Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tangga tempat duduk bas elektrik direndahkan bagi warga emas

Oct 31, 2025 | 5:29 PM
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), bas elektrik, anak tangga
Paras anak tangga bas elektrik baru diturunkan dari 33 sentimeter (cm) ke 23 cm mulai Oktober bagi memudahkan warga emas naik ke tempat duduk. - Foto LTA

Langkah menurunkan paras anak tangga dalam 420 bas elektrik baru sedang dilakukan susulan maklum balas warga emas yang menyuarakan kesukaran naik ke tempat duduk.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata kerja menurunkan paras anak tangga ke platform tempat duduk tinggi di dalam bas elektrik satu tingkat keluaran BYD dan Zhongtong telah bermula pada Oktober. 

Langkah itu bagi memudahkan warga emas dan penumpang yang mempunyai masalah pergerakan.

Ketinggian anak tangga ke platform itu yang setinggi 33 sentimeter (cm) akan dikurangkan ke 23 cm atau lebih rendah – sama seperti ketinggian anak tangga dalam bas dua tingkat. 

LTA kini bekerjasama dengan syarikat pengilang bas tersebut bagi melaksanakan perubahan itu, yang dijangka menjadikan akses ke tempat duduk lebih mudah dan selamat.

“Pengubahsuaian ini bagi kemudahan dan keselamatan warga emas serta penumpang yang sukar bergerak,” kata LTA.

Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), LTA tidak mendedahkan kos pengubahsuaian itu ketika ditanya.

Setakat ini, 170 bas seperti ini sudah beroperasi, dengan kumpulan pertama mula berkhidmat sejak Disember 2024. 

Bas-bas itu biasanya melalui kawasan Hougang dan Sengkang, seperti khidmat bas nombor 80, 163 dan 371.

Kesemua 420 bas elektrik yang diperolehi LTA pada 2024 sedang menjalani pengubahsuaian itu dan akan dikerahkan secara berperingkat menjelang akhir 2025. 

Reka bentuk lantai rendah bas elektrik baru menjadikannya mesra pengguna kerusi roda, namun memerlukan tempat duduk diletakkan di atas platform tinggi untuk memberi ruang kepada lengkungan tayar, motor, dan bateri.

Akibatnya, tempat duduk di dalam bas elektrik diletakkan di atas platform lebih tinggi berbanding bas diesel.

LTA telah menamatkan keperluan reka bentuk lantai rendah dalam tender terkininya bagi 660 bas elektrik baru pada Jun, walaupun keperluan lain seperti satu pintu masuk dan dua pintu keluar, serta dua ruang kerusi roda dikekalkan.

Penumpang yang kerap menaiki bas keluaran BYD dan Zhongtong itu menyambut baik langkah tersebut.

Cik Rosalinda Hassim, 56 tahun, yang sering menaiki bas 371 dari Sengkang ke Rivervale, berkata platform tinggi menyukarkan warga emas dengan masalah lutut. 

“Walaupun saya tiada masalah lutut, saya masih perlu berhati-hati untuk naik dan turun,” jelasnya.

Suri rumah, Cik Susan Han, 65 tahun, yang baru menjalani pembedahan lutut kiri, berkata beliau perlu berusaha lebih setiap kali menaiki bas nombor 159 dari Sengkang ke Toa Payoh. 

“Ramai warga emas memilih untuk berdiri kerana sukar hendak naik ke tempat duduk tinggi. Itu lebih berbahaya,” ujarnya.

Bagi mengurangkan gangguan, LTA menyatakan bas-bas berkenaan akan dikeluarkan daripada perkhidmatan secara berperingkat selama sseminggu dua bagi kerja pengubahsuaian itu.

Sementara itu, pemandu bas dinasihati agar lebih peka terhadap penumpang warga emas. 

Tempat duduk keutamaan tanpa anak tangga masih tersedia di bahagian depan bas.

“Kami berazam untuk memastikan sistem pengangkutan awam kekal mudah diakses dan selesa,” kata LTA, sambil menghargai kesabaran penumpang semasa penambahbaikan itu dilaksanakan.

Akhbar Cina, Shin Min Daily News, melaporkan pada awal Oktober bahawa warga emas sukar naik turun dari tempat duduk tinggi bas baru itu. 

LTA berkata usaha menangani isu itu telah bermula sebelum laporan diterbitkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg