Topik diikuti
Pergi ke BHkuDenda hingga $500 bagi penumpang bas yang laungkan muzik, letak kaki di tempat duduk mulai 23 Sep
Denda hingga $500 bagi penumpang bas yang laungkan muzik, letak kaki di tempat duduk mulai 23 Sep
Denda hingga $500 bagi penumpang bas yang laungkan muzik, letak kaki di tempat duduk mulai 23 Sep
Penumpang bas yang bermain muzik dengan kuat, meletakkan kaki di atas tempat duduk atau melakukan perbuatan lain yang mengganggu boleh didenda sehingga $500 mulai 23 September, di bawah peraturan baharu untuk menjadikan perjalanan di dalam pengangkutan awam lebih selamat dan selesa.
Kesalahan yang lebih berat, seperti menyebabkan halangan atau bahaya di pusat pertukaran dan terminal bas, atau mengotorkan bas atau kawasan berkenaan, boleh didenda sehingga $5,000, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 21 September.
Menurut LTA, setiap penumpang perlu memainkan peranan dalam mewujudkan “suasana perjalanan yang bertimbang rasa dan menyenangkan” kerana pengangkutan awam ialah ruang untuk kegunaan bersama.
LTA akan terus bekerjasama dengan pengendali bas awam untuk menggunakan pertimbangan sewajarnya dalam menangani kes penumpang yang tidak bertimbang rasa, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan fizikal atau mental.
Bagi menguatkuasakan peraturan ini, kakitangan tertentu daripada empat pengendali bas awam, termasuk pemeriksa tiket dan kakitangan pusat pertukaran bas, boleh mengeluarkan notis rasmi kepada penumpang yang disyaki melakukan kesalahan.
LTA kemudian akan menjalankan siasatan lanjut.
Menurut LTA, pemandu bas tidak diberi kuasa mengeluarkan notis sedemikian “agar tidak menjejaskan tugas utama mereka mengendalikan bas dengan selamat”.
Bagaimanapun, mereka boleh menasihati penumpang menghentikan perbuatan yang mengganggu dan meminta mereka turun dari bas jika enggan mematuhi arahan.
Jika penumpang enggan bekerjasama, pemandu bas boleh meminta bantuan pusat kawalan operasi bas atau polis.
Dalam kenyataannya, LTA berkata penalti baharu itu sejajar dengan pengangkutan rel, dengan mengutamakan keselesaan penumpang lain dan kelancaran perkhidmatan bas ketika menangani gangguan di dalam bas.
Pada Mac 2025, Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) Encik Baey Yam Keng, yang ketika itu Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pengangkutan, berkata di Parlimen bahawa kuasa pemerintah menangani tingkah laku penumpang bas lebih terhad berbanding pengangkutan rel.
Peraturan baharu kemudian diluluskan Parlimen pada Oktober 2025 untuk mengawal tingkah laku penumpang bas bagi mencegah perbuatan yang tidak bertimbang rasa.
Ketika itu, Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Encik Murali Pillai, berkata peraturan berkenaan akan berpandukan Akta Sistem Gerak Cepat (RTS).
