Pengendali rel SMRT akan membayar denda lebih rendah sebanyak $2.4 juta ekoran gangguan besar selama enam hari di Laluan Timur-Barat (EWL) pada September 2024, setelah ia mengemukakan dokumen kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Jumlah itu lebih rendah daripada denda $3 juta yang dikenakan pada Jun ketika hasil siasatan mengenai kejadian itu diumumkan, lapor The Straits Times (ST).
Mengumumkan denda yang dikemas kini dalam satu kenyataan pada 25 Julai, LTA berkata denda $2.4 juta akan disalurkan ke Dana Pengangkutan Awam untuk membantu keluarga berpendapatan rendah dalam perbelanjaan pengangkutan awam mereka.
“LTA mengarahkan SMRT supaya melabur sekurang-kurangnya $600,000 bagi memperkukuh keupayaan dan menangani isu yang timbul bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan.
“Keputusan ini mengambil kira cabaran yang dihadapi SMRT dalam merancang pengubahsuaian tren Kawasaki Heavy Industries (KHI), terutama dalam mendapatkan alat ganti akibat gangguan rantaian bekalan sejagat disebabkan pandemik Covid-19,” jelas LTA.
LTA telah memberitahu SMRT tentang niatnya untuk mengenakan denda $3 juta pada 30 Mei dan memberikan pengendali rel itu dua minggu untuk mengemukakan pernyataan mereka.
SMRT telah berbuat demikian pada 6 Jun.
LTA menegaskan bahawa sistem rel Singapura kekal antara yang paling dipercayai di dunia.
Sejak 2019, purata jarak antara kegagalan MRT sentiasa melebihi satu juta kilometer-tren, bermakna lebih satu juta kilometer dilalui tanpa kelewatan lebih lima minit.
Jumlah yang dikemas kini sebanyak $2.4 juta adalah denda kedua tertinggi yang dikenakan ke atas pengendali rel.
Denda tertinggi yang pernah dikenakan adalah sebanyak $5.4 juta ke atas SMRT pada Julai 2015, kerana gangguan yang melumpuhkan keseluruhan Laluan Utara-Selatan (NSL) dan EWL selama lebih dua jam semasa waktu sibuk petang.
Pada Jun, LTA menyatakan denda yang dikenakan adalah wajar berbanding gangguan perkhidmatan MRT antara Jurong East dengan Buona Vista, yang menjejas satu daripada enam perjalanan harian.
LTA turut mengambil kira kos pembaikan SMRT serta perkhidmatan bas dan kereta api ulang-alik percuma.
Siasatan mendapati pelincir yang rosak menyebabkan bahagian tren KHI generasi pertama terjatuh pada 25 September 2024.
Bahagian yang dikenali sebagai kotak gandar, yang menyambungkan roda ke gandar, terlepas berhampiran stesen Dover semasa tren dikeluarkan untuk dihantar ke Depoh Ulu Pandan.
Kejadian itu menyebabkan salah satu daripada 12 bogi tren tergelincir.
Walaupun tren enam gerabak masih boleh bergerak dengan 11 bogi lain, bahagian yang tergelincir pada gerabak ketiga menyebabkan kerosakan besar pada 2.55 kilometer rel dan peralatan seperti kabel kuasa dan rel ketiga yang membekalkan tenaga kepada kereta api.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg