Bagi Encik Muhammad Shakir Juanda, bekas pesilat yang pernah dua kali dinobat juara dunia, dan kini bapa kepada tiga orang anak, menjadi seorang ayah tidak perlu rumit.
Yang penting ialah sikap konsisten – dan tahu bila masa untuk bergurau dan bermain.
“Dalam rumah pun saya masih main kejar-kejar dengan anak-anak. Biar mereka bebas bergerak, keluarkan tenaga. Asalkan mereka aktif dan gembira,” kata Encik Shakir, 37 tahun, kepada Berita Minggu baru-baru ini.
Meskipun mendiami di sebuah flat empat bilik bersama isteri, Cik Nurshafiqah Ghazali, 34 tahun, dan tiga anak mereka yang berusia 10 tahun, lapan tahun dan empat tahun, ia tidak menjadi halangan untuk membina suasana keluarga yang aktif, penuh kasih sayang dan nilai murni.
“Kadang-kadang anak-anak minta saya bawa mereka ke taman permainan,” katanya.
“Tapi jika ada masa, saya ajak mereka main secara spontan. Contohnya, ‘Eh, jom main ‘catching’ (kejar-kejar) dalam rumah.’.
“Ruang sempit sedikit tapi tetap seronok,” ujar pengurus prestasi sukan di Majlis Sukan Singapura (SportSG) itu.
Sebelum menjadi ayah, Encik Shakir dikenali di gelanggang silat, mewakili Singapura di pentas dunia.
Kini, gelanggangnya berubah, tetapi cara fikirannya kekal.
“Saya sentiasa berpegang pada tiga ‘D’ – iaitu disiplin, dedikasi dan determination (tekad)” katanya.
“Sekarang, nilai-nilai ini saya cuba tanam dalam diri anak-anak saya.”
Ia bermula dengan rutin mudah.
“Lepas isyak, sebelum 9 malam, anak-anak akan masuk tidur. Saya akan memberitahu mereka bahawa mereka perlukan cukup rehat... supaya esok boleh seronok di sekolah atau bertenaga untuk sebarang kegiatan,” kata Encik Shakir yang memberikan contoh disiplin untuk anak-anaknya ketika waktu tidur.
Baginya, memberi ruang untuk anak-anak mencuba minat baru juga penting.
Walaupun mereka belum minat dalam silat seperti dirinya, beliau tidak memaksa.
“Apa-apa saja yang mereka ingin lakukan, kami sebagai ibu bapa akan sokong 100 peratus,” kata Encik Shakir.
Anak sulungnya bermain bola keranjang, manakala yang kedua suka bermain bola sepak.
Namun di rumah, Encik Shakir juga ada memberi tunjuk ajar untuk anak-anaknya belajar gerakan asas silat agar mereka mempunyai ilmu sukan itu jika satu hari ingin menceburinya.
“Biar mereka cuba dan teroka sukan yang mereka minat,” ujarnya lagi.
Satu lagi kegiatan keluarga yang menjadi kegemaran keluarga itu ialah memancing – hobi peribadi Encik Shakir yang kini dikongsi bersama anak-anaknya.
“Ia bukan tentang mendapat ikan sahaja tetapi yang penting ialah prosesnya dan masa yang kami luangkan bersama,” cerita Encik Shakir.
Anak sulungnya mula memancing seawal usia empat tahun, menggunakan joran ringkas yang berharga kurang daripada $15.
“Tapi masa itu, ikan yang dia dapat pancing bersaiz besar,” selorohnya yang kemudian menambah selain bakat, memancing juga berdasarkan tuah.
Menerusi kegiatan seperti memancing, Encik Shakir mengongsi bahawa beliau juga dapat mendidik anak-anaknya tentang kesabaran, fokus dan nikmat meluangkan masa bersama.
Selepas bersara daripada bertanding dalam silat, Encik Shakir kini bekerja sepenuh masa dari 9 pagi hingga 5 petang.
Namun, beliau tetap utamakan masa untuk keluarga termasuk menghantar anak ke sekolah, menjemput mereka pulang dan menghabiskan masa di rumah.
Bagi beliau, detik-detik kecil seperti ini peluang untuk mengukuhkan hubungan dan membina kepercayaan antara ayah dengan anak.
Antara cabaran terbesar sebagai seorang bapa, kata Encik Shakir, adalah belajar ‘melepaskan’ atau membiarkan anak-anaknya berdikari.
Walaupun anak-anaknya semakin membesar dan menunjukkan keinginan untuk berdikari – seperti berjalan ke sekolah sendiri – beliau masih bergelut dengan perasaan bimbang.
“Saya sendiri belum yakin nak lepaskan mereka pergi sekolah sendiri. Dalam mata saya, mereka masih kecil lagi.
“Kadang-kadang saya rasa, inilah saat-saat yang kita akan rindukan nanti – jalan sama-sama, berbual sepanjang jalan,” akuinya.
Menasihati keluarga lain berkaitan keluarga yang aktif, Encik Shakir berkata: “Mulakan dengan sesuatu yang kecil. Cari kegiatan yang anda suka dan lakukannya bersama anak-anak. Jangan paksa.”
Menjadi seorang ayah, bukan bergantung pada banyaknya masa lapang atau kemampuan memberi hadiah.
“Sebaliknya, ia tentang kehadiran dengan sepenuh hati, memberi perhatian yang ikhlas, dan menghargai saat-saat kecil tetapi penuh makna,” tambah beliau.
Pandangan itu turut dikongsi isterinya, Cik Nurshafiqah, yang menyifatkan Encik Shakir sebagai tunjang ketenangan dan kekuatan dalam kehidupan mereka sekeluarga.
“Beliau adalah seorang ayah yang penuh kasih dan bertanggungjawab, sentiasa meletakkan keutamaan kepada iman serta perkembangan peribadi anak-anaknya.
“Sebagai seorang pembimbing, beliau menanamkan nilai-nilai murni dan ajaran agama, menggalakkan rasa hormat, memberi penekanan terhadap kepentingan solat, pencarian ilmu, serta menyeimbangkan antara pembelajaran dan keseronokan.
“Saya berasa amat bangga dan bersyukur kerana anak-anak saya dikurniakan seorang bapa yang penyayang, bijaksana dan menjadi punca ketenangan serta kekuatan dalam kehidupan mereka,” kata suri rumah itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg