Mulai 1 Julai, penunggang basikal dan pengguna alat pergerakan peribadi (PMD) tanpa motor seperti skuter roda, boleh berdepan hukuman jika menggunakan laluan khas pejalan kaki di kawasan perumahan seluruh Singapura.
Hanya pejalan kaki dan pengguna alat bantuan pergerakan peribadi (PMA) seperti kerusi roda elektrik, dibenarkan untuk menggunakan laluan khas pejalan kaki yang telah dicat dengan tanda ‘pedestrian only’ (pejalan kaki sahaja).
Manakala laluan basikal telah dicat dengan warna merah.
Pengguna PMA perlu mematuhi had laju baru iaitu 6 kilometer sejam (kmj) menjelang suku pertama 2026, berbanding had semasa, iaitu 10kmj.
Basikal dan PMD tanpa motor masih dibenarkan di laluan pejalan kaki yang dikongsi bersama.
Sejak inisiatif itu diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Ogos 2024, lebih 200 kilometer laluan pejalan kaki yang terletak bersebelahan lorong basikal telah ditukar menjadi laluan khas untuk pejalan kaki.
Inisiatif itu dimulakan di Toa Payoh pada Januari 2025 dan kini laluan khas tersebut boleh ditemui di Tampines, Punggol, Sengkang, Yishun dan Clementi, lapor The Straits Times (ST).
LTA sebelum ini berkata penguatkuasaan penggunaan laluan khas pejalan kaki dan laluan basikal yang betul akan bermula pada 1 Julai 2025.
Ini bagi memberi masa kepada orang ramai untuk menyesuaikan diri dengan langkah itu, yang diperkenalkan “demi keselamatan pejalan kaki yang rentan seperti warga emas dan kanak-kanak”.
Pesalah kali pertama yang disabit kesalahan menunggang di laluan khas pejalan kaki boleh didenda sehingga $2,000 atau dipenjara tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pejalan kaki yang berjalan di laluan basikal pula tidak akan dikenakan hukuman namun mereka dinasihati supaya kekal di laluan khas pejalan kaki demi keselamatan, kata LTA.
LTA berkata pegawai penguat kuasa pergerakan aktif (Ameo) akan mengambil “pendekatan berhati-hati dan seimbang” dalam menentukan sesuatu kesalahan.
Namun, Ameo tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang memecut atau menunggang secara melulu dan berbahaya di laluan.
Bercakap kepada wartawan di laluan khas pejalan kaki yang baru di Tampines Avenue 4 pada 1 Julai, Menteri Negara bagi Pengangkutan, Encik Baey Yam Keng berkata meskipun Ameo akan memberi “faedah kesangsian” kepada orang ramai, mereka tidak boleh terlalu berlembut.
“Jika tidak, undang-undang tidak akan berkesan,” tambahnya, dan satu isyarat perlu disampaikan kepada mereka yang berulang kali melanggar peraturan.
Encik Baey, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, berkata Ameo boleh menghentikan penunggang basikal yang memecut atau menunggang secara berbahaya.
“Jika perlu, Ameo boleh menggunakan alat lain seperti CCTV (kamera litar tertutup) untuk mengesan penunggang sebegini,” kata Encik Baey.
Ameo turut dilengkapi dengan kamera badan.
Encik Baey menambah bahawa usaha penguatkuasaan akan ditumpukan di kawasan yang mempunyai “pertembungan tinggi antara penunggang basikal dengan pejalan kaki”, seperti di sekitar pusat beli-belah.
Sejak Ogos 2024, Ameo telah mendidik penunggang basikal dan pengguna PMD tanpa motor mengenai penggunaan laluan yang betul, manakala LTA telah menjalin kerjasama dengan sekolah-sekolah untuk mendidik para pelajar tentang peraturan baru ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg