Bagi bekas pesalah dadah Encik Muhammad Ridhuan Abdul Gaffor, perjalanan menebus kesalahannya yang lalu bukanlah mudah.
Setelah dimasukkan penjara sebanyak tiga kali sejak 2018, lelaki berusia 41 tahun itu menghadapi kenyataan sukar – kehilangan kebebasan dan kepercayaan.
Menurut Encik Ridhuan, kedua-dua anaknya, yang kini berusia 16 dan 18 tahun, tidak mengetahui beliau pernah dipenjarakan pada kali pertama dan kedua.
“Pada kali pertama dan kedua, anak saya tidak tahu. Bekas isteri saya memberitahu mereka saya bekerja di luar negara,” kongsinya.
Namun, pada kali ketiga beliau dipenjarakan pada 2021, segalanya berubah. Sepucuk surat daripada anak perempuannya yang melahirkan rasa kecewanya menimbulkan kesedaran kepada Encik Ridhuan. Pada masa itu anak-anaknya sudah cukup besar untuk memahami perkara tersebut.
“Apabila saya menerima surat itu daripada anak perempuan saya, saya sedar saya perlu berubah,” ujar beliau.
Berazam mahu membina semula kehidupannya, Encik Ridhuan mencurahkan sepenuh usaha dalam program pemulihan, menggunakan masa di penjara untuk menetapkan matlamat peribadi dan mempersiapkan diri bagi kehidupan selepas dibebaskan.
Semasa di penjara, beliau mula merancang mengintegrasi dirinya semula dengan membuat keputusan untuk kembali ke dunia pekerjaan.
“Sebelum saya dipenjarakan, saya pernah bekerja dengan seorang rakan. Jadi, semasa saya di dalam penjara, saya menulis surat kepadanya kerana pilihan kerja sangat terhad.
“Saya ingin melakukan kerja yang lebih baik, dan dia cadangkan saya untuk menyertai (syarikat) 800 Super Waste Management,” kongsi Encik Ridhuan.
Setelah dibebaskan pada lewat 2022, beliau menyertai kursus keselamatan bekerja di tempat tinggi, akses bumbung dan pengendalian lif sebelum menyertai syarikat tersebut pada Januari 2023 sebagai pekerja am pakar pembersihan muka bangunan.
Setahun kemudian, usaha gigihnya membuahkan hasil apabila beliau dinaikkan pangkat kepada Penyelia Pakar Pembersihan Muka Bangunan pada Januari 2024. Ini setelah beliau mengikuti kursus Pengurusan Kerja di Tempat Tinggi.
“Memiliki tanggungjawab dan memimpin sebuah pasukan sentiasa mengisi fikiran saya dengan perkara-perkara yang positif.
“Saya tidak mempunyai masa untuk fikirkan tentang dadah atau kehidupan lalu kerana saya fokus pada pekerjaan,” katanya yang kini mempunyai empat pekerja di bawah bimbingannya.
Bagi penyelianya, Encik Muhammad Sharizam Hairulnizam, Pengurus Operasi di 800 Super Waste Management, beliau percaya akan potensi yang dimiliki bekas banduan.
Ini kerana syarikat tersebut bekerjasama rapat dengan Reben Kuning Singapura (YRSG) untuk menyediakan peluang pekerjaan bermakna buat individu seperti Encik Ridhuan.
Menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), syarikat tersebut adalah antara 6,712 majikan yang menyokong pengambilan bekas banduan pada 2024.
“Kami percaya setiap orang wajar diberi peluang kedua. Pekerjaan adalah langkah utama dalam keseluruhan proses itu.
“Syarikat kami tidak membezakan bekas banduan daripada pekerja lain... sebaliknya mahu menyediakan persekitaran yang stabil dan peluang bagi mereka membuktikan diri,” kata Encik Muhammad Sharizam.
Menurutnya lagi, menggajikan bekas banduan lebih daripada sekadar keputusan perniagaan, malah ia adalah kepercayaan dalam memberi peluang kedua.
“Jika bukan kita, siapa lagi?” tambahnya. – Syed Muhammad Firdaus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg