Hakim Mahkamah Daerah pada 25 Ogos menangguhkan hukuman ke atas seorang penjual vape selepas pihak pendakwaan berkata ia mahu menuntut hukuman lebih berat.
Orison Toh Chun Kee, 28 tahun, sepatutnya mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjual dan memiliki Kpod.
Dia didakwa telah menghubungi seorang bakal pembeli melalui Telegram pada 30 Julai 2024, menawarkan vape untuk dijual.
Toh juga dikatakan mempunyai lebih 1,533 set Kpod dan 106 lagi set Kpod pakai buang di dalam keretanya pada 3 September 2024.
Dua lagi pertuduhan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Semasa prosiding mahkamah pada 25 Ogos, pendakwa Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Cik Jolene Chia, berkata pihak pendakwaan ingin menyemak semula hujahan hukuman mereka kerana Hakim Daerah Wong Li Tein telah memberi arahan kepada pihak berkuasa agar berbuat demikian bagi kesalahan vape dan Kpod.
Hakim Wong berkata pada 21 Ogos bahawa adalah tidak mungkin untuk bergantung kepada kes-kes sebelum ini kerana kebimbangan orang ramai yang meningkat dalam kes berkaitan vape.
Cik Chia berkata: “Berdasarkan arahan Hakim Daerah Wong, kami mungkin mengemukakan hukuman yang lebih berat, tetapi kami perlu melihat semula hukuman secara keseluruhan.”
Menurut The Straits Times (ST), pihak pendakwaan asalnya menuntut penjara seminggu dan denda terhadap Toh.
Peguam bela Toh, Encik Sameer Amir Melber, daripada Gabriel Law Corporation, membantah penangguhan tersebut dan berkata perkara itu telah ditetapkan untuk pengakuan bersalah pada Julai, namun ditangguhkan ke 25 Ogos.
Bersetuju dengan pihak pendakwaan, Ketua Hakim Daerah Wong Peck, menyatakan bahawa terdapat kajian semula mengenai kedudukan keseluruhan vape dan pihaknya mahu memastikan penyetaraan hukuman.
Di bawah undang-undang semasa, Toh boleh didenda sehingga $10,000 dan penjara sehingga enam bulan kerana memiliki vape untuk dijual.
Etomidate, yang semakin disalahgunakan melalui Kpod dan peranti, juga akan disenaraikan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) mulai 1 September
Di bawah MDA, pengguna boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda $20,000.
Kes Toh akan didengar lagi pada 25 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg