Seorang murid lelaki Sekolah Rendah Sengkang Green telah disebat kerana terlibat dalam kes membuli seorang rakan sedarjah perempuan, dengan pihak sekolah bertindak “dalam masa sewajarnya”, kata Kementerian Pendidikan (MOE).
Budak lelaki itu merupakan antara tiga murid Darjah 3 yang digantung sekolah selepas mereka menghantar ugutan bunuh kepada ibu murid perempuan berkenaan.
Sebelum itu, ibu murid berkenaan telah melaporkan tindakan mereka kepada pihak sekolah kerana membuli anaknya.
Menurut MOE, murid perempuan itu – yang sebelum ini tidak hadir ke sekolah akibat dibuli – akan kembali ke sekolah dengan pelan keselamatan yang ditetapkan.
Ibu bapanya juga tidak lagi meminta pertukaran sekolah.
Awal sebelum itu, seorang pengguna Facebook, Cik Ni Yin, telah memuat naik hantaran pada 14 Ogos mengenai beberapa kejadian buli yang didakwa telah berlarutan selama beberapa bulan, sehingga menyebabkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun meminta untuk diberhentikan sekolah.
Beliau turut memuat naik rakaman audio ugutan terhadap diri dan keluarganya, yang dihantar pada 26 Julai, selepas beliau membuat laporan kepada sekolah, lapor The Straits Times (ST).
Memandangkan dakwaan itu amat serius, MOE dalam satu hantaran Facebook pada 20 Ogos berkata pihaknya akan mendedahkan fakta kes berkenaan.
Kementerian itu berkata setiap kali satu kejadian dilaporkan, pihak sekolah menanganinya dengan segera serta mengambil tindakan disiplin tegas, “sambil berusaha memulihkan hubungan persahabatan dan membantu murid belajar serta berkembang”.
MOE turut menambah murid perempuan berkenaan sendiri pernah terlibat dalam “tingkah laku melukakan hati” – termasuk menggunakan kata-kata kesat serta berbaur perkauman – dan pihak sekolah telah menangani kejadian tersebut dengan adil.
Pelajar lelaki itu, jelas MOE, digantung sekolah serta-merta selepas didapati membuat panggilan gurauan kepada ibu mangsa melalui telefon, dengan seorang daripada mereka menghantar ugutan.
Pihak sekolah akan mengambil tindakan disiplin lanjut termasuk sebatan, serta bekerjasama dengan ibu bapa mereka supaya tiga murid lelaki itu dapat mengambil pengajaran daripada perbuatan mereka.
Pihak sekolah juga telah berhubung dengan ibu bapa murid yang terlibat dan memaklumkan tindakan yang diambil, termasuk pelan keselamatan untuk murid perempuan berkenaan, tambah MOE.
Pada 14 Ogos, pihak sekolah telah menjadualkan pertemuan dengan ibu bapa murid perempuan tersebut pada 18 Ogos, namun ibu mangsa mendakwa di Facebook sebelum pertemuan itu bahawa pihak sekolah tidak mengambil sebarang tindakan.
Dalam rakaman audio yang dimuat naik, kedengaran seorang individu menjerit dengan kata-kata kesat sebelum berkata:
“Saya mungkin mengeratnya. Saya mungkin mengeratnya menjadi beberapa bahagian seperti kamu. Jadi yang mana satu yang kamu mahu saya lakukan? Kerat dia? Atau tamatkan nyawanya di sekolah?
“Pilih satu. Kalau tidak, saya bunuh kamu dan suami kamu.”
Susulan ugutan itu, Cik Ni Yin, berkata beliau telah membuat laporan polis dan memaklumkan pihak sekolah, MOE serta Anggota Parlimen (AP) kawasan undinya bagi memastikan isu tersebut mendapat perhatian.
Polis mengesahkan mereka telah menerima laporan itu dan sedang menyiasat perkara berkenaan.
Menurut MOE, pertemuan pada 18 Ogos itu berlangsung selama empat jam, dengan pihak sekolah menerangkan urutan peristiwa kepada ibu bapa murid yang dibuli itu, termasuk kelakuan anak mereka.
“Ibu bapa (murid itu) bersetuju bekerjasama dengan pihak sekolah supaya anak mereka kembali ke sekolah dengan pelan keselamatan yang dipertingkat, tanpa sebarang permintaan lanjut bagi pertukaran sekolah,” jelas MOE.
“MOE dan pihak sekolah mengambil pendirian tegas terhadap pembulian dan kelakuan melukakan hati.
“Kami memahami kebimbangan ibu bapa yang anak mereka mungkin terkesan dengan tingkah laku sedemikian, dan kami menyeru ibu bapa supaya bekerjasama rapat dengan pihak sekolah bagi menyokong kesejahteraan anak mereka,” tambah MOE.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg