Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dibelenggu hilang kerja, syukur M³ beri sokongan cari kerja

Sep 27, 2024 | 5:30 AM
Encik Mohamed Naseer Tam Abdul Aziz (kanan) mendapat nasihat daripada sekretariat Bidang Tumpuan Keempat (FA4) M³, Encik Ariandy Majid (kiri), tentang peluang pekerjaan yang sesuai baginya.
Encik Mohamed Naseer Tam Abdul Aziz (kanan) mendapat nasihat daripada sekretariat Bidang Tumpuan Keempat (FA4) M³, Encik Ariandy Majid (kiri), tentang peluang pekerjaan yang sesuai baginya. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Setelah kehilangan pekerjaannya pada November 2023, runsing fikiran Encik Mohamed Naseer Tam Abdul Aziz, 43 tahun, setiap hari memikirkan cara untuk mendapat pekerjaan baru.

Beliau, yang pernah bekerja sebagai pegawai keselamatan selama lebih setahun dan kemudian selama empat bulan bekerja di sebuah syarikat menjual emas, menghabiskan masanya setiap hari mencari peluang pekerjaan baru, namun belum berhasil.

Dibelenggu ketidaktentuan, beliau bimbang bagaimana dirinya, yang merupakan pencari nafkah tunggal, dapat membiayai kehidupan isterinya dan dua anak kecilnya yang berusia empat dan tiga tahun yang sama-sama tinggal di flat sewa HDB di Eunos.

Mujur datang seorang pegawai daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) ke rumahnya dan merujuknya kepada pasukan FA4 (Bidang Tumpuan Keempat) di bawah daya usaha M³ untuk membantunya.

“Pegawai MSF itu berkata beliau boleh merujuk saya kepada satu pasukan FA4 yang boleh membantu saya mencari kerja baru. Betul-betul seminggu kemudian, Encik Ariandy daripada FA4 menelefon saya dan bertanya bagaimana beliau boleh membantu saya.

“Beliau meminta beberapa butiran dan juga minta saya hantar resume saya supaya beliau dapat memahami keinginan dan keperluan saya dalam pencarian kerja saya,” cerita Encik Naseer.

Bidang Tumpuan Keempat atau FA4 adalah salah satu daya usaha di bawah rangkaian M³ yang dilancar pada Oktober 2020, di tengah-tengah pandemik Covid-19, bagi membantu masyarakat Melayu/Islam meningkatkan kemahiran, mencari pekerjaan baru serta meningkatkan pembangunan kerjaya.

Ia diterajui Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, dan memanfaatkan keupayaan pemimpin kesatuan dan rangkaian Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) selain bekerja rapat dengan pihak Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).

Encik Ariandy Majid, 49 tahun, merupakan sekretariat FA4 yang bekerjasama dengan pemimpin kesatuan Melayu/Islam NTUC untuk membantu masyarakat Melayu/Islam dalam usaha mereka mencari pekerjaan atau meningkatkan kemahiran mereka.

Selain menelefon Encik Naseer, beliau turut melawatnya bersama seorang lagi pemimpin kesatuan pada November 2023 untuk memberikan nasihat dan membantunya dalam perjalanannya mencari pekerjaan baru.

Selama lima bulan setelah kehilangan pekerjaannya, Encik Mohamed Naseer Tam Abdul Aziz bimbang bagaimana beliau dapat membiayai kos kehidupan keluarganya yang tinggal di flat sewa HDB di Eunos sementara beliau mencari pekerjaan baru.
Selama lima bulan setelah kehilangan pekerjaannya, Encik Mohamed Naseer Tam Abdul Aziz bimbang bagaimana beliau dapat membiayai kos kehidupan keluarganya yang tinggal di flat sewa HDB di Eunos sementara beliau mencari pekerjaan baru. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Mereka datang rumah saya dan bertanya khabar dan juga bertanya tentang pekerjaan yang saya lebih cenderung seperti bahagian operasi atau pentadbiran.

“Kemudian mereka merujuk saya kepada sebuah syarikat dengan saya menjalani beberapa pusingan dan rundingan temuduga,” kata Encik Naseer.

Dalam tempoh lima bulan Encik Naseer tidak bekerja, beliau diberi bantuan sementara oleh MSF untuk membayar kos flat sewanya, Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC), bil api air serta diberi wang tunai kira-kira $1,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Sekretariat FA4, Encik Ariandy juga kerap menelefonnya untuk bertanya khabar dan membantu merujuknya ke e2i yang mana beliau menerima sokongan lanjut daripada seorang penasihat kerjaya.

Sejak April, Encik Naseer telah berjaya mendapat pekerjaan baru di sebuah syarikat logam berharga sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan dan kini tidak lagi perlu memohon untuk bantuan lanjut daripada MSF.

Encik Naseer berkata meskipun beliau terpaksa mengharungi tempoh selama lima bulan tanpa sebarang pekerjaan, beliau bersyukur dengan bantuan Encik Ariandy yang kerap menghubunginya dan tidak pernah lelah mendampinginya.

“Tempoh itu saya sering berasa keseorangan tetapi saya berasa lega Encik Ariandy kerap bersama saya melalui perjalanan ini, selalu bertanya khabar dan menasihati saya agar jangan berputus asa.

“Beliau juga menjemput saya pada April, sebelum saya mendapat pekerjaan baru, untuk sama-sama berbuka puasa dan saya juga diberi habuan oleh NTUC FairPrice. Saya amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan,” kata Encik Naseer.

Kini, setelah mendapat pekerjaan baru, Encik Naseer, yang telah tinggal di flat sewa HDB selama dua tahun, bertekad membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) HDB agar anak-anaknya dapat ruang lebih selesa untuk membesar.

“Saya akan terus memohon untuk mendapatkan flat BTO. Saya tidak akan putus asa. Insya-Allah, satu hari kelak, saya doa dan akan terus berusaha memiliki rumah sendiri demi keluarga saya,” kata Encik Naseer.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg