Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Murid Sekolah Rendah Westwood terima kejutan Menteri pada pembukaan sekolah

Jan 2, 2026 | 6:06 PM
Desmond Lee, MOE, Darjah 1
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee (kanan), menyambut kedatangan murid Darjah 1 pada hari pertama persekolahan mereka di Sekolah Rendah Westwood di Jurong West. - Foto MOE

Murid Darjah 1 dan kohort Tadika 1 MK@Westwood di Sekolah Rendah Westwood mendapat kejutan istimewa pada hari pertama persekolahan pada 2 Januari apabila ketibaan mereka disambut Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Selain menyambut ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak ke sekolah yang terletak di Jurong West, Encik Lee juga berinteraksi dengan murid dan memerhatikan sesi taklimat yang diberikan kepada murid di bilik darjah mereka.

Dalam satu hantaran di Facebook susulan lawatannya, Encik Lee, berkata:

“Sekolah kita akan terus bekerjasama dengan ibu bapa untuk menyediakan pelajar dengan lebih banyak peluang untuk meneroka dan belajar daripada pengalaman langsung, dan membantu mereka menjadi pelajar yang yakin dan berdaya tahan.”

Menurut Encik Lee, beliau berasa kagum melihat murid daripada peringkat sekolah rendah atas yang memainkan peranan sebagai penyambut tetamu.

Murid tersebut turut memainkan peranan sebagai rakan untuk menjemput dan menyokong murid baru walaupun penggal persekolahan mereka sendiri hanya bermula pada 5 Januari.

Dalam hantarannya itu, Encik Lee berkata beliau “juga amat kagum dengan cara pelajar diberi kuasa dan diberi peluang untuk mengembangkan kekuatan dan minat mereka”.

“Ini adalah salah satu daripada banyak peluang yang disediakan oleh sekolah kita untuk membantu pelajar mengembangkan sikap berdikari, keyakinan dan Kecekapan Abad ke-21 yang penting,” katanya.

Kecekapan Abad ke-21 adalah senarai kecekapan penting yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) untuk memupuk pelajar bagi menyediakan mereka untuk masa depan.

Ini termasuk kecekapan sosioemosi seperti kesedaran diri, pengurusan diri, membuat keputusan yang bertanggungjawab, kesedaran sosial dan pengurusan perhubungan.

Kecekapan lain untuk membantu pelajar berkembang maju di dalam dan di luar sekolah termasuk pemikiran kritikal, penyesuaian diri dan daya cipta; kemahiran komunikasi, kerjasama dan maklumat; dan literasi sivik, global dan rentas budaya.

Bagi 2026, pelajar Tadika 1, Darjah 1 dan sekolah menengah di sekolah MOE memulakan tahun persekolahan baru pada 2 Januari, manakala murid Darjah 2 hingga 6 dan Tadika 2 akan melaporkan diri ke sekolah pada 5 Januari.

Aturan itu asalnya dilakukan pada 2021 untuk melindungi golongan masyarakat sekolah semasa pandemik Covid-19.

Ia diteruskan sejak itu, bagi membantu memudahkan murid yang lebih muda memasuki persekitaran sekolah baru mereka pada hari pertama persekolahan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg