Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dijel cuba rempuh pokok dengan bas, pukul ibu dan pemandu

Feb 26, 2025 | 7:01 PM
Pada 26 Februari, Cheng Yuan Kang, 24 tahun, dijatuhi hukuman penjara 14 minggu dan 10 hari selepas mengaku bersalah terhadap beberapa tuduhan.
Pada 26 Februari, Cheng Yuan Kang, 24 tahun, dijatuhi hukuman penjara 14 minggu dan 10 hari selepas mengaku bersalah terhadap beberapa tuduhan. - Foto PIXABAY

Selepas cuba memberhentikan sebuah bas di ekspreswe dengan menumbuk pemandunya, seorang penumpang lelaki memegang stereng kenderaan itu dengan niat merempuhnya ke sebatang pokok.

Dia juga menumbuk ibunya dua kali di muka dan kaki sebelum memecahkan cermin bas itu menggunakan tukul kecemasan di kenderaan tersebut.

Lelaki itu, Cheng Yuan Kang, 24 tahun, berang selepas seorang kenalannya menelefon untuk menukar tempat pertemuan mereka, lapor The Straits Times.

Pada 26 Februari, Cheng dihukum penjara 14 minggu dan 10 hari selepas dia mengaku bersalah terhadap satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja; satu tuduhan melakukan perbuatan cuai; dan satu tuduhan ugutan jenayah. 

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Melissa Heng berkata Cheng dan ibunya menaiki bas 969 arah ke Tampines pada 6 Januari bagi menyaksikan satu pameran kereta.

Di dalam bas, Cheng menerima panggilan kenalan bernama Kathy, yang memberitahunya beliau akan menemuinya di gerai, bukan di pintu masuk pameran.

Cheng naik marah selepas mendengar perubahan pada rancangan sebelumnya dan pergi ke depan bas, menumbuk pemandunya tiga kali dan meminta untuk turun. 

Pemandu tersebut berkata beliau tidak boleh berhenti di ekspreswe dan akan berhenti di hentian bas seterusnya.

Cheng kemudian merampas stereng bas dan cuba mengarahkan bas itu ke sebatang pokok. Pemandunya berjaya menolak Cheng, menyebabkan bas bergoyang.

Selepas itu, Cheng pergi ke belakang bas dan memecahkan tingkap dengan tukul kecemasan.

Dia turut mengancam penumpang lain agar jangan menghubungi polis.

Dia lalu menumbuk dan menendang kaki ibunya sebelum mengancam membunuh pemandu bas tersebut. 

Pemandu bas berjaya berhenti di hentian seterusnya, mengarahkan penumpang supaya turun, dan melaporkan kejadian.

Mahkamah diberitahu Cheng ada masalah mengawal emosi dan kini menerima rawatan di Institut Kesihatan Mental (IMH). Namun, doktornya menyatakan Cheng sedar akan tindakannya. 

Hakim Daerah Carol Ling berkata risiko Cheng mengulangi perbuatannya tinggi dan hukumannya bersifat mencegah bagi melindungi orang ramai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg