Beberapa laluan pejalan kaki di Toa Payoh, seperti di Toa Payoh Central, Lorong 1 Toa Payoh dan Lorong 4 Toa Payoh, telah dijadikan laluan khas pejalan kaki atau ‘pedestrians only’ untuk meningkatkan keselamatan mereka yang berjalan kaki.
Ini di bawah satu inisiatif menukar laluan di sebelah lorong berbasikal kepada laluan khas untuk pejalan kaki.
Selain pejalan kaki, pengguna alat bantuan pergerakan peribadi (PMA), seperti skuter mobiliti dan kerusi roda elektrik, dibenarkan bergerak di laluan tersebut, lapor The Straits Times.
Ini akan dilaksanakan di estet lain seluruh Singapura menjelang 1 Julai, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dalam satu hantaran Facebook pada 21 Januari.
Untuk memberi amaran kepada pengguna tentang laluan khas pejalan kaki itu, tanda fizikal – termasuk logo pejalan kaki dan perkataan ‘pedestrians only’ (pejalan kaki sahaja) – akan dicetak di atas laluan yang bersebelahan dengan laluan berbasikal itu.
Pada Ogos 2024, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata laluan pejalan kaki yang terletak di sebelah lorong berbasikal sepanjang lebih 200 kilometer akan diubah menjadi laluan khas pejalan kaki secara berperingkat mulai suku terakhir 2024 dalam usaha meningkatkan keselamatan pejalan kaki.
Dengan langkah itu, basikal serta alat pergerakan peribadi (PMD) tidak bermotor seperti skuter roda, yang dibenarkan di laluan jalan kaki pada masa ini, akan dilarang penggunaannya di laluan khas pejalan kaki.
Untuk memberi penunggang basikal dan pengguna PMD tidak bermotor masa untuk menyesuaikan diri dengan langkah itu, penguatkuasaan akan bermula hanya dari 1 Julai.
Pesalah kali pertama yang disabitkan kesalahan menunggang di laluan khas pejalan kaki boleh didenda sehingga $2,000 atau penjara tiga bulan, atau kedua-duanya.
Pejalan kaki yang tersasar ke laluan berbasikal tidak akan menghadapi hukuman seperti itu.
Selepas langkah itu berkuat kuasa, hanya pejalan kaki dan pengguna PMA akan dibenarkan di laluan khas pejalan kaki.
PMD mesti mematuhi had laju 6 kilometer sejam (kmj) menjelang akhir 2025, turun daripada 10kmj.
Basikal, basikal elektrik, PMD bermotor dan tidak bermotor serta PMA akan terus dibenarkan di laluan berbasikal.
Di laluan pejalan kaki lain, basikal dan PMD tidak bermotor kekal dibenarkan.
Laluan untuk pejalan kaki sahaja bukanlah perkara baru di sini.
Sebagai contoh, beberapa laluan terpilih Rangkaian Penghubung Taman (PCN) Singapura, yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara, diasingkan untuk kegunaan pejalan kaki sahaja, serta laluan berkongsi.
Laluan seperti itu, yang sepanjang kira-kira 30 kilometer, terletak di Taman East Coast, Pantai Changi dan Pasir Panjang, serta PCN Changi Bay.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg