Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penunggang basikal dijel, langgar wanita hingga retak kepala 

Jun 20, 2025 | 5:56 PM
edmund kwek jun wei, langgar, cuai, basikal, cedera
Edmund Kwek Jun Wei, dijatuhi hukuman penjara seminggu selepas dia mengaku bersalah kerana menyebabkan wanita tersebut cedera parah, dengan menunggang basikal secara cuai sehingga melanggar wanita itu. - Foto ST

Seorang lelaki yang mengayuh basikal secara tidak berhati-hati di laluan basikal di Taman East Coast pada Oktober 2024, telah melanggar seorang pelari wanita.  

Pelanggaran itu menyebabkan pelari tersebut terjatuh dan mengalami keretakan di kepala. 

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Melissa Heng berkata Edmund Kwek Jun Wei, 34 tahun, sedang mengayuh pada “kelajuan agak tinggi” iaitu 22 kilometer sejam (km/j) pada masa itu.

Bagaimanapun, kelajuan tersebut masih di bawah had laju 25 km/j yang ditetapkan bagi penunggang basikal di kawasan tersebut.

Pada 20 Jun, Kwek dijatuhi hukuman penjara seminggu selepas dia mengaku bersalah kerana menyebabkan wanita tersebut cedera parah, dengan menunggang basikal secara cuai sehingga melanggar wanita itu, lapor The Straits Times (ST). 

Akibatnya, mangsa berusia 48 tahun itu mengalami hematoma subdura – sejenis pendarahan berhampiran otak.

Beliau dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH) sebelum dimasukkan ke Wad Rawatan Separa Rapi (HDW) dan dirawat oleh pakar bedah saraf.  

Laporan perubatan bertarikh 21 Februari menyatakan bahawa selepas kemalangan itu, deria bau mangsa terjejas.

Beliau turut mengalami vertigo (rasa mabuk seperti keadaan sekeliling berputar) apabila membongkok ke hadapan dan telinga kirinya tidak dapat mendengar dengan jelas.

Deria rasanya berkurangan dan beliau juga terpaksa mendapatkan khidmat pakar terapi pertuturan.

DPP Heng memberitahu mahkamah bahawa pada sekitar 6.20 pagi hari kejadian pada 22 Oktober 2024, penunggang basikal tersebut memandang ke bawah ketika menunggang di kawasan taman tersebut yang diterangi lampu jalan.

Apabila dia mendongak, dia terlihat bahagian belakang wanita tersebut, yang sedang berlari-lari anak lalu basikalnya melanggar mangsa.

“Kesannya menyebabkan tertuduh tercampak dari basikalnya dan jatuh ke tanah.

“Mangsa tidak dapat memberi respons kepada soalan tertuduh dan tertuduh menghubungi talian kecemasan 995,” kata DPP Heng.

Kwek ditahan pada 24 Oktober 2024 dan didakwa di mahkamah dua bulan kemudian.

Mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 6 November 2024.

Beliau juga diberikan cuti rawatan hospital selama 90 hari.

Pada 17 Januari, mangsa mendapati beliau berasa kurang pening, namun deria baunya masih terjejas.

Laporan perubatan dua bulan kemudian menyatakan bahawa pertuturannya bertambah baik dengan ketara.

Jika didapati bersalah menyebabkan cedera parah kepada orang lain atas tindakan cuai, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga $5,000, atau kededua hukuman. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg