Bilangan banduan Pusat Pemulihan Dadah (DRC) yang melakukan jenayah semula dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan telah meningkat daripada 27.7 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2021 kepada 30.8 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2022.
Dalam satu sidang media yang diadakan di Kompleks Selarang Park pada 11 Februari 2025, Pengarah Divisyen Pemulihan dan Integrasi Semula Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Penolong Pesuruhjaya (AC) Karen Lee, berkongsi bagaimana faktor seperti kekurangan modal sosial dan ekonomi telah menyumbang kepada kenaikan itu.
Beliau menjelaskan bagi kebanyakan pesalah dadah, mendapatkan pekerjaan stabil, mencapai kestabilan kewangan serta membina semula hubungan sosial adalah cabaran besar.
Mengenai isu penyalahgunaan dadah, AC Lee menyatakan ia adalah isu kompleks dan memerlukan usaha bersama daripada pelbagai pihak untuk menyokong perjalanan integrasi semula bekas banduan.
“Penyalahgunaan dadah adalah isu kompleks yang melibatkan banyak pihak yang perlu saling membantu dalam perjalanan integrasi semula mereka.
“Contohnya, pencegahan adalah perkara utama. Di SPS, kami memberi tumpuan kepada rawatan dan pemulihan. Apa yang kami dapati adalah pembinaan modal ekonomi, sosial dan masyarakat adalah penting untuk memastikan pesalah dadah tidak kembali kepada penyalahgunaan dadah,” kongsinya.
Sementara itu, kadar residivisme atau pengulangan jenayah dalam tempoh dua tahun bagi pesalah secara keseluruhannya turun daripada 22 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2021 kepada 21.3 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2022.
Dalam usaha menurunkan kadar pengulangan jenayah, SPS telah melancarkan beberapa inisiatif antaranya Hab Integrasi Semula yang dilancarkan pada September 2024.
Menurut satu kenyataan media SPS pada 11 Februari, hab tersebut bertujuan memusatkan sistem prapenempatan bagi banduan yang sesuai, termasuk pesalah dadah yang akan ditempatkan dalam Program Berasaskan Masyarakat (CBP) dengan kerjasama pertubuhan sukarelawan, rakan masyarakat dan penyedia perkhidmatan.
Banduan yang berada dalam Hab Integrasi Semula itu akan berada di Institusi S2 Kompleks Selarang Park selama lapan minggu sebelum mereka berpindah ke program pemulihan masyarakat yang antaranya termasuk CBP.
Ini di samping program pemulihan berasaskan psikologi untuk membantu pesalah mengubah minda dan pandangan mereka berkaitan dadah.
Meskipun masih di peringkat awal, AC Lee berkongsi bahawa hab tersebut merupakan satu cara pendekatan through-care yang mana langkah pemulihan bermula pada saat pesalah memasuki penjara.
“Apa yang kami lakukan melalui Hab Integrasi Semula ini adalah untuk membantu mereka memperoleh kemahiran penting seperti kemahiran digital dan menyediakan sokongan melalui rangkaian masyarakat yang telah mereka bangunkan lebih awal, sebelum mereka dibebaskan.
“Apabila mereka dibebaskan, mereka tahu bahawa sekiranya mereka berada dalam masyarakat, mereka boleh mencari rakan kongsi masyarakat tertentu yang telah mereka hubungkan di Hab Integrasi Semula.”
Sementara itu, bagi Penolong Pengarah Kanan, Pembaikan Diri Masyarakat, SPS Superintenden 1A Encik Mohamed Nizaar, usaha bersama dalam membawa perubahan positif kepada golongan banduan bukan hanya melalui program di dalam penjara, tetapi juga dalam masyarakat setelah mereka dibebaskan.
“Tempat terbaik buat mereka mengalami proses pemulihan adalah untuk meletakkan mereka dalam sekitaran sebenar dalam masyarakat kerana itulah masanya mereka mengalami isu seperti cabaran kehidupan dan hubungan.
“Oleh itu, apabila banduan akhirnya kembali kepada masyarakat, itulah saat yang mana masyarakat juga harus membantu dalam perjalanan mereka dalam proses pemulihan dan integrasi semula,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg