Lebih 13,000 karton rokok tanpa cukai ditemui dalam sebuah lori dan telah dirampas pegawai imigresen di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Februari.
Lori tersebut dipandu seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun, yang cuba menyeludup masuk rokok tersebut ke Singapura, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), pada 17 Februari.
‘Balang kaca’ diisytiharkan sebagai sebahagian daripada muatan lori tersebut, tetapi seorang penganalisis imej ICA mengesan sesuatu yang aneh di dalam imbasan imej bagi kargo kenderaan berdaftar Malaysia itu semasa sesi pemeriksaan ketibaan.
Pegawai ICA melakukan pemeriksaan ke atas lori tersebut dan menemui 13,035 karton serta 9,768 paket rokok yang disembunyikan di dalam sebuah kotak kadbod yang diisi dengan balang kaca.
Kes ini telah dirujuk kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu kenyataan, ICA berkata ia akan terus memanfaatkan teknologi analisis data dan bekerjasama dengan agensi lain bagi mencegah percubaan penyeludupan barangan terlarang ke Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg