Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dijel ekoran kesalahan trafik ketika bebas dengan ikat jamin kes vape

Aug 25, 2025 | 7:16 PM
Elvin Suriaganandhan, Penguasa Sains Kesihatan, vape
Elvin Suriaganandhan, 23 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan 10 hari, serta digantung daripada memegang atau mendapatkan semua jenis lesen memandu selama setahun selepas tarikh pembebasannya. - Foto ST

Seorang lelaki yang dibebaskan dengan ikat jamin berhubung rancangan mencuri barangan berkaitan vape yang disita oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA), sekali lagi berdepan masalah undang-undang apabila kereta yang dipandunya melanggar pengadang jalan raya.

Lelaki itu tidak memaklumkan pihak berkuasa, sebaliknya pulang ke rumah dan meninggalkan kereta di tempat kejadian kerana panik.

Elvin Suriaganandhan, 23 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu dan 10 hari pada 25 Ogos, serta digantung daripada memegang atau mendapatkan semua jenis lesen memandu selama setahun selepas tarikh pembebasannya.

Elvin mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan, termasuk memandu kereta dengan tidak cermat dan melakukan tindakan yang boleh menghalang proses keadilan berhubung kes berkaitan vape.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Xavier Tan, memberitahu mahkamah sebelum 25 Mac 2024, seorang lelaki warga Malaysia, Chua Wee Ming, 34 tahun, telah mengimport barangan berkaitan vape ke Singapura, yang kemudian disita oleh HSA.

HSA menyimpan barangan yang disita di gudang kerana ia boleh dijadikan bukti dalam kes tersebut.

Maklumat mengenai lokasi gudang itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah, lapor The Straits Times (ST).

Unit itu mengandungi lebih 540,000 barangan berkaitan vape dengan nilai melebihi $6.5 juta, ujar DPP Tan.

Chua menghubungi Lim Zhi Wei, 40 tahun, pada 25 Mac 2024, dan memintanya agar mencuri barangan yang disita itu dengan upah $20,000.

Lim kemudian menghubungi rakannya, Elvin, dan kedua-dua warga Singapura itu meninjau gudang tersebut pada petang 26 Mac 2024, namun ditangkap oleh pegawai HSA.

Lim dan Elvin telah didakwa di mahkamah pada 28 Mac 2024.

Lim, dijatuhi hukuman penjara dua tahun, sebulan dan enam minggu serta denda $2,400 pada Julai, manakala kes Chua masih belum selesai.

Tidak lama selepas dibebaskan dengan ikat jamin, Elvin memandu sebuah kereta di Tampines dengan “agak laju” sekitar 6 pagi pada 9 April 2024, sebelum hilang kawalan kenderaannya.

Kereta itu tergelincir di arah bertentangan, memotong tiga lorong dan melanggar pengadang di Tampines Avenue 10.

“Selepas pelanggaran, tertuduh panik dan terus pulang ke rumah, meninggalkan kereta dan tempat kejadian,” kata DPP Tan.

Ketika memohon agar hukuman anak guamnya dikurangkan, peguam bela, Encik Nidesh Muralidharan, memberitahu mahkamah bahawa sebelum kemalangan berlaku, Elvin memandu mengikut had laju yang ditetapkan dan tersilap menilai keupayaannya mengawal kereta.

Sementara itu, orang ramai boleh melaporkan kesalahan berkaitan vape kepada Cawangan Peraturan Tembakau di 6684-2036 atau 6684-2037, yang dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau membuat laporan secara dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg