Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond: MOE akan tambah saluran lapor kes buli, lebih mudah diakses pelajar

Aug 27, 2025 | 9:00 PM
Singapura, Desmond Lee, MOE, Kementerian Pendidikan, buli
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, bercakap kepada ibu bapa dan pendidik semasa sesi dialog bagi menangani isu buli dan tingkah laku yang menyakitkan di sekolah, yang diadakan di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE HQ) di Buona Vista pada 27 Ogos. - Foto ST

Saluran untuk melapor kes buli akan ditambah supaya ia lebih mudah diakses oleh para pelajar sebagai satu usaha meningkatkan budaya baik dan saling menghormati di sekolah, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Beliau menambah bahawa walaupun rangka kerja sudah tersedia, lebih banyak perhatian perlu diberikan kepada komunikasi yang jelas dan tepat pada masanya.

“Sebagai contoh, dalam beberapa kes, komunikasi kepada ibu bapa mungkin tertangguh kerana pihak sekolah memerlukan masa untuk memastikan fakta terlebih dahulu, dan ini secara tidak sengaja boleh menyebabkan ibu bapa serta anak-anak berasa bimbang.

“Anak-anak kita pada masa kini juga berdepan dengan situasi sosial dan hubungan yang semakin kompleks.

“Melangkaui persekitaran fizikal, kebanyakan daripada interaksi mereka kini turut berlaku secara dalam talian, di WhatsApp, media sosial, Discord dan lebih banyak platform lain yang tidak wujud ketika kita masih kanak-kanak,” kata Encik Lee.

Beliau berkata demikian di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE HQ) di Buona Vista pada 27 Ogos semasa satu sesi dialog bersama 20 tetamu, antaranya ibu bapa, pendidik dan ahli Compass (Masyarakat dan Ibu Bapa yang Menyokong Sekolah).

Sesi dialog tertutup, ‘Meningkatkan usaha untuk membina persekitaran pembelajaran yang prihatin dan perkasa di sekolah’, dianjurkan untuk membincangkan cara menangani buli dan tingkah laku yang menyakitkan di sekolah, dengan lebih baik.

Encik Lee menambah pemerintah akan memperkukuh dasar sekolah mengenai buli dan tingkah laku yang menyakitkan hati agar dapat menekankan bahawa masyarakat sekolah tidak bertolak ansur dengan tingkah laku sebegini.

Ini termasuk meneliti semula rangka kerja sedia ada bagi pemulihan disiplin serta cuba menyelaras langkah agar pelajar bertindak secara bertanggungjawab, meminta maaf dan perbaiki persahabatan.

Ada yang menggelarkannya sebagai amalan pemulihan.

Ini merupakan salah satu daripada empat bidang utama yang akan diberi tumpuan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dalam fasa semakan selanjutnya mengenai isu buli yang akan berterusan sehingga akhir 2025.

Antara lain, MOE juga akan memberi penekanan yang lebih besar kepada pendidikan nilai bagi para pelajar melalui pengajian Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).

Lebih banyak senario kehidupan sebenar akan diterapkan dalam pengajian CCE dan pelajar akan dibantu untuk memahami kesan tindakan mereka terhadap orang lain.

Selain itu, lebih banyak sokongan akan disediakan untuk memperkukuh keupayaan sekolah dan para pendidik, agar mereka dapat memupuk budaya sekolah yang positif, menangani tingkah laku yang menyakitkan hati dan kes buli, serta mempererat komunikasi dengan ibu bapa.

Ini termasuk pembangunan profesional dan penerokaan penggunaan teknologi bagi menyokong usaha tersebut dengan lebih baik, kata Encik Lee.

Menurutnya lagi, meluaskan kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa perlu diperkukuh bagi membolehkan kededua pihak membesarkan generasi muda dalam persekitaran yang baru.

“Kami akan terus bekerjasama dengan ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka menghadapi cabaran apabila mereka mengalami tingkah laku yang menyakitkan hati atau apabila mereka menyakiti orang lain.

“Kami akan berkongsi sumber dengan ibu bapa tentang cara mereka boleh berbincang dengan anak-anak mereka bagi mengukuhkan tingkah laku positif,” ujar Encik Lee.

MOE akan berkongsi cadangan utama serta tindakan susulan pada separuh pertama 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg