Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Denda $7j akibat elak cukai dikenakan di pusat pemeriksaan S’pura dari Jan-Okt

Jumlah denda lebih dua kali ganda banding tempoh sama pada 2024
Dec 1, 2025 | 2:37 PM
wanita malaysia didenda, singapore customs. bearbrick
Antara barangan yang tidak diisytiharkan yang cuba dibawa masuk ke Singapura oleh pesalah ialah (dari kiri ikut putaran jam) patung koleksi Bearbrick, umpan pancing untuk tujuan komersial, serta beg dan barang kemas mewah.  - Foto KASTAM SINGAPURA

Seorang wanita yang tiba dari Malaysia pada 18 Oktober cuba keluar dari dewan ketibaan di Lapangan Terbang Changi melalui laluan hijau tanpa mengisytiharkan koleksi patung Bearbrick miliknya, dikenakan denda $565.

Wanita itu merupakan salah seorang daripada lebih 23,000 orang yang ditangkap dan dikenakan denda sebanyak $7,114,850 dari Januari hingga Oktober 2025, menurut kenyataan media Kastam Singapura pada 1 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Mereka ditangkap di semua pusat pemeriksaan udara, darat dan laut kerana gagal mengisytiharkan barangan dibawa masuk ke Singapura yang tertakluk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Jumlah denda yang dikenakan 10 bulan pertama 2025 adalah lebih dua kali ganda berbanding $3,471,043 yang dikenakan dalam tempoh yang sama pada 2024.

Pada tempoh yang sama pada 2023, jumlah denda keseluruhan sebanyak $2,303,380.

Jumlah keseluruhan individu yang ditangkap dari Januari hingga Oktober 2025 seramai 23,742, meningkat daripada 13,099 pada 2024 dan 7,139 pada 2023 bagi tempoh yang sama.

Kastam Singapura, yang bekerjasama dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk menjalankan pemeriksaan dan mencegah kesalahan, berkata 142 pesalah pada 2025 menerima hukuman maksimum $5,000 kerana membuat pengisytiharan yang salah atau tidak lengkap.

Jumlah tersebut lebih tiga kali ganda daripada 46 kes pada 2024 dan 51 kes pada 2023.

Salah seorang pesalah yang menerima denda maksimum $5,000 ialah seorang wanita yang tiba dari Bangkok pada 17 Oktober dan ditangkap membawa barangan mewah baru yang tidak diisytiharkan termasuk beg, dompet dan tiga barang kemas.

Jurucakap Kastam Singapura berkata mengelak pembayaran duti atau GST di pusat pemeriksaan adalah kesalahan serius dan agensi akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pesalah.

Kesalahan biasa melibatkan barangan komersial seperti alat ganti mesin dan bahan untuk ubah suai, pakaian dan aksesori termasuk beg dan telefon bimbit, barangan pengguna seperti produk kesihatan, serta rokok dan alkohol.

Antara pesalah yang cuba membawa barangan untuk tujuan komersial merupakan seorang lelaki yang ditangkap di Pusat Pelayaran Singapura pada 31 Julai dengan 544 umpan pancing dan didenda $1,130, serta seorang lagi di Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan beberapa gulungan pembungkus perabot dan didenda $250.

Semua barangan dibawa masuk ke Singapura tetap tertakluk kepada GST dan mereka yang cuba mengelak bayaran dengan menipu boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda jumlah yang dielak atau penjara sehingga dua tahun, menurut Kastam Singapura.

Agensi itu mengingatkan orang ramai agar mereka mesti mengisytiharkan dengan jujur dan membayar duti atau GST berkenaan untuk barangan yang melebihi had pengecualian import dan bebas duti.

Mereka boleh membuat pengisytiharan awal melalui aplikasi Customs@SG atau menggunakan Kios Pengisytiharan Kastam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg