Dialog bincang peranan belia dalam bangun daya tahan, kesihatan mental
Dialog bincang peranan belia dalam bangun daya tahan, kesihatan mental
Usaha mendapatkan maklum balas yang membina dan mengadakan pendekatan secara bermakna merupakan antara strategi utama yang boleh dipupuk oleh pemerintah bagi mewujudkan persekitaran yang menggalak daya tahan kesihatan serta kesejahteraan mental dalam kalangan belia.
Ini penting terutamanya dengan belia kini semakin peka terhadap isu berkaitan kesihatan mental, serta menginginkan akses yang lebih baik kepada sistem sokongan.
Perkara tersebut antara intipati perbincangan dalam satu dialog menteri pada 28 Januari bersama Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang memberi tumpuan pada tema daya tahan dan kesejahteraan.
Dialog tersebut merupakan sebahagian daripada siri perbincangan panel dan program pembangunan pemimpin belia, Lingkaran Muda Asia, atau Asia’s Rising Circle (ARC).
Dianjurkan Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF), program tersebut menghimpunkan belia daripada pelbagai latar belakang, yang merupakan penggiat yang mengutarakan isu berkaitan daya tahan mental dan kesejahteraan.
Program ARC 2026 memberi wadah bagi belia dari 13 negara di Asia untuk bertukar-tukar pandangan, membina keupayaan kepimpinan, serta meneroka cara untuk memberi kesan positif kepada masyarakat masing-masing sambil menangani cabaran yang serupa.
Berlangsung dari 9 hingga 31 Januari, program itu melibatkan 42 belia dari negara-negara ASEAN, China dan India.
Para peserta terlebih dahulu mengikuti sesi pembelajaran secara maya sebelum berhimpun di Singapura dari 25 hingga 31 Januari bagi pelbagai sesi bersemuka.
Edisi sulung ini memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan sebagai asas untuk membina daya tahan dan mobiliti.
Dialog selama sejam itu dikendalikan oleh Penolong Profesor dan Ketua bagi Kesihatan Mental Sejagat di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Dr Anne-Claire Stona, selaku moderator.
Semasa dialog itu, para peserta telah mengutarakan isu serta strategi untuk merapatkan jurang pemahaman berbeza mengenai spektrum kesihatan mental di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
Antara peserta yang hadir di dialog ialah Pengurus Besar pertubuhan kebajikan Festival Filem Kesihatan Mental Singapura (MHFFS), Cik Filzah Hanis Abdul Rashid.
Ditemui Berita Harian (BH), Cik Filzah berkata beliau teruja dapat mengambil inspirasi daripada pemimpin belia dari negara lain yang berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan belia sambil mengemudi isu-isu lebih mencabar.
“Kami masih muda, tetapi kami berdaya untuk tampil ke hadapan dan membantu masyarakat kami,” tambahnya.
Selain mempertingkat pemahaman individu tentang kesihatan dan daya tahan mental, pandangan pihak berkepentingan seperti ibu bapa, majikan dan lain-lain turut penting dalam membina sistem sokongan yang lebih menyeluruh.
Mereka turut membincangkan pelbagai pendekatan berkesan untuk mengemukakan kebimbangan belia mengenai kesihatan dan daya tahan mental, agar isu-isu ini dapat ditangani di peringkat dasar.
Peranan media sosial dan alat kecerdasan buatan (AI) dalam menjamin kesejahteraan dan daya tahan turut dibincangkan dalam dialog itu.
Para peserta akur bahawa media sosial dan AI boleh dimanfaatkan secara berkesan.
Namun, mereka juga bersetuju bahawa langkah dan amalan terbaik perlu dipupuk bagi mencegah penyalahgunaan serta gangguan terhadap kesihatan mental dan daya tahan belia dan masyarakat umum.
Berkongsi sentimen itu ialah pekerja sosial perubatan, Cik Siti Nuraisha Safri.
Beliau, yang juga merupakan sukarelawan di Pasukan Belia Singapura, turut bersyukur program ARC mendedahkannya kepada bagaimana pemerintah dan belia dari negara berbeza boleh mendekati isu kesihatan mental dan daya tahan dengan lebih berkesan.

