Seorang bayi berusia dua bulan yang meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas ibunya menghempaskannya ke dalam tempat tidur bayi, didapati mengalami beberapa tulang patah yang sudah sembuh.
Itu menunjukkan bahawa Zabelle Peh didera sejurus selepas dia dilahirkan.
Mesej teks antara ibu bapa Zabelle juga menunjukkan mereka memukulnya ketika dia berumur kurang dua minggu.
Pada 2 April, ibu Zabelle, Sim Liang Xiu, dihukum penjara lapan tahun selepas dia mengaku bersalah bagi satu pertuduhan homisid salah melibatkan perbuatannya di flat mereka di Sembawang Crescent pada malam 8 Januari 2023, lapor The Straits Times.
Perbuatan itu menyebabkan Zabelle meninggal dunia di hospital lima hari kemudian.
Sim, 31 tahun, dinilai mengalami kemurungan selepas bersalin pada masa itu, yang secara ketara menjejaskan tanggungjawab mentalnya ke atas tindakan tersebut.
Suaminya, Peh Wei Jian, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan gagal mengambil langkah munasabah untuk melindungi Zabelle daripada perbuatan Sim.
Pasangan itu juga menghadapi satu pertuduhan penderaan kanak-kanak setiap seorang, yang diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Sim mengaku melakukan perbuatan seperti menampar muka bayinya dan menggigit lengan bawahnya, manakala Peh mengaku melakukan perbuatan seperti menolak secara paksa hujung botol susu ke dalam mulut bayi itu dan mencampakkannya ke dalam katil bayi.
Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Dedar Singh Gill, berkata adalah sukar untuk memahami kekejaman yang dikenakan ke atas Zabelle itu.
Mesej teks yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan Zabelle didera secara fizikal sepanjang hayatnya yang pendek itu.
Dalam mesej terawal, pada 18 November 2022, Peh memberitahu isterinya supaya “cuba” jangan memukul bayi itu.
Dalam pertukaran mesej lain pada 6 Disember 2022, Sim memberitahu suaminya bahawa dia terus memukul bayi itu setiap kali dia menggunakan gambar keluarga mereka sebagai gambar paparannya. Tidak disebutkan di mana dia menggunakan gambar itu.
Peh kemudian bertanya kepadanya sama ada bayi itu akan ingat dipukul apabila dia dewasa kelak.
Apabila Sim berkata bayi itu tidak akan mengingatinya, Peh menjawab: “Tetapi jangan buat tulangnya patah.”
Pada 8 Januari 2023, Sim menghempaskan Zabelle ke dalam katil bayi kerana dia marah bayi itu membuang air dan mengotorkan dirinya sendiri.
Peh mendapati bayi itu tidak sedarkan diri selepas memandikannya esoknya.
Pasangan itu kemudian merancang berbohong kepada pihak berkuasa dan penyedia penjagaan kesihatan bagi menutup penderaan fizikal mereka terhadap bayi itu, sebelum mereka menghubungi ambulans.
Sim memberitahu paramedik bahawa Zabelle tidak sedarkan diri selepas dia jatuh dari katil.
Zabelle dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) untuk rawatan, dan kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH).
Sim dan Peh ditangkap pada 12 Januari 2023, dan berada dalam tahanan sejak itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg