Topik diikuti
Pergi ke BHkuDesmond Lee: Sokongan masyarakat benteng pastikan tiada pelajar ketinggalan
Semangat saling membantu di peringkat akar umbi penting di sebalik ketidaktentuan ekon
Desmond Lee: Sokongan masyarakat benteng pastikan tiada pelajar ketinggalan
Di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi akibat perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), kekuatan rangkaian masyarakat serta semangat saling menyokong menjadi benteng utama dalam memastikan tiada pelajar ketinggalan.
Demikian ditekankan oleh Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, semasa berucap di Majlis Anugerah Dermasiswa Tahunan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) ke-61 di Pusat Konvensyen Politeknik Ngee Ann pada 21 November.
Menurut beliau, selain inisiatif pemerintah seperti Majlis AI Kebangsaan dan Jawatankuasa AI Pendidikan Tinggi bagi mempersiapkan pelajar menghadapi perubahan dunia pekerjaan, sokongan masyarakat di peringkat akar umbi kekal amat penting.
“Di sebalik segala usaha pemerintah, apa yang lebih penting ialah sebagai sebuah masyarakat, kita memilih untuk saling membantu dan mendukung satu sama lain, terutamanya apabila ketidaktentuan semakin meningkat.
“Pertubuhan seperti LBKM dan para penyokong anda menjadi teladan yang baik sejak 1965,” ujar Encik Lee.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 530 pelajar menerima agihan dermasiswa berjumlah $1,190,450 merangkumi peringkat diploma hingga pascasiswazah.
Turut menyertai acara tersebut Presiden LBKM, Encik Abdul Rohim Sarip, menggesa penerima biasiswa agar terus kekal berhubung dengan badan itu untuk berkongsi pengalaman dan membimbing generasi seterusnya.
“Walaupun anugerah ini menandakan satu detik penting dalam perjalanan seorang pelajar, keprihatinan kami terhadap hala tuju perjalanan itu tidak harus berakhir di sini.
“Lagipun, mereka tidak pernah tahu bab kehidupan siapa yang mungkin dapat dibentuk menerusi kisah mereka,” kata beliau.
Salah seorang penerima dermasiswa tahun ini ialah Encik Muhammad Husaini Muhammad Haizal Bonawi, 23 tahun, yang mengikuti pengajian Sistem AI Perniagaan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
“Keluarga saya sebenarnya berada dalam golongan pertengahan di mana sukar menepati syarat kelayakan bagi skim bantuan lain.
“Jadi dengan adanya sokongan ini saya tidak perlu terlalu bimbang tentang perbelanjaan pengajian saya dan dapat menumpukan lebih banyak masa kepada pengajian serta berbakti kepada masyarakat,” jelas anak ketiga daripada empat beradik itu.
Antara usaha yang dilakukannya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat termasuk membangunkan aplikasi percuma AAC Messenger bagi membantu golongan autistik berkomunikasi dengan penjaga mereka.
Pengasas bersama syarikat teknologi sosial, Assistive Technologies, itu berkata aplikasi tersebut dihasilkan dengan kerjasama rakannya, Encik Ilzymanshah Kamarudin dan Encik Irhamshah Kamarudin.
“Saya telah menerima banyak daripada masyarakat.
“Mungkin saya masih belum ada kemampuan untuk menyumbang secara kewangan tetapi saya masih boleh gunakan kemahiran saya untuk menyumbang dengan cara yang lain,” ujarnya.
Salah seorang penderma LBKM ialah Encik Amir Saifuddin Mohamed Rafii, 34 tahun, yang juga bekas penerima dermasiswa LBKM pada 2016 dan 2017.
Membesar dalam keluarga pekerja kolar biru, pegawai perhubungan di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) itu pernah bekerja sambilan sebagai tukang cuci dan jurujual demi membiayai pengajian universiti.
Anak sulung daripada empat beradik itu masih teringat lagi apabila beliau menulis e-mel kepada pelbagai pertubuhan bagi memohon bantuan yuran pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi di universiti swasta.
Setelah meraih kerjaya stabil, Encik Amir menubuhkan dermasiswa LBKM sejak sekitar enam tahun lalu bagi membantu pelajar lain yang menghadapi kesempitan kewangan.
“Jika bukan kita yang menyokong anak-anak muda kita sendiri, siapa lagi?
“Pendidikan mampu mengubah nasib keluarga, dan sumbangan tidak semestinya berbentuk wang ringgit semata-mata, tetapi juga melalui masa dan bimbingan,” ujar beliau.