Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Denda maksimum langgar keselamatan di tempat kerja dinaikkan kepada $50,000 mulai 1 Jun

May 27, 2024 | 3:45 PM
Seorang jurutera Zheng Keng Engineering & Construction menunjukkan penggunaan analisis video untuk melihat sama ada pekerja di tapak pembinaan mematuhi amalan keselamatan.
Seorang jurutera Zheng Keng Engineering & Construction menunjukkan penggunaan analisis video untuk melihat sama ada pekerja di tapak pembinaan mematuhi amalan keselamatan. - Foto ST

Mulai Jun, syarikat yang melanggar peraturan keselamatan akan dikenakan denda maksimum yang lebih tinggi sebanyak $50,000.

Di samping itu, tapak pembinaan dengan jumlah kontrak sekurang-kurangnya $5 juta perlu memasang kamera pengawasan.

Denda yang dinaikkan mulai 1 Jun itu akan dikenakan terhadap semua industri di bawah Undang-undang Subsidiari Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) bagi kesalahan yang menjadi punca utama kematian, kecederaan serius atau kejadian berbahaya seperti letupan.

Antara kesalahan termasuk gagal memasang struktur pelindung untuk mengelak kes terjatuh, tidak melantik orang berkelayakan untuk melaksanakan tugas kritikal dan gagal memeriksa atau menyelenggara peralatan seperti kren dan perancah.

Langkah itu dibuat selepas kematian di tempat kerja Singapura dan kadar kecederaan utama berkurang ke paras terendah pada 2023, tidak termasuk 2020 ketika pandemik Covid-19 mengganggu kerja-kerja pembinaan.

Seramai 36 pekerja meninggal dunia pada 2023, turun 21.7 peratus berbanding 46 kematian pada 2022, dan terdapat 590 kecederaan utama pada 2023, turun daripada 614 pada 2022.

Mengulas keputusan melaksanakan langkah lebih ketat meskipun kadar insiden rendah, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata pada 27 Mei: 

“Kami tidak mahu mempunyai situasi kami leka. Kami tidak mahu ‘berjaya sekali sahaja’. 

“Kami mempunyai rekod rendah tahun lepas, tetapi perlu diingat juga bahawa pada tahun sebelum itu, kami masih bergelut dengan kadar (kematian dan kecederaan serius) yang tinggi. 

“Oleh itu, kami mahu memastikan ini dapat dikekalkan dari semasa ke semasa.”

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke tapak kerja Poliklinik Serangoon di Upper Serangoon Road.

Ia terletak bertentangan pusat beli-belah Nex dan stesen MRT Serangoon dan dijadualkan dibuka pada 2025.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata kenaikan denda maksimum akan mengukuhkan pemilikan dan akauntabiliti WSH, terutama dalam kalangan kepimpinan kanan syarikat yang bertanggungjawab membentuk budaya keselamatan di tempat kerja.

Mulai 1 Jun juga, sistem pengawasan video perlu dipasang di setiap tapak binaan projek yang bernilai $5 juta atau lebih.

Walaupun terdapat penambahbaikan dalam sektor pembinaan, ia masih merupakan penyumbang utama kecederaan maut dan besar pada 2023.

Terdiri daripada rangkaian kamera, monitor atau unit paparan dan perakam, sistem video mesti diletakkan di lokasi tapak kerja di mana kerja berisiko tinggi dijalankan.

MOM berkata sistem video sedemikian akan bertindak sebagai penghalang untuk tingkah laku yang tidak selamat di tempat kerja dan menawarkan pemantauan terhadap siasatan insiden keselamatan dan kejadian yang hampir berlaku. 

Pasukan petugas keselamatan tempat kerja berbilang agensi, yang pertama kali mengumumkan langkah itu pada Mei 2023, berkata bahawa syarikat akan menanggung kos melaksanakannya.

Encik Zaqy berkata terdapat langkah sokongan untuk syarikat melaksanakan teknologi automatik sedemikian, sambil menekankan bahawa keselamatan pekerja perlu menjadi keutamaan.

“Ini tidak sepatutnya menjadi pertimbangan kos kerana ini adalah mengenai menyelamatkan nyawa. Setiap nyawa adalah berharga dan pastinya anda mahu menuju ke arah toleransi sifar untuk sebarang kematian,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg