Langkah mengetatkan pinjaman maksimum yang boleh diambil pembeli rumah daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bertujuan menggalak peminjaman yang berhemat dan mengurangkan permintaan untuk flat jualan semula yang lebih mahal, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Mulai 20 Ogos, had pinjaman kepada nilai hartanah untuk pinjaman perumahan HDB diturunkan daripada 80 peratus kepada 75 peratus, umum HDB dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan pada lewat malam 19 Ogos.
Langkah terkini itu tidak akan menjejas sebahagian besar pembeli, kata Encik Lee, memandangkan hampir sembilan dalam 10 pembeli dengan pinjaman HDB membuat pinjaman pada 75 peratus atau kurang daripada nilai flat mereka.
Namun, baki 10 peratus pembeli mengambil pinjaman melebihi 75 peratus dan sehingga 80 peratus daripada nilai flat mereka, dan pihak berkuasa memerhatikan pembeli yang mengambil pinjaman lebih tinggi itu secara tidak seimbang membeli flat lebih besar dan membayar harga lebih tinggi.
Ini menyumbang kepada keseluruhan harga yang lebih tinggi dalam pasaran jualan semula HDB, kata Encik Lee kepada media pada 20 Ogos.
“Jumlah 10 peratus itu bukan kecil. Golongan 10 peratus ini secara tidak seimbang membeli jenis flat lebih besar, yang menaikkan harga dalam pasaran keseluruhan… mereka juga secara tidak seimbang membayar harga lebih tinggi,” kata beliau.
Encik Lee menambah bahawa bagi median pembeli jualan semula yang mengambil pinjaman lebih 75 peratus, mereka membayar kira-kira $20,000 hingga $60,000 lebih tinggi berbanding pembeli lain yang mengambil pinjaman 75 peratus dan ke bawah, bergantung pada jenis flat.
Oleh itu, beliau berkata langkah mengetatkan pinjaman maksimum yang boleh diambil pembeli rumah itu akan mempunyai kesan menstabilkan pasaran jualan semula, namun pemerintah akan “memantau kesan langkah tersebut ke atas pasaran jualan semula keseluruhan”.
Selain langkah mengetatkan pinjaman maksimum yang boleh diambil pembeli rumah, HDB dan MND mengumumkan lebih banyak sokongan kewangan untuk pembeli flat kali pertama dalam golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.
Pemerintah berkata Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) akan dinaikkan kepada sehingga $120,000 untuk keluarga dan $60,000 bagi mereka yang bujang untuk membantu mengurangkan kesan daripada had pinjaman yang diturunkan.
Pada masa ini, EHG memberi geran maksimum sebanyak $80,000 bagi keluarga dan $40,000 kepada mereka yang bujang membeli flat baru atau jualan semula buat kali pertama.
Encik Lee berkata langkah terkini itu dijangka memberi manfaat kepada sekitar 85 peratus pembeli kali pertama, atau lebih 13,000 isi rumah, setiap tahun.
Ini merupakan pusingan keempat langkah meredakan pasaran flat sejak 2021.
Encik Lee berkata berita mengenai harga flat jualan semula HDB yang tinggi sejak beberapa bulan lalu telah menarik perhatian ramai, namun flat yang harganya melepasi $1 juta membentuk sekitar 2 peratus daripada semua transaksi dalam tempoh 1.5 tahun yang lalu.
Ini menyebabkan rakyat Singapura berasa bimbang tentang kemampuan membeli flat jualan semula, sementara meningkatkan harapan penjual flat tentang keuntungan yang boleh diraih daripada hasil penjualan rumah mereka.
“Jika anda tidak berhati-hati, dinamik pasaran sedemikian boleh menyebabkan pasaran jualan semula tidak selari dengan asas ekonomi dan menyebabkan ‘gelembung’ berlaku (keadaan ketika harga atau nilai suatu aset meningkat pesat melebihi nilai intrinsik dari aset tersebut),” kata Encik Lee.
“Ini sebabnya kami mengumumkan langkah-langkah untuk mengurangkan permintaan dan menggalak pinjaman yang berhemat, sedang kami terus meningkatkan bekalan flat pada kadar stabil untuk memenuhi permintaan,” tambah beliau.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pusingan langkah meredakan pasaran terdahulu dan peningkatan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) telah membantu mengawal kenaikan harga jualan semula flat HDB.
HDB dan MND menyatakan harga jualan semula flat HDB meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2023, turun dengan ketara daripada 10.4 peratus pada 2022.
Namun, harga jualan semula flat terus meningkat lebih 4 peratus pada separuh pertama 2024, dipacu “permintaan yang kukuh dan meluas, ditambah beberapa bekalan yang diketatkan, sedang sedikit flat mencapai tempoh pendudukan minimum tahun ini”.
Justeru, pemerintah mengumumkan langkah mengetatkan pinjaman maksimum yang boleh diambil pembeli rumah daripada HDB, dan juga menaikkan EHG bagi pembeli rumah kali pertama berpendapatan rendah hingga pertengahan untuk meredakan pasaran, kata Dr Faishal.
“Saya berharap langkah-langkah ini akan memberi jaminan yang lebih kukuh kepada pembeli rumah kali pertama untuk mampu membeli rumah pertama mereka,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg