur teruk yang menyebabkan Encik Kwok meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Encik Wee meninggal dunia di hospital.
Mangsa ketiga, Encik Low, melecur 27 peratus tubuhnya, termasuk muka, leher dan anggota badan.
Beliau dirawat selama hampir sebulan dan diberikan 223 hari cuti sakit.
Dalam kenyataan 2024, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata ketiga-tiga mereka sedang membaiki kerosakan elektrik apabila kipas gagal dimatikan daripada bilik kawalan.
Mereka memasuki bilik suis, dan berlaku letupan berhampiran peralatan suis.
Encik Wee meninggal dunia tiga hari kemudian manakala Encik Low akhirnya pulih.
MOM mengeluarkan perintah henti kerja, yang kemudian ditarik balik pada 24 November 2021.
Siasatan mendapati piston yang haus jatuh dan menghalang pemutus litar daripada berfungsi, menyebabkan pasukan itu tidak dapat mematikan kipas dari jarak jauh.
Letupan berlaku ketika mereka melakukan live racking walaupun loji masih beroperasi, dan kedua-dua Encik Kwok serta Encik Wee tidak layak secara sah untuk melakukannya.
Pasukan cawangan penyelenggaraan elektrik juga didapati menjalankan racking voltan tinggi tanpa pengawasan selama bertahun-tahun.
Peguam NEA, Encik Jason Chan, berkata peristiwa itu ‘belum pernah berlaku dan tidak dijangka’.
Beliau berkata kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju mekanisme keselamatan loji telah terganggu akibat piston yang tertanggal.
Encik Chan berkata NEA amat kesal atas kejadian itu, namun menegaskan letupan tersebut bukan berpunca daripada kelemahan yang diakui oleh NEA.
Beliau menegaskan PTW itu dikeluarkan untuk menyiasat kerosakan loji, bukan menjalankan kerja racking.
“Pada hari kemalangan, piston yang tercabut menyebabkan mekanisme keselamatan gagal berfungsi. Inilah yang membawa kepada letupan arka elektrik,” kata Encik Chan.
Namun DPP Chan berkata NEA tetap bertanggungjawab kerana membenarkan kerja racking berlaku yang menyebabkan letupan.
Hakim Luke Tan mendapati kegagalan sistemik NEA menyebabkan dua kematian dan kecederaan parah, dan menolak hujah pembelaan.
Dalam kenyataan selepas denda dijatuhkan, NEA berkata ia menerima keputusan itu dan akan bekerjasama dengan kementerian.
Menurut laporan The Straits Times (ST), loji itu akhirnya dinyahaktif pada Julai 2022.
Sepanjang 36 tahun berkhidmat, tiada kejadian kemalangan serius atau nahas lain berlaku di loji tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg