Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura akan lakukan sedaya upaya bawa perubahan di Gaza, sambil pelihara kepentingan negara

Faishal: Pemerintah, masyarakat akan bersama main peranan bantu Palestin melalui bantuan kemanusiaan, dan ke arah keamanan dalam pelbagai cara
Oct 7, 2025 | 5:30 AM
dialog terbuka ‘Gaza Dari Lensa Kita’, BH, ZB, Faishal
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, melahirkan pandangan dalam bahagian kedua siri dialog terbuka ‘Gaza Dari Lensa Kita’, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB). Bersama beliau ialah Editor Berita Bersekutu ZB, Cik Wong Siew Fong (tengah), dan Ketua Media Sosial BH, Cik Siti Aisyah Nordin. - Foto ZAOBAO

Singapura akan melakukan yang terbaik untuk membantu dan berusaha membawa perubahan dalam isu konflik Gaza, namun ini mesti dilaksanakan dengan mengutamakan kepentingan nasional, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau menekankan bahawa dasar luar Singapura bergantung pada kepentingan nasional sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama dalam konteks Asia Tenggara.

“Sama ada ia isu berkaitan dengan apa yang sedang berlaku di Gaza atau pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara, ini adalah kepentingan nasional yang menyeluruh yang perlu kita ambil, dan terdapat bidang keutamaan termasuk mengekalkan perpaduan nasional, melindungi keselamatan Singapura dan menegakkan undang-undang antarabangsa yang merupakan keutamaan sangat penting bagi Singapura,” kata beliau.

Dr Faishal berkongsi pandangannya itu dalam bahagian kedua siri dialog terbuka Gaza Dari Lensa Kita, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB).

Beliau telah memberi reaksi terhadap intipati perbincangan enam warga Singapura daripada pelbagai latar belakang – yang dirakam dalam bahagian pertama – berkenaan situasi di Gaza dan kesannya ke atas masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.

Rakaman video kedua-dua bahagian itu boleh ditonton di laman web BH dan menerusi akaun YouTube rasmi.

Mengulas lanjut mengenai pendirian pemerintah untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara secara bersyarat, Dr Faishal berkata bahawa pendirian itu diambil berdasarkan penilaian kepentingan nasional.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, telah menyatakan di Parlimen pada 22 September bahawa Singapura akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara apabila ia mempunyai pemerintah berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan menolak pengganasan sepenuhnya.

Bagaimanapun, keputusan itu akan dipertimbangkan semula jika keadaan terus meruncing atau jika Israel mengorak langkah lanjut untuk menghapuskan huraian dua negara.

Dr Faishal dalam sidang Parlimen yang sama itu pula telah berkata hasrat Singapura mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tidak perlu dipersoalkan kerana ia sesuatu yang sedang diusahakan pemerintah, dan “persoalannya bukanlah jika, tetapi bila”.

“Ini menunjukkan bahawa Singapura terus memantau perkembangan dengan teliti, dan kita mempunyai kepentingan nasional yang kita ambil, namun pada masa yang sama, kita mahukan keamanan.

“Oleh itu, kita mencari cara memainkan peranan untuk menyumbang dan membantu mereka melalui bantuan kemanusiaan, dan juga ke arah keamanan dalam pelbagai cara,” jelas beliau dalam rakaman video siri dialog BH-ZB itu.

Lebih 66,000 warga Palestin, termasuk kanak-kanak, telah terbunuh dalam konflik Gaza setakat ini, yang tercetus selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, manakala yang lain pula berada di ambang kebuluran.

Sejauh ini, Singapura telah menghantar 10 pakej bantuan kemanusiaan, dengan sumbangan bernilai lebih $24 juta, termasuk sumbangan wang, bantuan yang digugurkan dari udara, dan pengerahan pasukan perubatan untuk merawat mangsa.

Negara ini akan menghantar satu lagi pasukan perubatan ke Mesir untuk merawat pelarian Palestin di sana, serta alat prostetik atau anggota badan palsu untuk sekitar 100 rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan dan sedang dirawat di Jordan atau hospital sementara di Gaza.

Dr Faishal berkata lebih banyak lagi akan dilakukan untuk membantu Gaza, termasuk membantu Penguasa Palestin melalui inisiatif bernilai $10 juta di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) yang bertujuan membina keupayaan pegawai awam di Palestin.

Dalam rakaman video itu, Dr Faishal turut berkata walaupun isu Gaza memberi kesan yang lebih mendalam kepada masyarakat Melayu/Islam, terdapat bahaya keretakan kaum dan agama boleh timbul jika konflik itu dilihat hanya melalui lensa agama atau kaum sahaja – seperti yang dilihat di negara lain.

“Jika (konflik ini) dilihat dari lensa agama dan kaum sahaja, ia tidak mencukupi, malah tidak tepat,” kata beliau, sambil menambah konflik Gaza itu melibatkan pelbagai aspek.

Tambah Dr Faishal, adalah tidak adil untuk mempunyai persepsi bahawa masyarakat Melayu/Islam perlu memikul tanggungjawab lebih besar dalam menegakkan perpaduan negara kerana setiap individu di Singapura mempunyai peranan dalam memperkukuh sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.

“Kita mempunyai ekosistem yang saling menghormati. Kita mempunyai ekosistem di mana terdapat undang-undang untuk menyokongnya, bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi untuk menyediakan alat yang sesuai bagi kami memastikan anda tidak melampaui garis merah tertentu.

“Kita telah membina modal sosial untuk dapat memahami satu sama lain… modal sosial yang telah kita bina selama bertahun-tahun ini memastikan kita terus bersatu padu dan ia telah membantu kita,” ujar beliau.

Mengimbangi kepentingan negara dalam perjuangan Gaza

“Di Singapura, dasar luar bergantung pada kepentingan negara Singapura yang berbilang kaum dan agama dalam konteks Asia Tenggara. Sama ada ia isu berkaitan dengan apa yang sedang berlaku di Gaza atau pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara, ini adalah kepentingan nasional yang menyeluruh yang perlu kita ambil, dan terdapat bidang keutamaan termasuk mengekalkan perpaduan nasional, melindungi keselamatan Singapura dan menegakkan undang-undang antarabangsa yang merupakan keutamaan sangat penting bagi Singapura.”
Semua mainkan peranan dalam perpaduan negara

“Setiap orang memainkan peranan dalam menegakkan perpaduan negara... setiap daripada kita mempunyai peranan dalam hal ini, dan kita telah hidup bersama selama bertahun-tahun. Datuk nenek moyang kita memulakan perjalanan ini, dan mereka memainkan peranan bukan hanya dalam menubuhkan asas, tetapi juga dengan menggerakkan masyarakat yang berbeza untuk sama-sama membina Singapura kita.”
Terus sediakan platform perbincangan yang membina

“Kita tidak ambil mudah... oleh itu penting bagi kita terus menyediakan platform dalam cara yang bermakna dan membina dengan tujuan, satu, untuk membuat orang ramai memahami tentang isu itu. Kedua, bagaimana kita boleh bekerjasama untuk membantu, yang mana kita telah lakukan. Ketiga, kita boleh melihat juga apakah perkara yang kita mahu mainkan peranan.”
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg