Pengendali rel SMRT sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap kaedah yang digunakan bagi meluluskan sebarang perubahan dalam rutin penyelenggaraan, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 3 Jun.
Ia adalah sebahagian daripada langkah SMRT untuk menambah baik sistem penyelenggaraannya susulan gangguan selama enam hari di Laluan Timur-Barat (EWL) pada September 2024.
LTA berkata gangguan itu berpunca daripada kereta api generasi pertama – Kawasaki Heavy Industries (KHI) – disebabkan kotak gandar, yang membolehkan roda berputar dengan lancar di atas landasan – telah mengalami kerosakan.
Kegagalan kotak gandar menyebabkan kerosakan meluas sepanjang 2.55 kilometer landasan dan peralatan di tepi landasan, serta gangguan perkhidmatan yang lama.
Kereta api yang terlibat tidak menjalani pemeriksaan baik pulih seperti yang ditetapkan – iaitu setiap 500,000 kilometer – sebaliknya dijadualkan diselenggara hanya selepas 750,000 kilometer.
Pada waktu kejadian, ia telah mencatat perjalanan sejauh 690,000 kilometer sejak pemeriksaan baik pulih terakhir pada Julai 2018.
“Jika kereta api yang terlibat dalam kejadian itu menjalani pemeriksaan baik pulih tepat pada masanya, keadaan pemasangan kotak gandarnya akan diperiksa dan sebarang gris yang merosot boleh diganti lebih awal,” kata LTA.
Walaupun pihak berkuasa sedar mengenai prosedur SMRT untuk mengubah selang masa pemeriksaan baik pulih, tiada keperluan bagi SMRT untuk memaklumkan kepada LTA apabila perubahan tersebut dilakukan.
“Kerana kegagalan kotak gandar tidak berlaku dengan kerap, SMRT tidak menjalankan penilaian kejuruteraan dan risiko secara terperinci sebelum melanjutkan selang masa pemeriksaan besar kotak gandar,” ujar LTA.
Selepas kejadian tersebut, SMRT menetapkan kesemua kereta api KHI yang mempunyai jarak perjalanan melebihi 500,000 kilometer, menjalani pemeriksaan baik pulih pada kotak gandar sebelum meneruskan semula perkhidmatan.
Proses itu selesai pada Oktober 2024.
Semua kereta api seumpamanya yang masih beroperasi akan ditamatkan perkhidmatannya secara berperingkat jelang September.
SMRT juga mula menggunakan analitik data untuk mengesan suhu kotak gandar yang tidak normal lebih awal.
Mereka telah memperbaiki kesalahan pada sistem alat pemantauan suhu dan memperkukuh prosedur bagi kakitangan supaya dapat memberi amaran tentang suhu tinggi dengan lebih cepat.
Selain itu, SMRT telah menurunkan kelajuan kereta api yang dikeluarkan ke depoh dalam keadaan serupa kepada 35 kilometer sejam untuk mengurangkan potensi kerosakan pada landasan dan peralatan tepi landasan.
Sebagai pemilik aset rel, LTA telah mempertingkat pengawasannya terhadap pengurusan aset oleh pengendali, termasuk prosedur untuk melaraskan jadual penyelenggaraan.
Pihak pengawal selia juga telah memperbaiki pengesanan penyelenggaraan utama bagi peralatan operasi dan semakan lanjutan untuk penyelenggaraan yang dijadualkan bagi sistem utama.
“Ini termasuk kerjasama antara LTA dengan pengendali untuk membuat keputusan pemeriksaan besar pada masa hadapan,” kata pihak berkuasa itu.
LTA juga berkata ia sedang mendapatkan nasihat daripada penasihat bebas berkaitan strategi operasi dan penyelenggaraan, serta penambahbaikan keandalan.
Disebabkan gangguan yang terjadi, SMRT bakal didenda $3 juta, iaitu jumlah kedua tertinggi yang pernah dikenakan.
Jumlah tertinggi ialah denda $5.4 juta yang dikenakan ke atas SMRT bagi gangguan sistem menyeluruh di laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat pada 2015.
SMRT juga pernah dikenakan denda $2 juta bagi gangguan di laluan Utara-Selatan pada 15 dan 17 Disember 2011.
Profesor Madya Walter Theseira, dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata kepada Berita Harian (BH), perkara yang lebih penting bukanlah mengenai denda tersebut.
Namun, ia lebih kepada apa yang akan dilakukan oleh SMRT dan LTA untuk melaksanakan proses yang lebih baik dalam menilai keputusan penyelenggaraan dan memantau keandalan.
“Beberapa perubahan sudah dilaksanakan. Namun secara lebih luas, kita perlu bertanya siapa yang sepatutnya bertanggungjawab membuat keputusan mengenai pertimbangan antara kebolehpercayaan dengan keberkesanan kos.
“Keputusan ini perlu dibuat kerana ia melibatkan dana awam (untuk subsidi) dan tambang yang perlu dibayar oleh orang ramai,” katanya.
Beliau menambah, tidak salah untuk mencari cara penyelenggaraan yang lebih menjimatkan kos, tetapi mungkin perlu ada lebih pengawasan dan kerjasama antara pihak pengendali dengan LTA dalam membuat keputusan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg