Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Melayu/Islam yakin PM Wong dapat bina masyarakat lebih inklusif

May 19, 2024 | 5:30 AM
Pemimpin masyarakat Melayu/Islam generasi baru melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Pemimpin masyarakat Melayu/Islam generasi baru melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto 4PM

Di bawah pemimpin yang peka akan isu-isu yang dihadapi masyarakat serta menekankan pentingnya inklusiviti atau keterangkuman, masyarakat Melayu/Islam Singapura dapat terus menghala ke arah masa depan yang lebih cerah.

Ciri-ciri tersebut ada dalam diri Perdana Menteri keempat Singapura, Encik Lawrence Wong, dan pemimpin masyarakat Melayu/Islam generasi muda melahirkan keyakinan mereka akan keupayaan pemerintah Encik Wong mengiringi masyarakat Melayu sama-sama maju bersama masyarakat Singapura yang lebih bersepadu.

Komitmen tersebut jelas ditekankan semasa PM Wong berucap di upacara angkat sumpah dengan beliau membentangkan wawasan, janjinya untuk membentuk pemerintah yang terbuka, inklusif dan berkhidmat kepada semua rakyat Singapura.

Ini membuktikan keinginannya meneruskan usaha kesemua Perdana Menteri sebelumnya dalam memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam masyarakat, kata presiden Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain.

“Beliau akan memimpin pemerintah untuk terus mempertingkat dan memperhalus dasar yang inklusif dan bermanfaat bukan hanya untuk masyarakat Melayu/Islam, malah bagi semua warga Singapura,” katanya.

Tambahnya, pengalaman meluas Encik Wong dalam beberapa kementerian – termasuk sebagai Menteri Pendidikan dan Menteri Pembangunan Negara – mendedahkannya kepada isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam dalam bidang-bidang berbeza.

“Kepimpinan PM Wong akan memperkukuh usaha mempertingkat integrasi sosial dan menggalak keharmonian agama dan bangsa,” ujar Encik Nassar.

Turut melahirkan rasa optimistik beliau terhadap kepimpinan Encik Wong, pengerusi AMP Singapura, Encik Fathurrahman Dawoed, berkata kepekaan Perdana Menteri baru Singapura itu terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam turut menyerlah, terutama menerusi dialog-dialog yang diadakan.

“Saya rasa tepat kalau dikatakan beliau telah memainkan peranannya dengan baik dan saya yakin kepimpinan beliau akan diterima baik oleh masyarakat Islam di sini,” katanya.

Encik Wong, tambahnya, bukan baru melangkah ke dalam arena politik dan masyarakat telah menyaksikan pencapaian beliau dalam melaksanakan tugas dengan baik.

Ini jelas dilihat melalui pelan Melakar Hala Tuju Singapura (Forward SG), kepimpinannya semasa tempoh Covid-19 serta Belanjawan 2024 yang disampaikan baru-baru ini, yang turut memaparkan keprihatinan beliau terhadap warga Singapura, kata Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dr Syed Harun Alhabsyi.

“Hati beliau bersama warga dan beliau banyak mempertimbangkan isu-isu seperti mobiliti sosial bagi memastikan tiada warga ketinggalan,” ujarnya.

Komitmen Encik Wong terhadap usaha memastikan Singapura lebih inklusif juga boleh menyediakan wadah untuk memperbaharui perpaduan antara masyarakat Melayu/Islam dengan masyarakat majmuk, kata presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.

Menurutnya, PM Wong sering menekankan pendekatan yang inklusif serta peranan penting badan-badan masyarakat dalam mempertingkat usaha membantu masyarakat menempuh cabaran sedia ada dan mendatang.

“Kami mengalu-alukan usaha Encik Wong untuk terus memperkukuh kerjasama dengan badan-badan masyarakat untuk menangani cabaran yang pelbagai dan mendalam yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam,” ujar Cik Hazlina.

Menekankan peranan penting pertubuhan Melayu/Islam (MMO), Encik Nassar turut melahirkan harapan agar Encik Wong terus mendekati pemimpin-pemimpin MMO generasi baru bagi menyokong perkembangan mereka serta pembaharuan kepimpinan.

“MMO merupakan ‘tempat latihan’ bagi kepimpinan Melayu dan pertubuhan juga menyediakan wadah bagi orang ramai tampil memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati mereka dan menyumbang kepada usaha menambah baik masyarakat,” katanya.

“Masyarakat Melayu/Islam juga diharap dapat terus mencapai kecemerlangan dan “menulis” sebahagian daripada “kisah Singapura”, kata Dr Syed Harun.

“Saya harap masyarakat (Melayu/Islam) dapat terus menyumbang terhadap fabrik sosial dan kepelbagaian Singapura serta terus hidup dengan selesa dan dalam keadaan aman dengan masyarakat lain, mempunyai kebebasan untuk terus mengamalkan agama dan terus maju sebagai minoriti Muslim,” tambahnya.

Beliau (PM Wong) akan memimpin pemerintah untuk terus mempertingkat dan memperhalus dasar yang inklusif dan bermanfaat bukan hanya untuk masyarakat Melayu/Islam, malah bagi semua warga Singapura... Kepimpinan PM Wong akan memperkukuh usaha mempertingkat integrasi sosial dan menggalak keharmonian agama dan bangsa.
Encik Nassar Mohamad Zain, presiden Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM). 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg