Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja Pasar Geylang Serai tekad cari kerja, sertai pameran kerjaya

Jul 26, 2024 | 7:12 PM
Akibat penutupan Pasar Geylang Serai selama tiga bulan, kesemua pihak terjejas dan sesetengah pembantu gerai bertungkus-lumus mencari pekerjaan.
Akibat penutupan Pasar Geylang Serai selama tiga bulan, kesemua pihak terjejas dan sesetengah pembantu gerai bertungkus-lumus mencari pekerjaan. - Foto BH oleh BATRISYIA BAHARIM

Pekerja di Pasar Geylang Serai yang bakal terjejas akibat penutupan pasar itu selama tiga bulan, kini berlumba dengan masa untuk mencari pekerjaan sementara. 

Penutupan itu mendorong beberapa pembantu gerai mencari pekerjaan menerusi pelbagai wadah, seperti di pameran kerjaya.

Ada yang meninjau pameran kerja anjuran Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC dan Bidang Tumpuan Empat (FA4) M Kuasa Tiga (M³) dengan sokongan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East pada 18 Julai, iaitu inisiatif pihak berkuasa untuk memberi sokongan kepada pekerja yang terjejas.

Antara pembantu gerai yang hadir di pameran tersebut ialah Encik Mohamed Riduan Mohamed Idris, 42 tahun, yang bercadang mencari pekerjaan berjadual kerja lima hari dan bergaji yang mencukupi, agar beliau boleh “menyara keluarga dan membayar bil rumah”.

“Selepas pandemik Covid-19, saya bekerja tanpa potongan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

“Dengan penutupan Pasar Geylang Serai selama tiga bulan, kesannya pada saya amat buruk, ibarat pandemik Covid-19 yang kedua kerana saya tidak mempunyai pendapatan untuk keperluan harian dan membayar bil rumah,” kongsi Encik Riduan, yang bekerja di gerai adiknya, NN Coconut, sejak 2021 dan membawa balik gaji sekitar $2,000 sebulan, bergantung pada jualan.

Menurutnya, pelbagai usaha sedang diikhtiarkan.

Antara lain, beliau merancang melakukan kerja penghantaran menjelang 29 Julai sementara menunggu hasil permohonan pekerjaan sepenuh masa. 

Encik Riduan telah memohon kerja di syarikat minyak dan gas pesisir pantai sebagai penjaga stor merangkap juruteknik, dan satu lagi sebagai juruteknik basikal di Decathlon.

Berkongsi sentimen serupa, pembantu gerai di Cendol Geylang Serai, Cik Mariam Hasar, 54 tahun, dilanda “perasaan bercampur baur, ketidakpastian tentang masa hadapannya dan berasa agak sedih akibat kehilangan pendapatan”.

“Kalau nak cari kerja baru mungkin makan masa lama, bukan serta-merta.

“Kalau tak bekerja, kami tak ada gaji kerana kami dibayar mengikut hari. Kalau kerja, barulah ada gaji,” jelas beliau, yang sudah bekerja di pasar itu selama 20 tahun, daripada sepenuh masa dan beralih kepada separuh masa selepas Covid-19.

“Keperluan bulanan saya dalam anggaran $1,000 hingga $2,000. Duit simpanan memang ada tetapi kalau sentiasa digunakan memang akan habis juga.”

Buat masa ini, Cik Mariam, yang berhasrat mencari kerja sambilan atau kembali ke tempat kerja lama beliau di Beach Road, dalam sektor makanan dan minuman juga, tidak mampu memberi kata putus sama ada beliau akan meneruskan bekerja di gerai cendol atau tidak selepas pembukaan semula nanti.

Terdapat juga pembantu gerai yang meluahkan hasrat meneruskan perniagaan, tetapi dengan cara yang berbeza.

Antaranya ialah Encik Muhammad Fazrullah, 39 tahun, yang membantu menjual ayam di gerai sepupunya, Zamal & Family, selama 10 tahun. Bapa empat anak itu berkata:

“Kami akan menyewa gerai di Pasar Eunos agar dapat terus menjual ayam, tetapi hanya dari Isnin hingga Jumaat pada waktu malam sahaja (11 malam hingga 5.30 pagi) kerana pemilik gerai akan mengendalikan perniagaan pada waktu siang.”

Di samping itu, beliau akan bekerjasama dengan Encik Mohamed Fahmi Abdullah, pemilik laman geylangserai.shop, sebagai pembekal ayam. 

Mengulas situasi yang dihadapi, Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, berkata pemerintah mengenal pasti potensi kesan penutupan sementara pasar itu terhadap pendapatan golongan pekerja.

Lantaran itu, usaha pihak CDC South East dengan rakan kerjasama lain, adalah untuk memberikan sokongan yang menyeluruh kepada mereka yang terjejas.

“Inisiatif ini bukan sahaja menghubungkan pencari kerja dengan bakal majikan, bahkan menekankan komitmen kami memudahkan penempatan pekerjaan dan mengekalkan peluang pekerjaan untuk komuniti kami.

“Melalui usaha kolektif dengan rakan kongsi kami, kami tetap komited menyediakan pilihan dalam membantu pekerja yang terjejas dan membantu mereka mengharungi cabaran yang ditimbulkan oleh penutupan sementara pasar,” kata beliau semasa dihubungi.

“Inisiatif ini bukan sahaja menghubungkan pencari kerja dengan bakal majikan, bahkan menekankan komitmen kami memudahkan penempatan pekerjaan dan mengekalkan peluang pekerjaan untuk komuniti kami.  Melalui usaha kolektif dengan rakan kongsi kami, kami tetap komited menyediakan pilihan dalam membantu pekerja yang terjejas dan membantu mereka mengharungi cabaran yang ditimbulkan oleh penutupan sementara pasar.”
Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg