Topik diikuti
Pergi ke BHkuDaripada dibimbing jadi pembimbing belia masjid
Daripada dibimbing jadi pembimbing belia masjid
Bagi Encik Muhammad Nasrullah Tajudeen, 27 tahun, masjid bukan tempat beribadah saja, bahkan sebuah institusi penting dalam membentuk generasi muda berilmu, berkemahiran dan bersedia memikul tanggungjawab bagi masyarakat.
Sebagai ahli Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Alkaff Kampung Melayu yang menerajui kumpulan fokus belia sejak kira-kira satu setengah tahun lalu, beliau membawa aspirasi melihat lebih ramai anak muda bukan solat di masjid saja, malah tampil menjadi pemimpin rumah Allah dan menyumbang kepada masyarakat.
Pegawai eksekutif di Yayasan Mendaki itu percaya anak muda perlu diberi ruang dan peluang mengembangkan potensi diri.
Minatnya dalam pembangunan belia bermula daripada pengalaman sendiri ketika remaja, apabila beliau mendapat bimbingan mentor lebih berpengalaman.
“Saya sendiri pernah berada di tempat mereka. Semasa remaja, saya dibimbing mentor lebih cemerlang dan dewasa. Bimbingan itu memupuk dan membentuk diri saya untuk berkhidmat kembali,” katanya, yang menyertai LPM itu sejak akhir 2024.
Bagi beliau, pelibatannya dalam LPM itu ialah peluang meneruskan usahanya membangunkan belia daripada individu yang menerima bimbingan kepada pemimpin muda yang membimbing generasi seterusnya.
Di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Nasrullah melihat pentingnya memberikan kepercayaan kepada golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam perbincangan, perancangan program dan pelaksanaan inisiatif masjid.
Baginya, kepimpinan tidak boleh dipelajari melalui pemerhatian semata-mata.
“Belia harus diberi kepercayaan dan peluang melibatkan diri dalam usaha lebih besar bagi membentuk mereka sebagai pemimpin muda,” ujarnya.
Beliau juga berharap lebih banyak peluang kesukarelawanan diwujudkan dengan mengambil kira bakat dan kemahiran belia, termasuk dalam bidang media digital, reka bentuk dan teknologi.
Encik Nasrullah mahu golongan muda diberi peranan lebih segar dan bermakna agar dapat menyumbang mengikut minat dan kebolehan mereka.
Pandangannya disokong Pegawai Pembangunan Belia (YDO) Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum.
Ustaz Ammar berkata usaha mendekati belia perlu bermula dengan membina hubungan dan menyediakan ruang selamat agar mereka berasa selesa datang ke masjid, bertanya soalan agama dan mendapatkan bimbingan tanpa takut dihakimi.
“Kejayaan sesebuah program bukan diukur melalui jumlah peserta, tetapi sejauh mana program tersebut mampu memberi impak bermakna dan meninggalkan pengajaran berkekalan,” ujarnya.
Matlamat akhir Encik Nasrullah ialah melihat Masjid Alkaff Kampung Melayu bukan dikunjungi belia saja, malah dipimpin mereka.
Beliau berharap generasi muda memahami bahawa kepimpinan bermula daripada diri sendiri, dan bukan demi pangkat atau gelaran.
Dengan memberi bimbingan, kepercayaan dan peluang, masjid dapat menjadi medan atau platform yang melahirkan pemimpin muda yang mengimarah masjid dan membimbing generasi muda.
SEKILAS
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
- Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 atau kunjungi masjid itu di 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221. E-mel kepada inbox@alkaffkm.mosque.sg bagi menjadi sukarelawan masjid.
- Pemindahan bank: OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan dan e-mel bukti transaksi ke finance@alkaffkm.mosque.sg.
- PayNow: UEN S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan.
- Kunjungi pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang, atau pada Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.
- Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok (@alkaffkm), Facebook (Masjid Alkaff Kampung Melayu) dan Instagram (@alkaffkgmelayumosque).