Satu usaha menyemak semula isu buli oleh Kementerian Pendidikan (MOE) telah bermula sejak awal 2025.
Fasa semakan seterusnya melibatkan ibu bapa, pendidik, para karyawan dan masyarakat, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong East-Bukit Batok, Encik David Hoe dalam catatan Instagram pada 24 Ogos.
“Sebagai sebuah negara, kita tidak boleh sekali-kali membenarkan buli atau membenarkannya menjadi sebahagian daripada budaya kita,” kata bekas pendidik itu.
Tetapi apabila ia berlaku, alat dan sokongan yang betul mesti disediakan supaya individu boleh mengakui kesilapan mereka dan mengambil langkah untuk berubah, tambahnya.
Catatan Encik Hoe dibuat selepas beliau menghadiri mesyuarat pertamanya minggu lalu sebagai anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Kementerian Pendidikan. Salah satu isu yang dibincangkan ialah buli.
Jawatankuasa ini meneliti pelbagai perundangan dan program kementerian, dan berfungsi sebagai saluran tambahan maklum balas mengenai dasar pemerintah.
Susunan GPC untuk penggal ke-15 Parlimen dikeluarkan pada 10 Julai.
Kenyataan Encik Hoe dibuat setelah tular kes buli baru-baru ini di Sekolah Rendah Sengkang Green, di mana seorang murid darjah tiga dirotan kerana penglibatannya membuli rakan sekelasnya.
Budak lelaki itu adalah antara tiga murid darjah tiga yang digantung sekolah selepas ugutan bunuh dihantar kepada ibu budak perempuan tersebut.
Ibu mangsa buli sebelum ini melaporkan mereka ke sekolah kerana membuli anak perempuannya.
Kebimbangan mengenai isu buli timbul dari semasa ke semasa, apabila ia tular melalui siaran media sosial atau klip video yang diedarkan dalam talian.
Ibu bapa dan orang ramai menggesa agar sekolah lebih telus dalam menangani buli, termasuk dalam tindakan tatatertib yang diambil.
Mengenai semakan MOE tentang buli, Encik Hoe menekankan akan kepentingan mengambil tindakan yang bersesuaian dengan usia bagi peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak, seperti membimbing pembuli untuk merenung apa yang mereka lakukan.
Bercakap kepada The Straits Times, beliau berkata kanak-kanak yang digantung sekolah, sebagai contoh, mungkin tidak menggunakan masa mereka secara bermakna semasa penggantungan untuk memikirkan tindakan mereka.
“Adakah matlamat kita untuk menimbulkan ketakutan, atau untuk membantu (mereka yang membuli) untuk berkembang? Jika matlamatnya adalah untuk membantu mereka berkembang, maka cara kaji diri adalah penting, penyelesaian adalah penting,” tambahnya.
Beliau berkata kanak-kanak yang membuli harus diajar memahami mengapa tindakan mereka tidak boleh diterima, dan bertentangan dengan nilai sosial seperti kebaikan.
Encik Hoe berkata ramai penduduk dan ibu bapa telah berkongsi kebimbangan mereka tentang buli dengannya.
Bagi mereka yang dibuli, Encik Hoe berkata beliau berharap lebih banyak saluran selamat dapat diwujudkan untuk mereka melaporkan buli itu.
Beliau memberi contoh platform dalam talian untuk melaporkan kes vape, bagi mereka yang tidak selesa melaporkan kepada guru mereka.
“Saya berharap untuk melihat hasil semakan ini lebih awal,” katanya dalam catatan Instagramnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg