Selepas ditutup sejak Mei 2023 untuk projek naik taraf menyeluruh, Masjid Darul Makmur kini bersedia membuka semula pintunya kepada jemaah tidak lama lagi. Dengan fasa akhir kerja peningkatan sedang giat diselesaikan, detik pembukaan semula masjid di Yishun ini amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam.
Bagi Ketua Unit Pembelajaran Islam Dakwah di Masjid Darul Makmur, Ustazah Suhanah Ahmad, saat ini bukan sekadar penantian biasa, sebaliknya ia penuh bermakna dan emosi yang sukar digambarkan.
“Teruja, ghairah, tak sabar, seolah-olah tak percaya. Alhamdulillah, setelah 37 tahun berkhidmat, saya diberi peluang menyaksikan wajah baru masjid ini,” ujar beliau sambil tersenyum penuh kesyukuran.
Ustazah Suhanah mula berkhidmat di Masjid Darul Makmur pada hujung 1980-an, tidak lama selepas ia dibuka untuk memenuhi keperluan penduduk di Yishun, yang ketika itu kebanyakannya terdiri daripada warga emas.
“Mereka benar-benar menantikan kehadiran masjid ini. Dari solat berjemaah dan sambutan Maulidur Rasul hinggalah kepada kelas-kelas agama, semuanya diraikan dengan semangat tinggi,” ujar beliau.
Masjid Darul Makmur ketika itu memainkan peranan besar dalam pendidikan masyarakat tempatan, walaupun dengan hanya lapan bilik darjah madrasah dan dua bilik tadika.
“Ibu bapa berlumba-lumba mendaftarkan anak mereka ke madrasah separuh masa kami. Masjid ini benar-benar menjadi pusat pembelajaran dan pengukuhan nilai agama dalam keluarga,” tambah Ustazah Suhanah.
Sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat, beliau menyaksikan sembilan pertukaran pengerusi masjid. Bagi beliau, setiap seorang daripada mereka membawa kecemerlangan dan pendekatan kepimpinan tersendiri.
Mengulas mengenai perubahan landskap masyarakat masjid itu sepanjang masa tersebut, Ustazah Suhanah mengatakan memang terdapat perbezaan ketara.
“Dulu, semangat gotong-royong sangat tinggi. Jemaah menjadi penyambung maklumat masjid kepada jiran tetangga. Suasana sangat serumpun,” katanya.
Perubahan demografi membawa pendekatan baru, tetapi ia tetap positif, kata beliau. Kini, estet Yishun dihuni banyak pasangan muda dan keluarga yang menetap di flat Bina Ikut Tempahan (BTO).
“Golongan muda semakin peka akan fungsi masjid. Mereka hadir untuk solat Jumaat, Hari Raya dan juga program kekeluargaan. Ini perkembangan yang sangat menggembirakan,” ujar Ustazah Suhanah.
Dengan pengalaman menerajui Unit Dakwah serta Jabatan Pembangunan Sosial sebelum kembali ke Unit Dakwah, Ustazah Suhanah berkata cabaran utama ialah menarik jemaah ke program hujung minggu masjid.
“Respon awal memang memberangsangkan, tetapi kehadiran fizikal sering tidak sepadan. Justeru, kami perlu terus berinovasi dan kekal relevan,” katanya.
Tetapi pada masa sama, beliau melahirkan rasa bangga mengenai peningkatan penyertaan wanita dalam kepimpinan masjid.
“Dulu, kaum Muslimah hanya aktif di belakang tabir. Kini, mereka turut menyumbang pada peringkat strategik, termasuk dalam Lembaga Pentadbir Masjid (LPM). Di Masjid Darul Makmur, terdapat tiga Muslimah dalam LPM. Ini satu perkembangan yang sangat membanggakan.”
Projek naik taraf masjid itu bukan dari aspek fizikal sahaja, malah membawa nafas baru yang menjadikannya lebih inklusif dan mesra semua lapisan masyarakat.
Antara pembaharuan paling signifikan ialah pemasangan lif bagi kemudahan warga emas dan bilik darjah moden lengkap dengan teknologi pembelajaran terkini.
Ustazah Suhanah berkata: “Logo masjid juga mengalami transformasi, daripada warna hijau ke warna emas, melambangkan kemajuan dan keagungan. Tapi yang paling kami teruja ialah ruang ‘lepak corner’ khas untuk belia. Kami mahu mereka berasa selesa dan belong (diterima) di masjid ini.”
Memandang ke hadapan, impian Ustazah Suhanah adalah menjadikan Masjid Darul Makmur sebagai pusat masyarakat yang menyeluruh.
“Masjid seharusnya menjadi institusi holistik. Bukan hanya untuk ibadah, tetapi juga untuk pendidikan, kebajikan, serta penyelesaian isu-isu sosial. Tempat untuk menimba ilmu, memperkukuh institusi keluarga dan menyebar pencerahan kepada masyarakat,” kata beliau.
Pesanan Ustazah Suhanah buat generasi muda begitu menyentuh dan sarat makna:
“Tiada kejayaan tanpa usaha. Masjid ini perlukan anda. Sertai kami dan hidupkan masjid dengan tenaga, idea dan semangat anda.”
Sumbangan derma untuk Wakaf Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui cara berikut:
* PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf)
* Pindahan bank ke akaun: OCBC Semasa 581-652138001 (Rujukan: Wakaf)
* Melalui cek atas nama: ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos kepada: 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
* Datang ke kaunter sementara masjid di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane 757620 (pada waktu pejabat).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg