Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di balik jeriji, banduan damba ‘peluang terakhir’ bersama anak-anak

Jun 15, 2025 | 5:30 AM
bapa, Pusat Pemulihan Dadah, anak-anak, Hari Bapa
Amir (bukan nama sebenar) menyesali tindakannya dalam penyalahgunaan dadah dan terpaksa berpisah bersama anak-anak demi menjalani hukuman penjara di Pusat Pemulihan Dadah. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Amir (bukan nama sebenar) telah keluar masuk penjara beberapa kali kerana menyalah guna dadah.

Namun kali ini, selepas ditangkap di hadapan anak-anaknya, dia tekad bahawa ini adalah kali yang terakhir dia ke penjara dan meninggalkan anak-anak.

Pada Januari 2025, Amir baru sahaja tamat syif malamnya sebagai paramedik ambulans.

Dia pulang ke rumah sebelum subuh dan masih di bawah pengaruh dadah methamphetamine, yang diambil bersama isterinya.

Ketika meletakkan kereta di kawasan blok, dia terasa sesuatu yang tidak kena.

“Saya nampak ramai orang di kolong blok. Saya beritahu isteri saya, ‘Ada CNB di bawah.’”

Beberapa minit kemudian, lebih 20 pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) menyerbu rumah mereka.

Di dalam rumah, anak ketiga dan anak bongsu Amir – berusia 11 dan tujuh tahun – sedang bersiap ke sekolah.

Anak sulung dan anaknya yang kedua tinggal bersama ibu bapa Amir.

“Anak-anak sedang tunggu saya pulang. Rancangannya nak bawa mereka sarapan dulu, kemudian hantar ke sekolah,” katanya, yang menyifatkan dirinya sebagai seorang bapa yang garang.

Sebaliknya, mereka menyaksikan bapa mereka digari dan ditahan di lantai rumah – semuanya berlaku secara mengejut.

“Mereka menangis. Mereka terkejut,” kata Amir perlahan.

“Saya masih ingat dengan jelas, selepas semuanya reda, anak bongsu saya bertanya dengan pegawai CNB, ‘Boleh tak saya peluk Daddy untuk kali terakhir?’,” singkap Amir yang menahan sebak.

Mengimbas semula saat itu, katanya, benar-benar merobek hatinya.

Amir menyesali perbuatannya kerana tindakannya itu meninggalkan kesan trauma yang ditanggung anak-anaknya.

“Saya sangat menyesal. Kali ini ia benar-benar menyedarkan saya, kerana saya ditangkap di depan anak saya, terutama anak bongsu yang sangat manja dengan saya,” katanya.

“Kalau boleh putar balik masa, saya tidak ingin semua ini berlaku.”

Anak-anak Amir juga, meskipun terluka, tidak pernah membencinya, malah menantikan kepulangan Amir.

Dalam satu pertukaran surat sempena Hari Bapa, anak bongsunya berkata: “Saya masih ingat Daddy bawa kita pergi ke Sea Aquarium dan saya rindu Daddy.”

Satu lagi surat ditulis anak ketiganya menceritakan rutin hariannya dan perkembangan terkini dalam hidupnya –  salah satu cara untuk mengubat rindu terhadap seorang bapa yang dulunya menjadi tempat dia meluahkan segala-galanya.

Kini menjalani hukuman penjara selama 18 bulan, Amir tidak asing dalam sistem pemulihan dan telah ditempatkan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC).

Ketagihan dadahnya yang semakin teruk sejak beberapa tahun lalu turut melibatkan isterinya yang kini juga menjalani hukuman.

Keempat-empat anak mereka kini tinggal bersama keluarga terdekat – iaitu ibu bapa Amir dan adik bongsunya – terpisah daripada kedua-dua ibu bapa mereka.

Sejak ditahan, Amir belum lagi sempat menemui anak-anaknya.

Anaknya yang kedua – satu-satunya anak perempuan – akhirnya menulis surat ringkas Ramadan lalu.

Walaupun pendek, kandungannya sangat menyentuh hati.

“Dia tulis, ‘Jangan risau tentang adik-adik. Saya akan jaga mereka. Tapi Daddy tinggalkan kami sekali lagi’,” kongsi Amir yang bertekad untuk insaf dan berubah.

Dia telah menyertai sesi kaunseling Islam di dalam penjara, mengikuti program pemulihan rohani dan paling penting, merancang untuk memutuskan hubungan dengan rakan-rakan lama yang masih terjebak dengan dadah.

“Saya percaya pengaruh kawan main peranan besar. Kalau saya putuskan hubungan, tiada cara untuk saya dapatkan dadah,” katanya.

“Kali ini, saya ingin bebas dengan rancangan pemulihan. Saya juga ingin luangkan masa dengan anak-anak. Bawa mereka keluar.

“Selain itu, kurangkan memarahi mereka. Saya juga ingin membina semula hubungan dan kepercayaan dengan anak-anak.”

Apabila ditanya apa yang paling dirindui tentang anak-anaknya, Amir menjawab tanpa ragu – suasana riuh di rumah.

“Dulu, kalau mereka bising, saya tak suka. Saya akan marah,” katanya.

“Kadang dari tangga pun dah boleh dengar suara mereka pekik-pekik. Tapi sekarang, bila saya sudah di dalam, sunyi... saya rindu sangat keriuhan itu.”

Amir kongsi bahawa dia berhasrat membawa anak-anaknya ke SEA Aquarium (kini dikenali sebagai Oceanarium) kerana lawatan bersama keluarganya pada 2024 terhenti separuh jalan.

“Tahun lepas kami pergi ke SEA Aquarium, tapi tengah jalan, kawan telefon ajak jumpa. Saya pun tidak teragak-agak dan suruh mereka kemas barang dan balik. Mereka menangis.

“Jadi saya ingin melawat ke sana lagi dan menyempurnakan pengalaman lawatan itu untuk anak-anak,” ujar Amir yang menyesali perbuatannya itu.

“Kalau mereka membaca atau dengar cerita ini, saya hanya ingin mereka tahu bahawa saya sangat sayangkan kesemua anak-anak saya. Saya tidak ingin mengecewakan mereka lagi. Ini kali terakhir,” dia berjanji.

Saya sangat menyesal. Kali ini ia benar-benar menyedarkan saya, kerana saya ditangkap di depan anak saya, terutama anak bongsu yang sangat manja dengan saya. Kalau boleh putar balik masa, saya tidak ingin semua ini berlaku.
Amir (bukan nama sebenar), pesalah dadah.
Laporan berkaitan
Meraikan insan bergelar ayahJun 13, 2025 | 10:35 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg