Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan ‘A’ akan diteruskan seperti yang dirancang, dengan pelajar mengambil peperiksaan itu dalam ruang tertutup, berhawa dingin dengan alat pembersih udara, demikian menurut Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (MOE) akan juga mempertimbangkan langkah penjadualan semula peperiksaan bertulis GCE peringkat ‘O’, sekiranya Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam berada di tahap bahaya iaitu melebihi paras 300.

Langkah tersebut sejajar dengan panduan kesihatan bagi pelajar pada usia muda, katanya.

Peperiksaan bertulis GCE ‘O’ akan bermula pada 19 Oktober, manakala peperiksaan amali bagi GCE peringkat ‘A’ sedang berlangsung.

Berkongsi demikian di sidang media Pasukan Bertindak Jerebu di Pusat Akhbar Nasional (NPC) pada 16 Oktober, beliau berkata:

“Saya sedia maklum bahawa pelajar telah berusaha gigih membuat persiapan bagi peperiksaan kebangsaan dan kami ingin mengurangkan (sebarang) gangguan kepada mereka.”

Beliau menambah bahawa peperiksaan bertulis bagi GCE peringkat ‘A’ barangkali tidak begitu terjejas, memandangkan usia pelajar yang menduduki peperiksaan ini adalah lebih tua.

Namun, MOE akan mengambil kira keadaan sebenar dalam menentukan sama ada peperiksaan harus diteruskan, ujarnya.

Encik Lee berkata jika pelajar berasa kurang sihat dan tidak dapat menduduki atau meneruskan peperiksaan, mereka harus berjumpa doktor, mendapatkan sijil perubatan, dan memohon pertimbangan khas melalui sekolah masing-masing.

Pihak sekolah akan membimbing pelajar sedemikian mengenai prosedur yang perlu diikuti.

Mana-mana kertas peperiksaan yang terjejas akan dijadualkan semula ke tarikh paling awal yang sesuai, dengan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) akan mengumumkan perubahan tersebut kepada umum, katanya lagi.

Pihak sekolah, ujarnya, akan memaklumkan kepada pelajar dan ibu bapa secara langsung, jika terdapat sebarang peperiksaan kebangsaan yang perlu dijadualkan semula.

Oleh demikian, orang ramai tidak seharusnya terpengaruh dengan maklumat tidak tepat mengenai penutupan sekolah yang tersebar di media sosial.

“Kini wujud situasi berita palsu mengenai penutupan sekolah tersebar di media sosial, lantas menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan,” kongsinya.

Encik Lee menggesa ibu bapa, pelajar, dan orang ramai supaya merujuk kepada saluran rasmi MOE serta platform ‘Parents Gateway’ untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Peperiksaan bertulis utama bagi GCE peringkat ‘O’ dijadualkan bermula pada 19 Oktober dan berlangsung sehingga 10 November.

Peperiksaan GCE peringkat ‘A’ pula sedang berlangsung, dengan peperiksaan amali Fizik dan Biologi (tahap H2) masing-masing dijadualkan pada 19 dan 22 Oktober. Peperiksaan bertulis bagi peringkat itu pula akan bermula pada 2 November.

Kesemua ujian bertulis bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang diduduki murid Darjah 6 telah selesai pada 30 September.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti