Akses pendidikan yang lebih saksama, takrif kejayaan yang melangkaui keputusan peperiksaan, serta penekanan lebih besar kepada pembangunan peribadi, adalah antara cadangan yang diketengahkan peserta dalam sesi perbincangan, ‘Education Conversations’, anjuran Kementerian Pendidikan (MOE).

Sesi yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 27 Jun itu dipimpin Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dan disertai sekitar 160 peserta terdiri daripada ibu bapa, pendidik, pelajar, ahli akademik dan pemimpin industri yang berkongsi pandangan mengenai masa depan sistem pendidikan Singapura.

Salah seorang peserta, Encik Muhammad Nur Qayyum Muhammad Lukman, mengusulkan supaya peranan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dinilai semula agar penekanannya bertukar supaya pelajar tidak sekadar “menghafal tetapi memahami dan menerapkan konsep”.

Encik Qayyum, 28 tahun, yang bertugas sebagai pegawai eksekutif pendidikan di Boys’ Town, sebuah pertubuhan amal dan khidmat sosial tidak meraih untung, berkata:

“Kita juga perlu memastikan laluan seperti skim Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) lebih saksama dan tidak terlalu bergantung kepada kelas pengayaan yang hanya mampu diakses sesetengah keluarga.”

Bagi mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Duran Nur Irdina Elmasita Mohd Fadzli pula, perubahan yang diperlukan bukan sekadar pada dasar pendidikan, tetapi pada cara masyarakat melihat kegagalan.

“Kegagalan bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Ia sebahagian daripada proses untuk mencapai kejayaan,” ujar Cik Irdina, 23 tahun.

Berdasarkan pengalamannya sebagai tutor di Yayasan Mendaki selama dua tahun, beliau turut mencadangkan supaya lebih banyak unsur permainan serta pembelajaran berasaskan pengalaman diterapkan dalam pendidikan.

Ini kerana ia mampu memupuk sifat ingin tahu dan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, Cik Irdina juga berharap lebih banyak wadah diwujudkan bagi mempertemukan pelajar daripada latar belakang sosioekonomi berbeza supaya mereka dapat membina empati, kepercayaan, dan saling berkongsi peluang.

Sementara itu, Penolong Ketua bagi Perkongsian Masyarakat di Bapa Sepanjang Hayat, Encik Mohamed Yuzaimi Zainal, berpendapat kejayaan seseorang anak perlu diukur melalui pembentukan peribadi dan tingkah laku, bukan sekadar angka pada sijil peperiksaan.

“Kita perlu memberi anak ruang untuk membuat kesilapan. Apabila mereka belajar mengatasinya sendiri, mereka membina keyakinan diri dan daya tahan yang akan membantu mereka pada masa depan,” jelas Encik Yuzaimi, 46 tahun, bapa dua anak berusia lapan dan 11 tahun.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara ibu bapa dengan guru dalam membantu kanak-kanak menghadapi cabaran emosi dan kesihatan mental.

Berkongsi pandangan sama, pengasas bersama Ibu Sepanjang Hayat, Cik Yusnizan Mohd Taib, berkata pendidikan pada usia awal harus memberi lebih ruang kepada minat semula jadi kanak-kanak.

Menurut Cik Yusnizan, 50 tahun, yang juga juga ahli Majlis Masyarakat dan Ibu Bapa yang Menyokong Sekolah (Compass) ke-14, berkata pendidikan pada usia awal harus memberi lebih ruang kepada minat semula jadi kanak-kanak.

“Saya sendiri pernah terlalu menumpukan perhatian kepada pencapaian akademik anak sulung. Tetapi dengan anak bongsu, saya berhenti menghantarnya ke tuisyen dan memberi lebih kebebasan kepadanya.

“Hubungan kami menjadi lebih erat dan beliau lebih bermotivasi untuk belajar mengikut minatnya sendiri,” kata ibu dua anak berusia 14 dan 22 tahun itu.

Menurutnya, kumpulan beliau mencadangkan supaya peperiksaan berimpak tinggi pada usia muda dikaji semula, selain kurikulum direka bentuk agar lebih berasaskan penyelesaian masalah dunia sebenar seperti perubahan iklim berbanding pembelajaran mengikut mata pelajaran semata-mata.