Rumahku syurgaku. Itu impian kebanyakan orang.
Namun sedikit masa dahulu, Cik Trisha Amirah Mohd Noor dan empat anaknya tidak menganggap rumah mereka sebagai syurga.
Ia kerana sepanjang 11 tahun lamanya mereka hidup dalam ketakutan di rumah mereka, dengan sedikit kejadian sahaja boleh mencetuskan kemarahan bekas suaminya.
Mereka tidak tahu cara melarikan diri hinggalah Cik Trisha, 34 tahun, menyedari beliau tidak berdaya bertahan lagi melihat anak-anaknya, terutama anak bongsu berusia setahun ketika itu, didera.
Pada 2018, Cik Trisha bertekad membuat laporan, mendapatkan bantuan dan dirujuk ke rumah kebajikan Casa Raudha.
“Penderaan bermula secara beransur-ansur selepas berkahwin. Pada mulanya dia akan menggunakan bahasa kasar dan kesat, kemudian ia menjadi fizikal,” kongsi beliau kepada Berita Harian dalam satu pertemuan di ibu pejabat Casa Raudha di New Upper Changi Road.
Lama-kelamaan penderaan fizikal dan emosi itu bertambah, kata Cik Trisha, yang kini bekerja sebagai pembantu dapur.
Sebelum ini, beliau dan keempat-empat anaknya menghuni Casa Raudha selama setahun pada 2018.
Memang sudah lumrah seorang ibu untuk melindungi anak-anaknya apabila disakiti. Namun, semakin Cik Trisha melindungi anak-anaknya, semakin geram bekas suaminya.
“Kalau saya tak lindung mereka, siapa lagi? Lagipun, takkan saya tak nak lindung anak sendiri?”
Mengimbas kembali peristiwa pahit yang berlaku semasa Ramadan di rumahnya sebelum ini, Cik Trisha berkongsi bahawa tiga anak pertamanya sedang menonton televisyen sementara beliau sedang membuat tat Nutella. Anak bongsunya pada ketika itu berada di kawasan pintu rumahnya dan jarinya tersepit hingga tercedera.
“Anak sulung saya, masih kecil lagi, jadi dia hanya menarik dan mengangkat adiknya begitu sahaja,” jelas beliau yang kemudian menggambarkan keadaan di rumah mereka sangat tegang dengan bekas suaminya yang serta-merta naik angin.
Pengalaman demikian membuat dirinya bertekad untuk mendapatkan bantuan, lebih-lebih lagi apabila anak-anaknya meluahkan perasaan takut mereka ketika di rumah bersama ayah mereka.
Bekas suami Cik Trisha digambarkannya bertubuh besar dan tinggi lampai.
“Sebab dia lagi besar daripada saya, saya takut. Lagipun, pada masa itu, saya anggap kemarahan dia sebagai tanda dia sayang… iya lah kan masih muda lagi, saya masih muda dan kononnya suka lah lelaki sebegitu, control,” jelas Cik Trisha yang berumah tangga pada usia 17 tahun.
Pernah terlintas dalam fikirannya untuk melarikan diri dan menyelamatkan diri dan anak-anak, dan walaupun beliau mempunyai Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadap bekas suaminya itu yang beliau mohon selepas berkahwin, dirinya diselebungi dengan perasaan takut dan buntu lantas beliau bertahan.
Pada 2018, beliau bertemu seorang pekerja sosial daripada Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) yang membantunya menghubungi polis dan kemudian merujuknya kepada Casa Raudha.
Cik Trisha antara mereka yang mengetahui tentang perkhidmatan dan sokongan yang ada bagi mangsa penderaan, dan membuat laporan mengenainya. Demikian menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga yang dikeluarkan buat kali pertama pada 26 September.
Menurut MSF, bilangan kes penderaan ‘kurang teruk’ (Tahap 1) dalam kalangan pasangan berumah tangga meningkat daripada 1,632 pada 2021 kepada 2,008 pada 2023.
Di Casa Raudha, Cik Trisha menerima sokongan asas, tempat tinggal, kaunseling dan menyertai pelbagai program pemerkasaan serta kursus pengurusan kemarahan. Di sana juga beliau menangani urusan perceraiannya, yang mengambil masa setahun.
Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff, berkata ramai orang yang datang ke situ adalah daripada latar belakang berpendapatan rendah atau tiada pendapatan.
Sokongan kewangan kecemasan turut ditawarkan untuk pakaian atau barang keperluan, dan ibu mempunyai bayi diberi susu serta lampin.
Kini, Cik Trisha dan anak-anaknya mempunyai sebuah rumah yang dianggap mereka sebagai syurga. Ia adalah satu titik permulaan bagi kehidupan baru mereka. Cik Trisha baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki penyabar dan bertanggungjawab pada Ogos.
“Pada mulanya agak sukar untuk saya menerima kehidupan baru, sebab perasaan takut masih ada. Saya takut seandainya saya harus melalui pengalaman pahit itu sekali lagi.
“Tapi kini saya dapat merasai apa ertinya menjadi seorang isteri dan bagaimana rasanya aman di rumah,” ujarnya.
“Saya mahu anak-anak mengalami perasaan berkeluarga yang sepatutnya mereka ada,” tambah beliau.
Cik Trisha berterima kasih dengan adanya pertubuhan seperti Casa Raudha yang telah membantu beliau dan anak-anaknya mendapat semula peluang kehidupan yang sebenarnya.
“Saya menggesa wanita-wanita yang mengalami penderaan untuk tampil dan melaporkan kerana terdapat pelbagai sokongan dan bantuan yang ada.”
Sementara itu, Cik Zaharah berkata jumlah kemasukan ke Casa Raudha berkurangan 24 peratus dari 2021 hingga 2022
Namun, dari 2022 hingga 2023, terdapat peningkatan sebanyak 4.38 peratus.
“Walaupun angka kemasukan penghuni tidak menentu, perubahan ini tidak semestinya menggambarkan statistik sebenar pada peringkat nasional,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg