Pada usia 61 tahun dan hampir mencapai umur bersara, Cik Aini Omar masih menyumbang secara aktif di tempat kerja sebagai Pegawai Sokongan Pengawal Trafik Udara (ATCSO) dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Malah, beliau memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan dan kecekapan sektor penerbangan Singapura iaitu menyemak dan menapis sekitar 20,000 mesej secara purata dalam sehari daripada Sistem Pengurusan Maklumat Aeronautik (AIM).
Sistem ini membolehkan juruterbang, pengendali syarikat penerbangan dan pengguna Perkhidmatan Maklumat yang lain untuk mengakses maklumat penerbangan terkini dan menghantar rancangan penerbangan secara elektronik.
Untuk mudahkan penandaan mesej utama dan kritikal dalam sistem tersebut, ibu tiga orang anak itu melakar satu proses agar mesej utama sedemikian diserlahkan dengan lebih ketara.
Proses yang diperkenalkan beliau itu membolehkan para pegawai memberi tumpuan kepada maklumat lebih utama dengan lebih mudah di tengah-tengah timbunan mesej dan meredakan bebanan pegawai.
Atas usahanya itu, Cik Aini disebut sebagai antara pelopor sektor penerbangan Singapura atas usahanya menghasilkan proses tersebut oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini dalam ucapannya sempena majlis makan malam ulang tahun ke-40 CAAS.
Beliau merupakan salah seorang daripada tiga individu yang disebut Encik Wong – yang lain adalah Encik Soon Boon Hai dan Cik Mary Tan.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) melalui panggilan telefon, Cik Aini berkata beliau sudah berkecimpung dalam sektor penerbangan selama 42 tahun setelah memulakan kerjaya dalam industri tersebut pada 1983.
Cik Aini berkata: “Sektor penerbangan sangat menarik. Persekitaran yang pesat dan keperluan untuk membuat keputusan kritikal memberikan saya satu kepuasan.
“Saya masih ingat lagi bahawa apabila saya mula-mula menyertai sektor ini, hanya sekitar 25 peratus (iaitu 1 daripada 4) merupakan kaum Hawa.”
Cik Aini menjelaskan bahawa sebelum dapat bekerja dalam bidang ini, beliau perlu jalani kursus pengawal trafik udara utama – ia merangkumi aspek teori dan amali serta latihan sambil bekerja.
Beliau berkata antara aspek paling mencabar pada waktu itu adalah membiasakan diri dengan lingo atau perkataan yang diutarakan juruterbang dengan pengawal trafik udara kerana ia “berbeza daripada perbualan biasa”.
“Sebagai contoh, kami tidak mengatakan ‘Ok’ tetapi affirm (merujuk kepada pengesahan sesuatu). Sebelum ini saya harus menghafal perkataan sedemikian tetapi lambat laun, ia menjadi satu tabiat,” ujarnya.
Beliau menambah tatkala mula terlibat dalam bidang ini, sebahagian besar proses masih dilakukan secara manual.
Sebagai contoh, beliau harus mencetak pelan penerbangan di kertas dan menghantarnya untuk dipersetujui sebelum sesebuah penerbangan dapat berlepas.
Namun kini, pelan penerbangan ini dapat diakses dan dihantar secara elektronik, sekali gus mengelakkan kegunaan kertas dan kurangkan jejak karbon, tambahnya.
Peralihan penghantaran pelan penerbangan ini daripada analog kepada digital merupakan salah satu daripada pelbagai perubahan yang telah disaksikan beliau dalam sektor penerbangan Singapura.
“Saya telah banyak saksikan perkembangan teknologi (dalam kerjaya ini). Sektor penerbangan merupakan sektor dinamik jadi sungguh pun sudah lama berkecimpung, saya harus tetap terus belajar dan sesuaikan diri.
“Yang penting adalah saya sentiasa kemas kini apa yang saya pelajari dan menyemai sifat belajar sepanjang hayat,” tambah Cik Aini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg