Pembinaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi akan bermula pada separuh pertama 2025, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Apabila siap menjelang pertengahan 2030, gabungan Terminal 5 dan terminal sedia ada akan membantu Singapura menjadi hab penerbangan dengan dihubungkan dengan lebih daripada 200 bandar sejagat, tambahnya.
Encik Wong mengumumkan demikian semasa berucap di majlis makan malam sempena ulang tahun ke-40 Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) di Hotel Shangri-La pada 6 September.
Beliau berkata dengan terbinanya T5, sehingga 50 juta penumpang tambahan dapat ditampung Lapangan Terbang Changi di samping kapasiti buat masa ini, 90 juta penumpang setiap tahun.
Ia sekali gus dapat menyokong lebih ketersambungan, mentransformasikan pengalaman penumpang dan mencipta pekerjaan baru, ujar Encik Wong.
Selain daripada kapasiti tambahan, beliau menjelaskan pemerintah sedang berusaha meluaskan perjanjian perkhidmatan udara di sini dengan rakan kongsi antarabangsa supaya syarikat penerbangan boleh melakar lebih banyak penerbangan serta menebarkan rangkaian udara Singapura.
Beliau berkata:
“Keterhubungan Singapura sememangnya sudah sangat baik dengan dihubungkan dengan hampir 150 bandar hari ini.
“Namun pemerintah ingin mengembangkan jumlah ini lebih lanjut kepada lebih 200 bandar menjelang pertengahan 2030.
“Dengan ini, lebih ramai penumpang akan ke Lapangan Terbang Changi dan Singapura serta mewujudkan permintaan bagi perkhidmatan bagi ekosistem penerbangan kita secara meluas.”
Ini sedang Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) jangkakan jumlah penumpang udara pasca Covid naik dua kali ganda menjelang 2040 kepada empat bilion penumpang, menurut laporannya pada Jun 2023.
Oleh demikian, beberapa negara serantau, misalnya sedang membuat pelaburan besar untuk memanfaatkan peningkatan trafik ini, ujar Encik Wong.
Itulah sebabnya penting bagi Singapura bersiap sedia dan mengasah daya saingnya dengan membangun kelebihan baru bagi membezakan negara ini, tambahnya.
Beliau menekankan pentingnya untuk Singapura melakukan hal sedemikian melalui tiga teras.
Yang pertama adalah meningkatkan daya inovasi – iaitu dengan memanfaatkan teknologi dan mencari cara baru mencipta nilai secara berterusan.
Beliau menukil contoh penggunaan kenderaan mengendali bagasi autonomi bagi pengendalian operasi darat lapangan terbang yang sedang dicuba Changi Airport Group (CAG), dengan sokongan CAAS.
Ini mengatasi keterbatasan tenaga manusia dan mengurangkan tempoh pusing ganti bagi pesawat, sekali gus membantu lapangan terbang itu memberi perkhidmatan kepada lebih banyak pesawat.
Dalam aspek ini juga, beliau menyentuh tentang penubuhan Makmal Penerbangan Antarabangsa, yang diumumkan CAAS baru-baru ini dengan satu pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU).
Encik Wong memuji langkah penubuhan makmal tersebut, yang menjadi “contoh baik bagaimana Singapura boleh menghimpunkan rakan kongsi” dan membuka jalan bagi industri penerbangan global.
Aspek kedua yang digariskan beliau ialah kemampanan yang harus menjadi kunci untuk berkembang maju, lebih-lebih lagi di kala perubahan iklim semakin menjadi ancaman dan kedudukan Singapura sebagai hab udara antarabangsa yang utama.
Beliau menyentuh berkenaan Pelan Tindakan Hab Udara Mampan negara yang dibangunkan CAAS, yang pelaksanaannya bakal menjadi satu cabaran.
Aspek ketiga yang ditekankan Encik Wong adalah berkenaan sumbangan aktif Singapura di persada dunia dalam sektor penerbangan antarabangsa.
Menurutnya, Singapura menjadi saksi bagaimana sektor penerbangan telah memacu perkembangan sosio-ekonomi sesebuah negara.
Sehingga kini, Akademi Penerbangan Singapura di bawah CAAS telah melatih lebih 160,000 karyawan penerbangan dari lebih 200 negara.
Akademi tersebut sedang menjalani kemas kini dan naik taraf yang akan meningkatkan kapasiti latihannya, tambah Encik Wong.
Encik Wong turut menarik perhatian tentang pegawai CAAS yang telah menaburkan bakti dalam sektor penerbangan Singapura – antaranya Cik Aini Omar, seorang Pegawai Sokongan Kawalan Trafik Udara, yang masih berkhidmat dalam sektor tersebut selepas 42 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg