Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Relawan masjid galas peranan teras dalam pengukuhan masyarakat

Masjid Darul Makmur galak tiga generasi sukarelawan, satu semangat keikhlasan
Apr 27, 2025 | 5:30 AM
Saridah Sapiei, Mohamed Yunos Rahmat, Mohamad Zaki Noor Kamal, MASJID DARUL MAKMUR
Tabur bakti dengan ikhlas bersama Masjid Darul Makmur, (dari kiri) Cik Saridah Sapiei, Encik Mohamed Yunos Rahmat serta Encik Mohamad Zaki Noor Kamal. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Masjid Darul Makmur bukan sekadar sebuah rumah ibadah. Ia adalah nadi masyarakat, menjadi saksi perjuangan, pengorbanan, dan kasih sayang sukarelawan yang setia berkhidmat demi agama dan masyarakat. Kisah tiga sukarelawan daripada generasi berbeza – Cik Saridah Sapiei, Encik Mohamad Zaki Noor Kamal, dan Encik Mohamed Yunos Rahmat – menyerlahkan erti sebenar khidmat yang ikhlas dan berterusan.

Bagi Cik Saridah, 65 tahun, keterikatan dengan Masjid Darul Makmur bermula sejak usia kanak-kanak lagi. Kedua-dua ibu bapanya giat di masjid tersebut – ayahnya pernah menjadi kerani masjid, manakala ibunya membantu dalam pengurusan dana Ramadan.

“Masjid Darul Makmur ini sudah sebati dalam hidup kami. Saya masih ingat bagaimana saya membawa anak-anak lihat kambing korban diturunkan dari lori. Ia menjadi kenangan keluarga yang sangat bermakna,” kata Cik Saridah.

Bagi Encik Zaki, 39 tahun pula, hubungan dengan masjid bermula sejak zaman remajanya. Beliau bergotong-royong membentang tikar dan menyertai program korban dan Ramadan bersama rakan-rakan yang lain.

“Kenangan itu tidak pernah pudar. Asatizah dan pengurusan masjid banyak membimbing kami dengan penuh kesabaran dan kasih sayang,” jelasnya.

Bagi Encik Yunos, atau lebih mesra disapa Wak Yun, beliau mula berkhidmat semasa pandemik Covid-19, saat umat Islam menghadapi kesukaran menunaikan solat Jumaat.

“Saya bertanya kepada sahabat saya, Zack (tentang kesukaran untuk solat Jumaat pada waktu pandemik), dan beliau jelaskan tentang kelebihan menjadi relawan masjid, dan dari situ saya terus mendaftar sebagai sukarelawan. Di situlah bermulanya penglibatan saya bersama masjid ini,” ujar Encik Yunos.

Tanggungjawab tanpa sempadan

Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, ketiga-tiga relawan masjid ini kini memainkan peranan penting – daripada mengurus jemaah solat Jumaat, menyertai program di ekspo bagi pengumpulan dana, hingga menjadi wajah dan suara masjid dalam pelbagai acara kemasyarakatan.

Encik Zaki melihat pentingnya merapatkan jurang antara generasi muda dengan masjid. Beliau berkata:

“Kita tidak boleh bergantung pada ceramah semata-mata. Program santai seperti sukan dan perkhemahan juga penting untuk membina silaturahim.”

Cik Saridah pula giat menyertai majlis taklim dan menggalakkan lebih ramai menyertai kelas-kelas agama.

“Saya ingin melihat masjid ini terus diimarahkan oleh semua peringkat usia. Pernah diberi amanah sebagai Duta Masjid, dan ini adalah detik yang amat membanggakan bagi saya,” kata Cik Saridah.

Bagi Encik Yunos, tugasnya mungkin kelihatan kecil, namun impaknya besar, jelasnya:

“Saya bantu pak cik naik tangga, urus jualan di ekspo, semua ini saya lakukan dengan penuh keikhlasan. Ini bukan soal nama, ini soal ibadah.”

Harapan masa depan: Membangun bersama belia

Ketiga-tiga mereka bersepakat dan yakin bahawa kesinambungan masjid terletak pada belia. Encik Zaki menekankan perlunya pendekatan yang selari dengan cita rasa generasi muda.

“Dulu kami bawa belia ke masjid dengan kegiatan kreatif. Ramai yang kini menjadi sukarelawan tetap. Kita perlu beri ruang kepada belia untuk meneroka, asalkan seiring dengan misi masjid.”

Cik Saridah berharap masjid akan terus mesra warga emas sambil memperkasakan golongan muda dengan pendekatan yang diminati, membina dan inklusif.

Encik Yunos pula mengimpikan keterbukaan lebih besar daripada masyarakat. Beliau berkata:

“Jangan hanya satu kaki di masjid. Biar dua-dua kaki. Terima semuanya dengan tangan terbuka dan dengan hikmah.”

Makna sukarelawan: Dari hati, demi ummah

Apabila ditanya erti menjadi sukarelawan, ketiga-tiganya menyebut nilai-nilai murni seperti keikhlasan, kesabaran dan ukhuwah. Bagi Cik Saridah, ia membuka pintu kepada jaringan sosial yang lebih luas. “Kalau tidak jadi sukarelawan, saya hanya hidup dalam kepompong sendiri,” katanya.

Bagi Encik Zaki, melihat belia dibimbing dan berkembang merupakan ganjaran paling besar.

Bagi Encik Yunos pula:

“Apa yang kita buat ini daripada hati. Jangan biarkan titik hitam merosakkan niat. Segala khidmat ini adalah ibadah.”

Masjid Darul Makmur berdiri megah bukan semata-mata kerana binaannya, bahkan atas semangat, peluh dan doa sukarelawan yang menghidupkannya.

“Kisah Cik Saridah, Encik Zaki dan Wak Yun adalah bukti bahawa masjid adalah tapak atau platform untuk menyemai harapan, menyulam kenangan dan membina generasi yang lebih cemerlang.

“Masjid Darul Makmur kini dalam usaha mengumpulkan dana bagi projek peningkatan kemudahannya. Justeru, kami menyeru masyarakat agar menyumbang sama ada tenaga, masa ataupun dana. Setiap sumbangan, walaupun kecil, menyumbang kepada impak yang besar dan berpanjangan,” tambah Encik Mohd Fairus.

Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui cara berikut:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: WakafMUP).

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: WakafMUP).

3. Cek ke atas nama: MASJID DARUL MAKMUR dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg