Parti Tindakan Rakyat (PAP) perlu memastikan ia bersedia untuk masa depan dengan menyegarkan dirinya, sedang ia memperbaharui kompak sosial dengan warga Singapura dalam dunia lebih berpecah-belah dan tidak menentu, kata Penolong Setiausaha Agung PAP, Encik Desmond Lee.
Ketika bertemu media pada 8 Jun pada acara penghargaan bagi aktivis dan rakan kerja PAP di Pusat Konvensyen dan Expo Sands, Encik Lee, yang juga Menteri Pembangunan Negara, berkata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menyeru penyegaran semula parti pada 2023, seiring strategi melakar hala tuju Singapura.
“Di dalam negara, masyarakat semakin rencam... tetapi dengan kerencaman ini terdapat juga peluang bagi isu-isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat untuk timbul.
“Dunia semakin tidak menentu dan berbahaya, dan oleh itu dari segi dalaman dan luaran dengan perubahan yang kita lihat, dengan cabaran yang akan dihadapi oleh negara kita, Singapura berada di persimpangan.
“Tetapi untuk melakukan kerja penting, membuat semua perubahan yang diperlukan untuk menyegarkan dan menghidupkan semula kompak sosial kita, kita perlu memastikan bahawa parti itu sendiri bersedia bagi masa depan, parti itu sendiri segar, bertenaga,” kata Encik Lee.
Beliau mengulangi apa yang dinyatakan Encik Wong sebelum itu semasa menyampaikan ucapannya di acara tersebut, iaitu PAP harus melibatkan diri secara lebih luas, berkomunikasi dengan lebih baik dan menyusun parti dengan lebih jitu “sebelum dapat memberi kesan kepada perubahan besar yang diperlukan semasa memperbaharui kompak sosial kita”.
Encik Lee berkata PAP mahu terus menjadi gerakan kebangsaan yang mewakili semua warga Singapura, dan bukan kumpulan tertentu sahaja, menjadikannya parti dengan ‘khemah’ atau rangkuman luas.
Ini bererti minat dan pandangan yang berbeza perlu ditangani.
“Dalam Singapura yang lebih rencam, ‘khemah’ tersebut harus lebih luas dan kami perlu belajar cara mengatur parti dengan lebih baik lagi dari segi dalaman... untuk dapat menerima dan merangkumi lebih banyak kepelbagaian aspirasi, matlamat dan keperluan dalam ‘khemah’ PAP yang lebih luas ini.
“Jadi ini bermakna kita mesti dapat mengekalkan kepercayaan dengan anggota lama kita, sambil berhubung dengan generasi muda Singapura dan pengundi muda akan datang dan membawa lebih banyak suara yang pelbagai ke dalam parti,” ujar beliau.
Beliau akur akan ada isu di mana kumpulan warga berbeza mempunyai perspektif yang bertentangan dan berpegang teguh pada pandangan berbeza masing-masing.
Namun, beliau menambah bahawa tindakan telah diambil untuk menangani topik-topik sensitif, seperti pemansuhan Seksyen 377A dan “isu tudung” – sama ada wanita Muslim boleh memakai tudung dalam suasana profesional.
Pada hujungnya, beberapa keputusan mengenai isu yang berpotensi memecah belah “tidak akan menggembirakan semua orang”, ujarnya, tetapi keupayaan warga Singapura untuk mempunyai persefahaman dan sikap saling bertolak ansur adalah penting.
Beliau menambah bahawa kesihatan mental juga merupakan isu yang menjadi kerisauan ramai warga Singapura, termasuk yang lebih muda.
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, dalam mengupas tentang Kumpulan Kesihatan Mental yang baru diumumkan oleh PM Wong, berkata:
“Objektif kumpulan ini adalah untuk menyatukan usaha setiap AP dalam ruang kesihatan mental masing-masing. Misalnya, ada di antara mereka yang fokus terhadap belia, pekerja... dan kami ingin menyatukan semua usaha ini agar kita dapat lebih banyak kandungan untuk diketengahkan di Parlimen.”
Dr Wan Rizal merupakan pengerusi bersama Kumpulan Kesihatan Mental itu yang dipimpin oleh Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.
Encik Lee turut menyentuh tentang ‘Rakan PAP’ yang menyokong usaha parti tersebut dalam memerintah Singapura serta berkhidmat kepada warga.
PAP mahu mendekati ‘Rakan PAP’ dengan lebih teratur dan dengan lebih meluas, katanya.
Ini termasuk rakan kongsi dan individu dari sektor dan masyarakat berbeza.
“Kami perlu dapat mengatur parti dengan lebih jitu untuk memanfaatkan rakan-rakan ini untuk membantu kami mendapatkan pandangan yang lebih baik, menghasilkan idea yang lebih baik untuk dapat membantu kami mendapatkan maklum balas dari orang ramai.
“Ini termasuk dari bidang pakar dan sektor profesional serta kumpulan masyarakat agar kita dapat menyampaikan keseimbangan (trade-off), ketegangan, cabaran dan idea dengan lebih baik kepada warga Singapura,” katanya.
“
“Dunia semakin tidak menentu dan berbahaya, dan oleh itu dari segi dalaman dan luaran dengan perubahan yang kita lihat, dengan cabaran yang akan dihadapi oleh negara kita, Singapura berada di persimpangan. Tetapi untuk melakukan kerja penting, membuat semua perubahan yang diperlukan untuk menyegarkan dan menghidupkan semula kompak sosial kita, kita perlu memastikan bahawa parti itu sendiri bersedia bagi masa depan, parti itu sendiri segar, bertenaga.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg