Pertumbuhan penghantaran makanan S’pura antara paling perlahan di Asean
Pertumbuhan penghantaran makanan S’pura antara paling perlahan di Asean
Walaupun sektor penghantaran makanan Asia Tenggara berkembang pesat, pasaran Singapura kekal antara yang paling perlahan berkembang di rantau ini, menurut satu kajian baru.
Nilai dagangan kasar (GMV) penghantaran makanan di Singapura meningkat 13 peratus pada 2025, daripada AS$2.6 bilion ($3.3 bilion) pada 2024 kepada AS$2.9 bilion, menurut laporan Platform Penghantaran Makanan di Asia Tenggara (Food Delivery Platforms in Southeast Asia) oleh firma perunding Momentum Works.
GMV digunakan sebagai ukuran skala dan pertumbuhan pasaran, mencerminkan nilai keseluruhan transaksi platform tanpa mengambil kira keuntungan.
Laporan tahunan edisi keenam itu, yang dikeluarkan pada 28 Januari, mendapati pasaran penghantaran makanan Asia Tenggara berkembang 18 peratus tahun ke tahun pada 2025 kepada GMV AS$22.7 bilion, meningkat daripada AS$19.3 bilion, dan lebih pantas berbanding pertumbuhan 13 peratus pada tahun sebelumnya.
Ini merupakan pengembangan paling kukuh sejak tempoh 2020 hingga 2021 apabila permintaan yang dipacu oleh pandemik Covid-19 melonjakkan pertumbuhan kepada sekitar 30 peratus.
Daripada enam pasaran Asean yang dikaji, Singapura mencatat pertumbuhan kedua paling perlahan, hanya mendahului Filipina pada 12 peratus, yang terjejas akibat gangguan berulang daripada taufan tropika.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Momentum Works, Encik Li Jianggan, berkata pertumbuhan yang lebih perlahan di Singapura mencerminkan perbezaan asas pengguna, topografi bandar, kuasa perbelanjaan serta dinamik bekalan penunggang dan restoran di setiap negara.
Beliau menambah kos penghantaran makanan di Singapura boleh menjadi mahal, terutamanya apabila terdapat banyak pilihan makan di luar talian yang berpatutan.
Apabila pengguna mempunyai pilihan yang lebih murah seperti makan di luar atau mengambil pesanan sendiri, platform penghantaran makanan berada di bawah tekanan untuk meningkatkan kecekapan bagi mengekalkan pertumbuhan dua angka.
Tekanan ini sebahagiannya berpunca daripada cabaran struktur di Singapura, khususnya kumpulan penunggang penghantaran yang terhad berbanding negara jiran yang lebih besar.
“Teknologi membantu, namun platform perlu memberi tumpuan kepada kepadatan dan kecekapan operasi untuk mengembangkan potensi pertumbuhan,” tambah Encik Li.
Thailand mencatat pertumbuhan terpantas pada 22 peratus, disokong inisiatif kemampuan harga, persaingan sengit dan skim subsidi separuh pemerintah yang membantu menampung kos makanan pengguna.
Indonesia, Malaysia dan Vietnam mencatat pertumbuhan sekitar 18 hingga 19 peratus, dengan Indonesia menambah peningkatan nilai terbesar, kira-kira AS$1 bilion dalam GMV.
Di peringkat platform, Grab mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama di Asia Tenggara, dengan bahagian pasaran sekitar 55 peratus pada 2025, menjana anggaran GMV AS$12.5 bilion.
ShopeeFood mengatasi Foodpanda sebagai pemain kedua terbesar, manakala Gojek dan Lineman mencatat GMV sekitar AS$2 bilion setiap satu.
Selain GMV yang mengukur skala pasaran, kajian itu juga mendapati Asia Tenggara menjana antara 8.5 juta hingga 9.5 juta pesanan penghantaran makanan sehari pada 2025, hampir dua kali ganda India, walaupun penduduknya lebih kecil.
Laporan itu menyatakan saiz pasaran penghantaran makanan India dipengaruhi oleh tabiat pemakanan penduduk serta kekurangan bekalan kedai makanan.
China pula memenuhi sehingga 200 juta pesanan sehari, menunjukkan penembusan penghantaran makanan lebih dipengaruhi oleh corak bandar, tabiat makan dan faktor harga berbanding saiz penduduk semata-mata.

