Topik diikuti
Pergi ke BHkuDi sebalik fatwa: Proses, prinsip dan hakikat semasa
Di sebalik fatwa: Proses, prinsip dan hakikat semasa
Di sebalik fatwa: Proses, prinsip dan hakikat semasa
USTAZ SHEIKH UMAR ABDUL AZIZ
Dalam dunia yang pesat berubah, umat Islam berdepan pelbagai persoalan baru, daripada teknologi makanan hingga kaedah rawatan alternatif, yang memerlukan panduan agama yang jelas.
Dalam konteks ini, fatwa berperanan penting sebagai rujukan yang diyakini serta mencerminkan keanjalan syariah agar terus relevan dengan perubahan zaman.
Fatwa juga bukan hanya urusan asatizah, bahkan ia mempengaruhi pilihan hidup harian kita, termasuk dalam keputusan yang sering dianggap kecil atau biasa.
Ambil contoh perkembangan semasa dalam masyarakat.
Isu daging kultur, atau lab-grown meat, misalnya telah mendapat perhatian apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memutuskan ia harus dimakan dengan syarat tertentu.
Pada masa sama, persoalan tentang protein alternatif, sama ada daripada sumber tumbuhan atau serangga, turut dikaji secara mendalam.
Jawatankuasa Fatwa ini memutuskan ia dibenarkan berdasarkan prinsip istihalah, iaitu perubahan sifat asal sesuatu bahan melalui pemprosesan, dengan syarat ia selamat dan memenuhi keperluan halal.
Tidak terkecuali, panduan mengenai amalan ruqyah shar’iyyah juga telah diperincikan bagi membantu masyarakat membezakan antara rawatan berlandaskan syarak dengan amalan menyimpang.
Namun, sejauh manakah kita faham proses penentuan fatwa ini?
Dalam kesibukan kehidupan harian, persoalan ini mungkin jarang diberi perhatian.
Mungkin juga lebih kepada keterbatasan pendedahan terhadap proses di sebalik sesuatu fatwa.
Hakikatnya, penentuan fatwa melibatkan penelitian serta disiplin ilmu yang mendalam, yang mungkin tidak sentiasa terlihat oleh masyarakat umum.
Allah swt berfirman yang bermaksud: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Nahl ayat 43)
Setiap fatwa dihasilkan melalui proses ilmiah yang teliti, berpandukan Al-Quran, sunah, usul fikah, kaedah fiqhiyyah, dan maqasid syariah, sambil mengambil kira konteks semasa.
Fatwa berfungsi sebagai jambatan antara prinsip syariah yang kekal dengan hakikat kehidupan moden.
Dengan memahami bagaimana sesuatu fatwa ditentukan, masyarakat akan lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu hukum serta tidak mudah terpengaruh dengan pandangan yang tidak berasaskan disiplin ilmu.
Bagi mereka yang mahu memahami dengan lebih mendalam bagaimana sesuatu fatwa ditentukan, insya-Allah, satu kursus khas bakal diadakan pada 9 Mei 2026, bertempat di Masjid Al-Taqua.
Penulis merupakan Ketua Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).
SEKILAS
Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Bagi keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
2. Buat yang ingin hulur sumbangan, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-melkan tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
3. Atau PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
5. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.
6. Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.
