Bekas pemain bola sepak nasional, Allahyarham Haslir Ibrahim, 73 tahun, yang meninggal dunia pada 7 Jun akibat radang paru-paru, dikenang ahli keluarga dan sahabat handai sebagai seorang yang handal dan tidak berputus asa.
Malah, dedikasi beliau yang lebih dikenali sebagai Hasli Ibrahim, untuk memberikan yang terbaik bukan sahaja dapat dilihat semasa beraksi dalam perlawanan, malah juga di luar padang.
Anak sulung Allahyarham Haslir, Cik Norashikin Haslir, 46 tahun, menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang setia kepada rakan-rakannya.
“Saya lihat dia sebagai seorang yang setia kepada kawan-kawannya. Saya anak sulung, jadi saya boleh nampak, saya tahu kawan-kawan Abah dari dulu sampai sekarang.
“Kalau Abah tak sakit, Abah memang sering jumpa kawan-kawannya untuk sama-sama minum kopi. Tapi bila dia sakit, sudah tidak lagi tapi kawan-kawan dia masih ingat dia,” kata Cik Norashikin.
Beliau menambah ayahnya dikenali sebagai seorang yang tidak berputus asa dalam semua perlawanan bola sepaknya, dan sikap itu dapat dilihat juga di rumah dan juga di saat-saat akhir kehidupannya.
“Beliau seorang yang tak tahu bagaimana nak putus asa. Tidak kira dari apa-apa segi pun, beliau tak pernah berputus asa. Mereka yang kenalnya sejak zaman bola sepak 1970-an tahu beliau akan bertarung sehingga saat terakhir.
“Sehingga kini, saat-saat akhir hayatnya, beliau masih tetap bertarung dan dikelilingi oleh semua ahli keluarga, isterinya, anak-anaknya dan cucu-cucunya. Beliau dikelilingi oleh orang-orang yang menyayanginya,” ujar Cik Norashikin.
Menurut Cik Norashikin, Allahyarham telah menghidap penyakit tersebut sejak sekitar dua tahun lalu.
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 12.30 pagi di rumahnya dan meninggalkan seorang balu, enam anak dan 16 cucu.
Apabila Berita Harian (BH) tiba di rumahnya di Blok 451, Tampines Street 42, sekitar 11.30 pagi, kelihatan ramai ahli keluarga dan sahabat handai yang hadir dan menanti untuk memberikan penghormatan terakhir.
Antara yang tiba termasuk bekas kapten bola sepak negara, Samad Allapitchay, 74 tahun; bekas pemain sayap kiri, Ahmad Sayuti Ali, 68 tahun; dan Quah Kim Song, 72 tahun.
Kim Song, bekas kapten dan penyerang, berkata ramai pemain bola, termasuk dirinya, tidak berani menentangnya di padang.
“Beliau pemain bek yang lasak. Beliau dikenali kerana sikap itu dan beliau sentiasa memberikan yang terbaik. Beliau akan memberikan 150 peratus untuk pasukan dan negara.
“Penyerang bola sepak takut kepadanya. Saya juga, walaupun saya laju, saya tidak berani menggelecek melepasinya kerana beliau akan menjatuhkan anda,” kata Kim Song.
“Jadi itulah sikap Haslir, yang terkenal dan beliau sentiasa konsisten, pemain pertahanan yang baik, pemain yang boleh dipercayai yang anda sentiasa boleh harapkan untuk menghalang sebarang serangan pihak lawan.”
Menurut Ahmad Sayuti, Allahyarham Haslir tetap berjumpa dengan rakan-rakannya meskipun telah lama bersara.
“Allahyarham dikenali sebagai pemain lasak sampai digelar ‘Kereta Kebal’ kerana terkaman beliau yang amat dahsyat.
“Orangnya pendiam tapi beliau tak nak kalah... tetapi di luar padang pula, orangnya sangat rendah hati dan tak sombong,” ujar Ahmad Sayuti.
Samad menambah, Allahyarham seorang yang peramah dan berdisiplin.
Berkongsi dengan BH detik manisnya bersama Allahyarham Haslir, beliau berkata, ia adalah ketika perlawanan Singapura bersama Selangor pada 1978.
“Kenangan manis waktu itu kita berlawan semasa perlawanan akhir dengan Selangor. Beliau berada di bahagian kiri belakang (left fullback) tapi beliau boleh naik sampai menjaringkan gol dengan Selangor.
“Meskipun kita kalah dalam perlawanan itu, semua orang gembira apabila Haslir jaringkan gol itu. Kerana beliau dari left fullback, sepatutnya pertahankan sebagai pemain pertahanan, tapi bila beliau jaringkan gol itu, semua orang sorak!” imbas Samad.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg