Menyumbang tenaga di gerai adiknya adalah tugasan harian Encik Mohamed Riduan Mohamed Idris di Pasar Geylang Serai.
Namun, kehadiran beliau ke Geylang Serai pada 18 Julai berbeza.
Ditemani isterinya, pembantu gerai buah-buahan itu singgah ke pameran kerja di pejabat Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, yang terletak di Wisma Geylang Serai, dengan harapan mendapat kerja sekurang-kurangnya bagi tiga bulan mendatang, apabila Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai itu tutup untuk menjalani kerja ubah suai yang besar.
Gerai tempat beliau bekerja, NN Coconut, akan tutup dan lantas beliau tidak mempunyai pekerjaan dalam tempoh tersebut.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Encik Mohamed Riduan, 42 tahun, berkata beliau bercadang mencari pekerjaan yang menyediakan jadual kerja lima hari dan gaji yang membolehkan beliau “menyara keluarga dan membayar bil rumah”.
“Selepas pandemik Covid-19, saya bekerja tanpa potongan Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Dengan penutupan Pasar Geylang Serai selama tiga bulan, kesannya pada saya amat buruk ibarat pandemik Covid-19 yang kedua kerana saya tidak mempunyai pendapatan untuk keperluan harian dan membayar bil rumah.
“Disebabkan saya tidak mempunyai potongan CPF, saya perlu membayar $700 secara tunai setiap bulan untuk bil rumah dan bil-bil lain yang secara keseluruhan mencapai $1,400,” kongsi Encik Mohamed Riduan yang telah bekerja di gerai adiknya sejak 2021 dan membawa gaji secara purata $2,000, bergantung kepada jualan.
Beliau antara kalangan pengunjung yang hadir di pameran kerja yang diadakan di pejabat CDC South East itu.
Berlangsung dari 11 pagi hingga 6 petang, pengunjung berpeluang mendapat pekerjaan daripada lebih 1,000 kerja kosong ditawarkan.
Dianjurkan oleh Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC dan Bidang Tumpuan Empat (FA4) M Kuasa Tiga (M³) dengan sokongan CDC South East, sebanyak 10 syarikat daripada pelbagai industri mempamerkan peluang pekerjaan di syarikat masing-masing.
Syarikat-syarikat tersebut terdiri daripada sektor logistik, perkhidmatan hospitaliti seperti PARKROYAL on Beach Road, perkhidmatan seperti FairPrice Group, pembersihan, dan perniagaan makanan dan minuman (F&B) seperti Crave Foods.
Di samping itu, para pengunjung juga boleh mendapat bimbingan daripada jurulatih kerjaya e2i di sana, dari segi perkhidmatan bimbingan kerjaya, untuk menyokong usaha pencari kerja dalam mendapatkan peluang pekerjaan.
Juga hadir di pameran kerja tersebut, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Beliau berkata: “Pameran kerja ini bertujuan menyediakan sokongan yang bersepadu dan holistik kepada penjaja, pembantu gerai dan pekerja yang terjejas oleh penutupan sementara pasar Geylang Serai.
“Ia berfungsi sebagai platform yang mudah untuk menghubungkan pencari kerja dengan bakal majikan, menawarkan peluang yang berharga untuk kededua pihak mencari pekerjaan dan memastikan pendapatan yang berterusan.”
Isteri Encik Mohamed Riduan, Cik Nur Nabiha Mohd Sam, 32 tahun, juga sedang mencari pekerjaan di pameran kerja tersebut dalam usaha untuk membantu suaminya menampung kos kehidupan mereka, apatah lagi dengan penutupan selama tiga bulan itu.
Jururawat staf sambilan itu berkata: “Saya berharap saya akan dapat mencari pelbagai skop pekerjaan, sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.”
Semasa di pameran kerja itu, Cik Nur Nabiha, bertemu dengan wakil kerja FairPrice Group untuk mendapatkan peluang pekerjaan sebagai juruwang dan mendapat tahu bahawa mereka akan menghubunginya kemudian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg